6.12.09

Perbuatan Kita Sehari-Hari Secara Perlahan Akan Membentuk Jiwa Dan Diri Kita

Assalamualaikum.

Saya tidak mahu menulis panjang lebar.Saya cuba menulis seringkas yang mungkin.

Kita hari ini sering mengajukan diri kita,kenapakah walaupun kita melakukan solat 5 waktu sehari semalam,membaca Al-Quran dan lain-lain ibadat,tetapi masih lagi kita melakukan perkara-perkara yang dilarang Islam?

Sebab yang pertama adalah solat dan ibadat kita itu yang tidak sempurna.Tidak khusyuk.Tidak sah wuduk dan lain-lain.

Tetapi,mungkin juga terdapat punca-punca lain.

Diringkaskan,mari kita melihat contoh di bawah.


1) Walaupun sembahyang lengkap 5 kali sehari,kita sering membaca laman-laman web hiburan yang boleh merosakkan otak dan akhlak kita.Contohnya dapat kita lihat hari ini kemunculan pelbagai laman web hiburan tempatan yang ditulis oleh anak tempatan yang menyiarkan berita-berita gosip dan gambar-gambar aksi artis-artis tempatan yang menghairahkan yang tiada nilai akademik langsung.

2) Sedikit sebanyak apabila kita menonton dan membaca perkara-perkara seperti ini,otak kita akan gagal berfikir.Membuatkan kita semakin jauh dengan jiwa yang bersih yang inginkan ilmu.Dan kita secara tidak langsung membiasakan diri kita dengan kata-kata kesat dan fitnah.Membiasakan diri kita dengan imej-imej seksi itu.

3) Ini seterusnya membawa kita supaya terbayang-bayang imej itu di dalam kepala pada waktu tertentu.Jadi,bermula dari sini,bagaimana hendak khusyuk sembahyang?

4) Kemudian,kita menonton pula televisyen.Walaupun kita sembahyang,apabila kita menonton televisyen dan melihat adegan-adegan asmara ringan para pelakon yang tidak menutup aurat,kita tetap mendapat dosa.Dan ia sebenarnya menggalakkan kita membuang masa.Yang akhirnya akan melatih diri kita untuk bermalas-malas.

5) Jadi,jangan pelik jika kita sering berasa malas dan lemah.Ini kerana perbuatan kita itu sebenarnya bermula dari rutin seharian kita.Kita menonton televisyen.Apa yang kita buat sambil menonton itu?Kita berbaring dan mungkin sambil-sambil itu tangan menyuap makanan.Apa hasilnya?Lahirlah seorang pemalas yang selekeh.

6) Menghisap rokok juga begitu.Hanya menyebabkan kita menjadi orang yang tiada tekad dalam jiwanya,lemah semangat dalam melawan nafsu,pengotor dan tidak berdisiplin.

7) Kemudian,walaupun kita sembahyang penuh sehari-hari,tetapi jika kita gemar mengambil tahu tentang orang lain dan menarik perhatian orang lain,kita tetap akan mengalami masalah peribadi juga nanti.

8) Kenapa saya berkata begitu?Kerana jika kita gemar mengambil tahu tentang orang lain,kita hanya akan melatih diri kita untuk mengumpat dan memikirkan perkara-perkara remeh yang tiada kena mengena dengan kita.Yang seterusnya akan membawa kita kepada tahap malas-untuk-berfikir-ilmu-ilmu-penting.

Itulah sebabnya kita dapat lihat kenapa kebanyakan dari kita tidak suka apabila berbincang tentang perkara-perkara berat.Kita hanya suka sesuatu yang senang.Kita berada dalam comfort zone.

Apa yang pasti,perkara-perkara buruk yang dibuat oleh kita hanya akan menjadikan kita insan yang malas dan suka membuang masa.Yang akhirnya akan menjauhkan kita dari suka berfikir.Kita yang tidak suka berfikir ini akhirnya akan kurang ilmu,lantas pada akhirnya kuranglah amal.Dan apabila kurang amal,lahirlah manusia yang mudah berperibadi buruk.

Senang sahaja teorinya.Cuba jika kita setiap hari manfaatkan waktu kita dengan perkara-perkara berfaedah seperti membaca ilmu-ilmu yang bagus,mengaji Al-Quran,berzikir,mengulangkaji pelajaran dan lain-lain,pastinya kita akan merasa diri ini tenang.Lantas mendekatkan kita kepada perbuatan baik dan membawa kita kepada fikiran-fikiran yang baik.Dan lahirlah manusia yang berperibadi baik.

Senang sahaja bukan?

Anda cuma perlu kenal pasti apakah perkara-perkara atau rutin yang mungkin dilihat kecil dalam hidup sehari-hari anda.Dan mengubahnya secara perlahan-lahan.


Dan untuk bahagian pembacaan laman-laman web hiburan/drama televisyen yang tidak bermanfaat ini,senang sahaja untuk tidak mendapat kesan buruk daripadanya.Tahukah anda bagaimana?

Caranya adalah
jangan membaca/menonton/membuka laman-laman web seperti ini terus.Lawan nafsu anda.Kerana jika anda buka juga laman web atau saluran seperti ini,pasti (saya katakan pasti kerana kita ini lemah kebanyakannya dalam melawan nafsu) anda akan terjebak dalam percaturan emosi dan gosip yang berlaku di sana.

Marilah berubah.

Jangan risau.Orang yang berjaya mengubah dirinya setiap hari.Atau sekurang-kurangnya mencuba.Jangan bimbang jika gagal.Cuba lagi.Hidup ini adalah proses belajar dan memperbaiki diri dari hari ke hari.

Dan diingatkan juga.Pasti akan ada yang menghasut anda untuk kembali ke jalan keburukan kembali.

Jangan mengalah.Kuatkan semangat.Majoriti tidak semestinya baik.Ubahlah perangai anda untuk menjadi manusia yang baik.Jangan bias (pilih kasih) dalam melakukan perubahan.

Laluan anda pasti tidak senang.Tapi bersabarlah.

Buka minda anda.Renung kesilapan diri.Pasti boleh!

Sekian.Harap difahami apa yang cuba disampaikan.

Insya-Allah.


1 comment:

  1. salam
    banyak perkara yang kita kadang2 tidak tahu dan mau ambil tahu... alhamdullilah... terima kasih atas perkongsian ilmu dgn pembaca

    ReplyDelete