4.12.09

Sedikit Peringatan Untuk Semua (Artikel Yang Panjang Tidak Semestinya Membosankan)

PERHATIAN : Sila baca artikel ini sehingga penghabisan untuk mendapatkan idea yang ingin disampaikan.Jangan malas untuk membaca.Orang yang malas itu adalah orang yang rugi.Menonton filem boleh berjam-jam.Apa salahnya meluangkan masa 10 minit untuk artikel yang tidak seberapa ini.Insya-Allah kita akan mendapat kebaikan bersama-sama.

Assalamualaikum.

Ini merupakan zaman internet.Ada pro-kontranya.Pandai mengguna,baiklah hasilnya.Jika diguna dengan niat jahat,buruklah hasilnya.

Kita kini mempunyai perkhidmatan blog.Bagus perkhidmatan ini.Ramai yang menulis.Blog ini banyak jenisnya.Ada blog politik,blog ilmu,dan blog peribadi.

Menulis blog tidak memerlukan ilmu tinggi.Sesiapa juga boleh menulis blog.Apa-apa topik juga boleh ditulis.Anda mahu menulis fitnah juga boleh.Apa-apa sahajalah orang kata.

Dari pelajar,guru,pekerja kerajaan,
businessman, malah tukang kebun juga mahu menulis blog.Masing-masing hendak mempunyai blog sendiri.Tidak mengapa.Tidak salah.

Tetapi yang menjadi salahnya apabila blog itu ditulis dengan niat yang tidak betul.

Kita orang Islam kena ingat.Setiap perbuatan kita baik yang kecil atau besar akan dihitung dan dicatitkan pahala dan dosanya.Oleh itu menulis itu biarlah dengan niat yang baik.

Baiklah.Mari kita tinjau 3 jenis kategori blog yang biasanya ditulis oleh kita semua.

Blog Politik

Saya tidak tahu mengapa,ramai benar dari kita berminat dan berkeyakinan sungguh menulis blog tentang politik.Hendak kata mereka itu orang yang berkelayakan,tidak juga.

Mereka menulislah bagai mereka ini yang terlibat dalam peristiwa-peristiwa besar tempatan.Mereka menulis seperti pihak yang terlibat itu secara langsung menceritakan kepada mereka apa yang berlaku.

Tetapi menurut perhatian saya,kebanyakan dari mereka yang menulis blog kategori ini,kebanyakan dari mereka tidak mengetahui adakah kebenaran sesuatu berita yang mereka sampaikan itu.

Malah mereka dengan
konfiden-nya memaki hamun pihak yang terbabit dalam berita atas angin itu.

Sedikit teguran ingin saya beri kepada mereka-mereka ini.

Janganlah terlalu taksub dengan fahaman politik anda sehingga anda menulis berita yang tidak diketahui kebenaran.Tahulah anda bahawa menyebar berita palsu dan buruk tentang orang lain itu adalah berdosa.Boleh jadi memfitnah jika tersilap langkah.

Tidak perlu anda melebih-lebih menulis blog lebih daripada ahli politik itu sendiri.Anda jika hanya sekadar mendengar-dengar dari mulut ke mulut berita tersebut,tolonglah jangan sebarkan.Khabar angin seperti ini hanya boleh merosakkan pemikiran masyarakat.

Dan seperkara lagi,perasankah anda.Di dalam suatu blog politik yang biasanya agak terkenal,pasti akan ada komen-komen di bawah artikelnya di mana,berbalah-balahlah penyokong-penyokong parti tentang mana satu pihak yang betul.

Pada saya ini tidak betul.Apa guna kita berlawan dan berbalah di bawah itu?Dan kebanyakan yang berbuat begitu adalah umat Islam.Malu saya.Kita bergaduh sesama sendiri hanya kerana suatu yang tidak diketahui kebenarannya.Hanya kerana sesuatu yang diputar belit faktanya.

Bagi yang menulis blog politik seperti ini pula,gunakanlah akal.Anda fikirlah sedalam-dalamnya.Anda menulis blog itu,tetapi dalam masa yang sama,artikel anda itu menjadi punca perbalahan umat Islam yang lain.Anda rasa-rasa,dapat pahalakah perbuatan anda itu?

Islam itu bukan hanya tertakluk kepada politik semata.Islam itu cara hidup.Islam itu seluruh hidup kita.Adalah lebih baik kita menulis tentang sesuatu di luar tema politik.Sesuatu yang dapat membangkitkan kesedaran umat Islam.Dari kita menulis tentang politik yang secara jelasnya akan mewujudkan perbalahan sesama kita.

Banyak lagi perkara yang boleh dijadikan tema tulisan.Buka minda anda.Jangan fikir satu sudut sahaja.

Itulah pentingnya ilmu.Apa yang kita baca setiap hari itu,akan membentuk jiwa kita.Jika kita setiap hari mencari blog-blog politik yang penuh dengan kedengkian dan hasad,hasadlah jadi peribadi kita.

Benar! Saya sendiri merasainya satu ketika dahulu.Saya membaca blog-blog seperti ini.Namun kemudian,saya berfikir,apa motifnya saya membaca blog-blog seperti ini?Fitnah dan pemakian sahaja yang ada.Apa yang dapat diberi kepada umat Islam dan umat manusia keseluruhannya melalui penulisan itu?Apakah kesan ilmiahnya?

Jawapannya hanya satu.Tetapi boleh diterjemah ke dalam pelbagai kata.Jawapannya adalah tiada,kosong dan
nothing.

Seperkara lagi tentang penulis blog-blog politik ini,mereka apabila berbicara,mereka berbicara seperti orang-orang bijak belaka tanpa memikirkan betul atau tidak perkara yang ditulis itu.

Satu teguran dari saya.Janganlah kita terlalu obses dan mengagung-agungkan pemimpin-pemimpin politik itu.Mereka juga manusia.Bisa melakukan kesalahan.Jangan apabila mereka melakukan kesalahan/dikritik, kita yang tiada kena mengena dengan mereka ini bersungguh-sungguh mempertahankan mereka dengan mencari balik kesalahan pihak yang menuduh mereka.

Sehingga ada yang memaki hamun di dalam blog untuk pemimpin mereka.Cuba berhenti seketika dan berfikir.Ke manakah kewarasan kita menghilang semasa menulis?Adakah itu tujuan kita hidup di muka bumi ini?Adakah itu tujuan kita diciptakan Allah SWT?Memikirkan tentang parti politik kita 247?Adakah hidup hanya sekitar politik?

Maafkan saya jika pendapat saya ini salah.Saya sedar saya ini manusia biasa.Jika salah betulkan.Tetapi saya menegur pihak-pihak yang terlalu obses dan menulis tanpa menggunakan akal fikiran itu.

Sehingga ada yang meng
edit-edit gambar pemimpin parti politik dengan gambar-gambar lucah yang hina lagi jijik.

Apakah itu?Anda pernah melihatkah mereka membuat seperti itu?Jangan saudara.Jangan menyebar fitnah.

... dan (ingatlah bahawa angkara) fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan...
surah Al-Baqarah 191

Jangan kerana terlalu taksub dengan dunia politik itu,kita hilang kewarasan.Nabi Muhammad SAW tidak menyuruh kita menjadi radikal atau fanatik.Nabi Muhammad SAW itu sendiri keperibadiannya sederhana dalam segala aspek.Orang yang berlebih-lebihan ini senang mendapat dosa.

Jika kita tidak tahu sesuatu perkara itu dengan tepat,adalah lebih baik kita mendiamkan diri.Sesungguhnya orang yang mendiamkan diri itu tidak semestinya bodoh.Dan orang yang melontarkan kata-kata itu tidak semestinya bijak.

Dan jangan kerana tulisan kita itu,orang bukan Islam semakin menjauhi Islam kerana melihat kita berbalah sesama sendiri.Anda fikirkanlah ya.Ambil masa.Ketepikan peribadi dan emosi.Pasti anda akan ketemui kewarasan kembali.

Mari kita tinjau blog kategori kedua pula.

Blog Penulisan Ilmu Agama

Blog-blog penulisan agama ini memang baik.Jika kita niatkan penulisan kita kerana Allah dan supaya dapat menyedarkan orang ramai,pahalalah untuk kita.Insya-Allah.

Tetapi,dalam kita menulis itu,pastikan sumber-sumber yang kita gunakan itu benar-benar sahih dan tepat ilmunya.

Banyakkan kajian dahulu sebelum menulis.Banyakkan pembacaan dan google tentang maklumat-maklumat artikel kita itu.

Kerana ada sesetengah blog yang diragui kebenaran artikelnya itu.

Dan untuk kita para pembaca pula,kita hendaklah berfikir sebelum menerima sesuatu ilmu agama dalam blog itu.Jangan hanya terima sahaja.Ini supaya kita benar-benar pasti akan kebenaran artikel itu dan yakin akan ilmu yang ada.Lantas memudahkan jiwa dan fizikal kita beramal dengan ilmu itu.

Sejak akhir-akhir ini,terdapat juga blog-blog yang memaparkan artikel-artikel tentang peristiwa akhir zaman dari sudut perspektif Islam.Memang bagus niat kita semua dalam menulis itu.

Tetapi sebagai pembaca,jangan terlalu liberal atau terbuka dalam menerima ilmu itu.Kerana saya pernah membaca beberapa blog yang diragui kebenarannya.

Itulah kepentingan akal dan ilmu.Fikir dahulu sebelum kita mengambil sesuatu ilmu itu.Jangan tersilap langkah.Tersilap langkah boleh membawa mudarat.

Tetapi tidak semua blog begitu.Kebanyakan blog-blog seperti ini penulis-penulisnya sudah mengkaji kebenaran artikel mereka sebelum ditulis.Tetapi,tetap perlu berfikir dan berwaspada.

Satu lagi teguran untuk blog-blog keagamaan ini.Jika boleh,janganlah diletakkan auto-play untuk lagu-lagu nasyid.

Memang bagus kita pasang auto-play.Tetapi di sesetengah kawasan yang kelajuan internetnya perlahan,tidakkah mereka akan terkejut jika tiba-tiba mereka sedang membaca,kedengaran bunyi audio?

Dari hendak membaca dengan baik,mereka telah memaki hamun lagu-lagu itu.Padahal,lagu itu bertujuan menginsafkan.

Betul bukan apa yang saya cakap?

Fikirkanlah.

Kemudian mari kita tinjau blog yang ketiga dalam kategori blog favourite.

Blog Peribadi

Blog ini sering ditulis remaja khususnya.Beberapa teguran yang ingin saya beri (walau diri dan blog ini pun tidak seberapa sempurna) kepada mereka dan juga diri sendiri.

Kita sebagai remaja.Gunakanlah masa kita dengan baik.Janganlah menulis perkara-perkara kosong sahaja di dalam blog.Marilah menukar persepsi kita.Gunakan akal.Mulakan pembacaan dan penulisan artikel-artikel yang berat.

Mulalah menulis tentang isu serius dalam masyarakat.Isu serius dalam dunia.Penulisan seperti ini dapat membuka minda kita dan orang lain menjadi seseorang yang lebih matang.

Bergelak ketawa boleh.Tapi sampai bila?Dunia hendak kiamat sudah pun dalam bahasa kasar.Cukup-cukuplah kita membuang masa.

Dan bagi wanita/gadis pula,jika hendak menguploadkan gambar ke dalam dunia maya ini,fikirkan dahulu ayat saya di bawah ini.

-Tahukah anda jika anda membuat aksi-aksi camwhoring dan meletakkannya di dalam blog/Facebook dll itu,gambar itu bakal ditonton oleh berjuta lelaki pervert di dalam internet?

-Ya,anda memanglah memakai tudung.Menutup aurat.Tetapi jika anda membuat muka yang comel itu,tetap akan menarik perhatian lelaki-lelaki pervert.Mahukah anda ditonton oleh mereka yang kegersangan ini?

-Tahukah anda,setiap kali anda menguploadkan gambar di dalam internet,walaupun setelah anda memadamkannya nanti,gambar itu akan kekal di dalam simpanan Google selama 3 bulan?

-Adakah anda tahu bahawa ramai lelaki yang akan memuat-turun download gambar-gambar anda yang comel itu ke dalam komputer peribadi mereka.Malah jika nasib anda lebih teruk,mereka akan mencetak gambar anda.

-Dan mereka menyimpannya untuk ditatap. Tidakkah perbuatan anda ini sama sahaja seperti anda menjadi model peribadi kepada lelaki-lelaki yang kegersangan ini?Bezanya,anda tidak nampak dan tidak tahu siapa mereka.Boleh jadi kawan anda sendiri.(ini fakta.sumpah tidak tipu.saya tahulah kerana saya ramai rakan-rakan sebegini) .

-Adakah anda tidak takut jika mereka sharekan gambar-gambar anda di blog mereka?Mereka gunakan gambar-gambar anda untuk membuat satu profile Myspace baru untuk anda? (pernah terjadi kepada kenalan saya) .

-Anda tidak boleh dakwa mereka apa-apa.Kerana sesaat selepas anda menguploadkan gambar-gambar itu ke dunia maya,anda telah mengisytiharkan gambar itu sebagai hak milik dunia.Well,ini zaman moden.

-Jika lebih teruk,mungkin gambar anda akan diedit super-imposed.Benda ini pernah terjadi.Anda sahaja yang tidak sedar.

-Tahukah anda bahawa setiap kali anda menguploadkan gambar ke dalam dunia maya,ia akan disesuaikan dengan nama anda untuk dipadankan dengan search result.Bayangkan jika anda ada gambar tidak pakai tudung,kemudian anda sudah padam.Tetapi setelah sebulan selepas itu,anda google nama anda,dan gambar itu masih keluar di keputusan carian.

-Ingat,ini zaman teknologi.Bakal suami anda mungkin akan meneliti siapakah anda sebelum berfikir ingin berkahwin dengan anda.Bakal majikan anda juga begitu.Hal yang sama kepada kaum lelaki.

-Anda fikir-fikirkanlah.

Itu untuk gambar.

Dan jika anda menulis blog peribadi,janganlah menulis sesuatu yang peribadi secara terbuka.Ingat.Satu dunia membaca tulisan anda.Anda mungkin berfikir jika anda menulis blog,tiada siapa yang bakal tahu.Tetapi sebenarnya dan hakikatnya,audiensnya lagi besar ya.

Itulah sahaja nasihat dan teguran dari saya untuk anda bloggers semua.Juga kepada para pembaca.Juga kepada semua pengguna internet.Ingat.Semasa menggunakan internet,kita tetap orang Islam.

Kekalkan adab kesopanan yang diajar Nabi Muhammad SAW semasa melayari internet itu.Jangan bertukar menjadi haiwan sementelah memegang papan kunci dan tetikus.

Ubahlah pemikiran anda.Kita sudah lena lama.Ini semua hanya dunia.Mulalah menulis untuk kebaikan.Carilah ilmu dan kebenaran setiap masa.Agar diri tidak dinoda oleh kegelapan syaitan.

Dan ingatlah bahawa Allah sentiasa melihat kita.

Semoga artikel ini membawa kebaikan kepada kita semua.Insya-Allah.Amin.

Assalamualaikum.

p/s:hadiahkan surah Al-Fatihah kepada semua umat Islam yang telah meninggal dunia.



6 comments:

  1. Wah panjang giler artikel ni..Nice entri..keep it up..

    ReplyDelete
  2. Al Quds Travel Welcome You :-

    "AL QUDS TRAVEL FAIR 09"
    Date : 10,11,12 December 2009
    Time : 10.30 am - 10.00 pm
    Venue : Ruang Legar KB Mall K.Bharu
    Organizer : Al Quds Travel Sdn Bhd
    Official Radio : THR Gegar FM
    Tel No : 609-747 9999

    Diskaun RM999.00 untuk Pakej Umrah

    ReplyDelete
  3. haha....buat muka comel??
    best! btul juga... blog aku ni pun dari baca2. bukan berguru sangat pun. aku harap apa yang aku tulis masih dalam lingkungan kemampuan dan isinya benar~
    urgh! aku mesti berhati-hati.

    ReplyDelete
  4. assalamualaikum semua
    terima kasih kerana mengambil kesempatan membaca penulisan saya

    semoga mendapat manfaat

    @adam
    yup. kita kena berhati hati dalam menulis.
    tetapi jika silap jangan ego menerima kritikan..
    itulah asas belajar. cara belajar yang baik adalah melalui perbincangan dan teguran.

    ReplyDelete
  5. Alhamdulillah..bleh jgak aq ilmu ary ni..thanx penulis..

    ReplyDelete
  6. Terima kasih. Ia memberi kesedaran kepada saya supaya lebih berhati-hati ketika menghantar entri dan memberi komen.

    ReplyDelete