31.12.09

Keperluan Memahami Isi Kandungan Al-Quran & Realiti Menyedihkan Tentang Umat Islam Hari Ini

Saya baru sahaja selesai menonton syarahan bertajuk The Qur'an yang disampaikan oleh Hussein Yee.

Untuk pengetahuan anda,saudara Hussein ini adalah anak kelahiran Malaysia.Beliau memeluk Islam pada tahun 1968 (saudara baru).Kemudian,beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang agama dan kini merupakan aktivis dakwah yang giat menjalankan dakwah di seluruh dunia.

Dalam syarahan beliau yang ada saya letakkan video di bawah ini,ada menyebutkan perlunya kita memahami Al-Quran.

Dia berkata,di dalam Al-Quran itu adanya segala ubat bagi segala masalah kehidupan rutin dunia yang kita hadapi.Kita umat Islam hari ini lemah kerana tidak memahami mutiara yang ada di depan kita.

Dalam erti kata lain,kita adalah semalang-malang manusia kerana tidak memahami Al-Quran yang di dalamnya terkandung pelbagai hikmah dan panduan yang datang dari Pencipta kita sendiri,Allah SWT.

Dan,dalam syarahan ini,ada beliau nyatakan,ketika baru memeluk Islam,dia tidak menghadapi banyak tentangan dari orang bukan Islam,tetapi dia menghadapi pelbagai masalah dari orang Islam itu sendiri.

Beliau berkata,realitinya,punca utama agama Islam pada hari ini disalah-tafsirkan oleh orang bukan Islam adalah kerana orang Islam itu sendiri yang tidak menunjukkan contoh yang baik kepada orang bukan Islam.

Beliau juga berkata,perlunya kita mengajak orang bukan Islam membaca Al-Quran.Ini kerana,kitab Al-Quran itu diturunkan kepada seluruh umat manusia.Bukannya kepada sesetengah manusia sahaja.

Hussein Yee juga berkata beliau memeluk Islam setelah membaca riwayat hidup Saidina Umar Al-Khattab yang memeluk Islam setelah mendengar adiknya membaca ayat Al-Quran.Hussein Yee yang sebelum itu tidak pernah membaca Al-Quran kemudiannya memeluk Islam.

Hussein Yee tidak pernah membaca Al-Quran sebelum memeluk Islam kerana apabila hendak membaca Al-Quran,ada orang berkata kepadanya "buat apa hendak baca Al-Quran.Kau orang Cina.Tak perlu ambil tahu."

Melalui cerita saudara Hussein Yee di atas,saya menyedari realiti menyedihkan yang berlaku dalam masyarakat Islam (majoritinya orang Melayu) di Malaysia .

Kita sendiri yang menyebabkan Islam itu disalahtafsirkan.Kita (kebanyakannya,bukan semua) telah meng-hak-milik-istimewa-kan Islam itu kepada diri kita sahaja.Sepatutnya adalah menjadi tanggungjawab kita untuk menyebarkan Islam itu kepada orang lain.

Kita yang sepatutnya membimbing jika ada saudara yang ingin mendekati Islam ke arah kebenaran,bukannya membuatkan mereka lari dari kebenaran.Tetapi jika kita sendiri pun tidak memahami Islam itu dengan sebaiknya,bagaimanakah ini hendak berlaku.Betul tak apa yang saya bicarakan?

Tentu anda berfikir,bagaimana hendak memahami Islam?Mudah sahaja.Kembalilah ke kitab Al-Quran.Kerana Kitab Al-Quran itu datangnya kata-kata di dalamnya bukan dari jiran sebelah rumah anda atau makcik anda,tetapi ianya datang dari Pencipta anda sendiri,Allah SWT,Tuhan yang menciptakan sekalian alam ini.

Mungkin sudah tiba kita merubah diri kita dan menjadi umat Islam yang sebenar.Yang bukan hanya pada nama.Tetapi juga dalaman dan peribadinya.

Cukuplah sudah kita hidup menurut hawa nafsu dan berhibur sahaja.

Jika anda masih tidak faham apa yang disampaikan saya,sila tonton video di bawah ini.











Semoga apa yang disampaikan di dalam video difahami.Jadikanlah kitab Al-Quran itu sebagai panduan hidup.

Insya-Allah.

Rasulullah SAW pernah bersabda :

"Setiap anak adam sering melakukan kesalahan dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan ialah mereka yang sentiasa bertaubat" . (Ibn Majah)

Assalamualaikum dan Selamat Beramal.


No comments:

Post a Comment