20.12.09

Ibarat Mutiara Yang Diselaputi Pasir,Kunci Kepada Hijrah Diri Kita Sebenarnya Terdapat Dalam Kitab Al-Quran Itu Sendiri.Kembalilah Memahami Kandungan Kitab Suci Ini.

Assalamualaikum.

Saya masih lagi berada dalam tema "Merubah Diri Ke Arah Kebaikan".Dan untuk artikel ini saya ingin menulis secara bersahaja.

Semalam untuk pengetahuan anda semua,saya pergi ke 
blog ini dan di sana ada artikel yang menyebut kita boleh memuat turun/download suatu software yang mempunyai tafsir Al-Quran dan bacaan ayat-ayat dari kitab suci ini.

Kiranya,software ini membolehkan kita mendengar,membaca ayat-ayat kitab Al-Quran serta mengetahui tafsirnya dalam satu waktu yang sama.

Menarik bukan?Dan dari info di blog itu,penulis blog menyatakan bahawa software itu 100% usaha rakyat Malaysia.Alhamdulillah.

Ingin saya sertakan juga link untuk membolehkan anda download software itu di sini. [link]

Pada saya,software ini amat bagus kerana ia membuatkan anda berasa semangat dan seronok membaca tafsir Al-Quran.Yup.Kerana mungkin sesetengah dari kita tidak suka membaca tulisan-tulisan kosong sahaja.Ia membuatkan kita mengantuk.

Tetapi,software ini semasa anda membaca tafsir,akan berkumandang juga ayat-ayat Al-Quran dibacakan oleh audio.

Dan semalam saya berkesempatan membaca tafsir Surah Az-Zumar.

Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [
39:53]

Saya merasa bersyukur kerana Allah telah memberi saya peluang untuk membaca ayat ini semalam.Ayat ini menyatakan janganlah kita berputus asa terhadap rahmat Allah jika hidup kita sudah hilang arah atau terlalu banyak kesilapan/masalah.

Saya sendiri sebagai contoh seperti anda juga banyak melakukan kesilapan dalam hidup.Ada masa berputus asa.Tetapi membaca ayat ini membuatkan saya sedar,kita umat Islam,yang mengaku menyembah Allah tidak boleh berputus asa dalam kehidupan.

Kerana apabila berputus asa kita sebenarnya secara tidak langsung telah tidak percaya dengan rahmat Allah itu lagi.


Kita kena banyakkan bersabar dan beristighfar dalam hidup.Jika suatu masalah melanda,anggaplah itu ujian.

Kerana segala rezeki yang ada dalam dunia ini adalah dari Allah SWT.

Dan apabila kita mendapat suatu kejayaan pula,janganlah kita mendabik dada mengatakan itu semua hasil usaha kita.Kita lupa terhadap Allah.Kita lupa mengucapkan syukur kepada-Nya.

Padahal ketika susah kita memohon kepada-Nya juga.

Janganlah kita menjadi manusia yang tidak bersyukur seperti ini lagi.Saya juga seperti ini dahulu.Apabila happy,saya lupa rahmat Allah.Ada kala riak.

Marilah kita berubah.


Maka apabila manusia disentuh oleh sesuatu bahaya, ia segera berdoa kepada Kami; kemudian apabila Kami memberikannya sesuatu nikmat (sebagai kurnia) dari Kami, berkatalah ia (dengan sombongnya): "Aku diberikan nikmat ini hanyalah disebabkan pengetahuan dan kepandaian yang ada padaku". (Tidaklah benar apa yang dikatakannya itu) bahkan pemberian nikmat yang tersebut adalah ujian (adakah ia bersyukur atau sebaliknya), akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat itu). [39:49]

Dari ayat di atas juga kita boleh nampak sesuatu jika difikirkan mendalam.Mungkin anda semua sudah tahu,tetapi saya baru nampak dengan mata sendiri perkara ini.

Saya nampak bahawa kitab Al-Quran itu sememangnya diturunkan untuk seluruh umat manusia dan sesuai sehingga ke akhir zaman.Kerana ayat di atas ini sebenarnya berlaku pada setiap diri manusia.

Dan,dari ayat ini juga membuat saya terfikir.

Mungkin berlaku kemerosotan iman dan akhlak dalam kalangan masyarakat kita hari ini (walaupun sembahyang kita cukup semua) adalah kerana kita tidak memahami sepenuhnya ajaran Islam itu sendiri.

Kita hanya beragama secara rutin,bukan dengan memahami konsep agama itu dan mengamalkannya.

Itulah juga sebab kenapa kita tidak tahu apa yang terdapat dalam Al-Quran itu walaupun kita sudah khatam Al-Quran lebih 40 kali di dalam hidup yang singkat ini.

Saranan saya,bukalah kembali Al-Quran anda dan bacalah tafsir Al-Quran.

Pada zaman yang serba teknologi ini,lebih mudah sebenarnya anda untuk mencari tafsir Al-Quran.

Tetapi berhati-hati juga.Bimbang terbaca laman web yang palsu.


Kita sebenarnya patut insaf kerana kita sibuk menghadiri kursus-kursus motivasi serta membeli buku-buku penenang mental dan sebagainya,tetapi pada hakikatnya,perkara-perkara yang kita cari ini amat dekat sekali dengan kita.

Ibarat mutiara yang diselaputi pasir,saya merasakan kunci kepada perubahan hijrah dalam diri kita sebenarnya terdapat dalam kitab Al-Quran itu sendiri.Kita yang tidak menyedarinya.Ubat bagi segala masalah kehidupan kita juga ada di dalam Al-Quran itu.

Kitab Al-Quran itu sebenarnya jika kita baca tafsir-tafsir ayat di dalamnya,mengandungi pelbagai ilmu melengkapi segala aspek kehidupan.

Jika kita memahami isinya dan mengamalkan seluruh ajaran kitab Al-Quran ini,pasti hidup kita bahagia di dunia dan akhirat.Dan ditambah pula dengan mengamalkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW,pasti hidup kita tenang.

Jadi,apa yang saya ingin sampaikan di sini,marilah merubah diri kita.Jangan bertangguh untuk berubah.Ianya bakal menjadi hangat-hangat tahi ayam sahaja akhirnya.

Sekian.Harap apa yang saya ingin sampaikan dapat difahami.

Sesungguhnya saya manusia biasa.Jika terdapat kesalahan dilakukan dalam artikel ini,sila betulkan.

Semoga kita semua mendapat rahmat dan dibukakan hati oleh Allah untuk sentiasa bertaubat.

Amin.

Assalamualaikum

LINK-LINK TAFSIR AL-QURAN/AL-QURAN DIGITAL


p/s:sebarang pertanyaan tentang memuat turun,sila tinggalkan di bahagian komen.




No comments:

Post a Comment