Dalam post saya yang terdahulu (anda boleh baca di sini),saya telah menulis tentang akibat meninggalkan solat dengan sengaja oleh orang yang waras akalnya.
Tidak bersembahyang fardhu boleh membawa kita menjadi kafir (keluar agama),kerana sembahyang itu tiang agama.Malah,jika tidak bersembahyang,segala amalan lain yang ada tidak akan dihitung.
Yakni,sia-sialah segala amal ibadat kita yang lain di dunia ini jika kita tidak pernah menghadapkan diri menyembah Allah SWT,Pencipta sekalian alam.
Kali ini,saya ingin menyentuh betapa perlunya kita menjaga solat walau apa juga yang berlaku.
Pembangunan yang pesat membangun menyebabkan kita bekerja siang malam mencari harta pada hari Isnin hingga Jumaat yang menyebabkan badan kita mendahagakan hiburan dan rehat yang seadanya untuk memenuhi fitrah manusia.
Jadi,kebanyakan kita,misalnya suka menonton wayang,bersiar-siar di taman dan juga membeli-belah menjelang hujung minggu.Adakah ini salah?
Tidak salah selagi tidak melanggar syariat Islam.
Tetapi,yang menjadi salahnya apabila dalam memenuhi keinginan nafsu,kita mengabaikan tanggungjawab kita menyembah Pencipta Yang Satu,Allah SWT.
Apabila ditanya mengenai sembahyang,kita akan menjawab "balik karang aku ganti la".
Di sini,terdapat persoalan.Kita ini hidup untuk apa?Hidup untuk melakukan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya atau mahu berhibur sahaja?
Kita mesti ingat,banyak lagi aktiviti yang boleh kita lakukan jika mahu berekreasi.Jangan kerana menginginkan dunia yang sebentar ini,menjadi punca kemurkaan Allah SWT kepada kita.
Seperti juga pelajar luar negara,memanglah hidup di luar negara itu membosankan kadang-kala.Dan kita pasti ingin keluar berjalan-jalan.Tetapi,dalam berjalan-jalan,janganlah sehingga 3 waktu solat kita tinggalkan terus.
Kita sudah tahu jadual waktu solat semasa musim sejuk itu jaraknya dekat-dekat,kenapa masih mahu keluar?Keluar itu pula untuk berhibur,bukannya perkara yang boleh mendatangkan kecelakaan jika tidak dilakukan (menasihati diri sendiri juga) .
Janganlah hidup terlalu menurut hawa nafsu.Ingat.Allah yang memberikan kita segala rezeki ini.Kita kena pandai membahagikan masa supaya kita tidak tertinggal solat.
Ya,saya bercakap ini sebagai menasihati diri saya juga.Kita meninggalkan solat,semata hendak membeli barangan berjenama di butik membeli-belah.Dalam ayat kasarnya,adakah berbaloi pembelian beg itu jika ianya membawa kita ke neraka?
Memang kasar.Saya pun terasa dengan penulisan saya ini.Tetapi,itulah hakikat.Kebenaran memang pahit.Ubahlah diri kita sementara masih ada kesedaran dan petunjuk-Nya.
Nikmat dunia ini hanyalah ibarat basahan yang melekat di jari anda apabila anda mencelupkan tangan anda ke dalam air berbanding dengan nikmat akhirat itu yang boleh diibaratkan sebagai lautan luas.
Bezanya ibarat langit dengan bumi.Memang payah untuk kita mengawal nafsu.Saya juga mengalaminya.Tetapi,percayalah.Setiap perkara itu jika kita niatkan kita buat dan ingin berubah kerana Allah SWT,pasti dibantu Allah.
Lainlah jika ada darurat seperti kelas misalnya.Itu ada rukhsahnya.Tetapi masih,kita tidak boleh meninggalkan sembahyang begitu sahaja.Kita kena menjalankan sembahyang mengikut rukhsahnya.
Ingat.Sembahyang itu penting.Jangan kerana menurut nafsu,kita meninggalkannya.
Ingatlah bahawa manusia yang beriman itu adalah manusia yang menjaga waktu dalam hidupnya dengan memanfaatkan ke arah jalan Allah SWT.
Walau apa jua yang kita lakukan,jangan lupakan tujuan kita diciptakan.Jangan dilupakan Allah SWT.Kerana jika kita melupakan-Nya,bagaimanakah kita hendak mengharapkan bantuan dari-Nya?
Dan untuk mengakhiri artikel ini,saya ingin kongsikan bersama anda,video dari seorang rakan seperjuangan saya di tempat saya belajar.Beliau ini saya lihat memang ada potensi besar dalam bidang pengarahan filem.
Dan Alhamdulillah,Allah berikan dia kesedaran untuk menghasilkan video yang mempunyai moral dan sesuatu untuk difikirkan.
Video ini memaparkan wajah-wajah manusia yang meneruskan hidup-hidup seharian mereka.
Maksud tersirat yang saya tafsirkan dalam video ini adalah,kita hidup di atas bumi yang sama,tanah yang sama dan rutin yang sama,tetapi hanya orang yang beriman sahaja yang dapat memanfaatkan masa hidup mereka ke arah kebaikan dalam mencari kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat.
Dan dengan ini dipersembahkan kepada anda sebuah filem bertajuk Demi Masa oleh saudara Hadi Pahmi.
Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui - (apa yang kamu akan hadapi) - dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat). [102:5]
Kesimpulan secara keseluruhannya,janganlah kerana mengejar dunia,anda abaikan amal bekalan untuk akhirat.Sengaja diulang banyak kali supaya anda dapat maksud yang ingin disampaikan.
Assalamualaikum Dan Selamat Merubah Diri Ke Arah Kebaikan.

