13.1.10

Sedikit Ilmu Untuk Disampaikan Kepada Sesiapa Yang Ingin Merubah Diri.Sesungguhnya Orang Yang Paling Malang Adalah Orang Yang Enggan Berubah Selepas Mengetahui Sesuatu Kebenaran.

Assalamualaikum.

Baru sebentar tadi saya membaca satu
artikel.Artikel tersebut menerangkan tentang maksud-maksud bacaan dalam solat yang kita lakukan sehari-hari.

Sebelum saya menulis lebih lanjut,saya kongsikan bersama anda artikel itu yang saya ambil dari blog tersebut.

Maksud-Maksud Bacaan Di Dalam Sembahyang

Takbir

Allah Maha Besar

Doa Iftitah 
Allah Maha Besar dan segala puji bagi Allah dengan banyaknya.
Maha suci Allah sepanjang pagi dan petang.
Aku hadapkan wajahku bagi Tuhan yang mencipta langit dan bumi,
dengan suasana lurus dan berserah diri dan aku bukan dari golongan orang musyrik.
Sesungguhnya solatku,
Ibadatku,
hidupku,
matiku
adalah untuk Allah Tuhan sekelian alam.
Tidak ada sekutu bagiNya dan kepadaku diperintahkan untuk tidak
menyekutukan bagiNya dan aku dari golongan orang Islam.

Al-Fatihah 
Dengan nama Allah yang maha Pemurah lagi maha Mengasihani.
Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
Yang maha pemurah lagi maha mengasihani.
Yang menguasai hari pembalasan.
Hanya Engkaulah yang kami sembah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan.
Tunjukilah kami jalan yang lurus.
Iaitu jalan orang-orang yang Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan jalan mereka yang Engkau murkai dan bukan jalan mereka yang sesat.

Bacaan ketika rukuk 
Maha Suci TuhanKu Yang Maha Mulia dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika bangun dari rukuk 
Allah mendengar pujian orang yang memujinya.

Bacaan ketika iktidal 
Wahai Tuhan kami, bagi Engkaulah segala pujian.

Bacaan ketika sujud 
Maha suci TuhanKu yang Maha Tinggi dan dengan segala puji-pujiannya.

Bacaan ketika duduk di antara dua sujud 
Ya Allah, ampunilah daku,
Rahmatilah daku,
kayakan daku,
angkatlah darjatku,
rezekikan daku,
berilah aku hidayah,
sihatkanlah daku dan
maafkanlah akan daku.

Bacaan ketika Tahiyat Awal
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.
Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta
keberkatannya.
Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh.
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad.

Bacaan ketika Tahiyat Akhir 
Segala penghormatan yang berkat solat yang baik adalah untuk Allah.
Sejahtera atas engkau wahai Nabi dan rahmat Allah serta keberkatannya.
Sejahtera ke atas kami dan atas hamba-hamba Allah yang soleh.
Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawasanya Muhammad itu adalah pesuruh Allah.
Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.
Sebagaimana Engkau selawatkan ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim.
Berkatilah ke atas Muhammad dan atas keluarganya sebagaimana Engkau berkati ke atas Ibrahim dan atas keluarga Ibrahim di dalam alam ini.
Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji lagi Maha Agung.

Doa Qunut 
Ya Allah, berilah aku petunjuk sebagaimana orang-orang yang telah Engkau tunjuki.
Sejahterakanlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau sejahterakan.
Pimpinlah aku sebagaimana orang-orang yang telah Engkau pimpin.
Berkatilah hendaknya untukku apa-pa yang telah Engkau berikan padaku.
Jauhkanlah aku daripada segala kejahatan yang telah Engkau tetapkan.
Sesungguhnya hanya Engkau sahajalah yang menetapkan, dan tidak sesiapapun yang berkuasa menetapkan sesuatu selain daripada Engkau.
Sesungguhnya tidak terhina orang yang memperolehi pimpinanMu.
Dan tidak mulia orang-orang yang Engkau musuhi.
Telah memberi berkat Engkau, ya Tuhan kami dan maha tinggi Engkau.
Hanya untuk Engkau sahajalah segala macam puji terhadap apa-apa yang telah Engkau tetapkan.
Dan aku minta ampun dan bertaubat kepada Engkau.
Dan Allah rahmatilah Muhammad, Nabi yang ummi dan sejahtera keatas keluarganya dan sahabat-sahabatnya. 


Itulah dia maksud-maksud bacaan yang kita baca sehari-hari dalam solat kita.Sebelum menyambung lebih lanjut,elok juga saya kongsikan anda satu laman web yang menunjukkan cara solat yang betul.Anda boleh klik di sini untuk pergi ke laman web tersebut.

Baiklah.Kita semua tahu bahawa jika seseorang Islam itu tidak bersembahyang,boleh gugur keimanan pelakunya.

Dan,kita juga tahu dapat lihat.Ramai dari kita yang bersembahyang,tetapi,persoalannya,kenapa ramai di antara kita masih berhati busuk atau berperibadi hina walaupun menunaikan solat lima waktu sehari semalam?

Persoalan ini dilemparkan kepada saya oleh seorang pembaca blog ini yang menyatakan beliau adalah seorang non-muslim.

Kita tidak boleh menyalahkan beliau untuk berfikiran demikian.Kenapa?Kerana beliau sememangnya tiada ilmu tentang perkara ini.Adalah tanggungjawab kita sebenarnya umat Islam untuk menunjukkan peribadi yang mulia kepada orang yang bukan Islam.

Tetapi malang.Kita hari ini tidak berjaya dalam menunjukkan contoh yang baik yang anda boleh fikirkan sendiri contoh kegagalan kita ini.

Baiklah.Berbalik kepada persoalan di atas.

Bagi saya,solat/sembahyang/ibadat ini adalah seperti juga perkara-perkara lain.

Mari kita ambil contoh.Seperti sekolah.Semua orang pergi sekolah.Semua orang duduk di dalam bangunan yang sama.Kelas yang berbentuk empat segi.Tetapi,berapa ramaikah yang berjaya mengambil moral dan pengajaran dari sistem sekolah itu sehingga berjaya menjadi insan yang berilmu dan bermoral?

Jawapannya adalah tidak ramai!Kita semua pergi sekolah,tetapi orang yang cemerlang,mereka pergi sekolah itu dengan niat yang baik,semangat yang tinggi dan tidak main-main semasa di sekolah.Sebaliknya,orang yang gagal,mereka pergi sekolah untuk menunjukkan motor mereka,berlagak sempoi depan gadis-gadis picisan dan jika itu sudah menjadi niat mereka,bagaimana kita hendak kata mereka ini fokus di dalam kelas?


Seperti juga mereka yang membaca buku/blog.Orang berkata bahawa dengan membaca kita boleh menjadi manusia berakal dan matang.Tetapi,kenapa ada orang yang membaca lebih dari separuh hayat hidupnya tidak matang,malah membuatkan mereka menjadi lebih teruk?

Ini kerana mereka membaca bahan yang sampah.Gosip-gosip hiburan.Komik picisan ringan.Diari peribadi orang di blog-blog remaja.Pergaduhan politik 24 jam.


Ini semua tidak dapat menjadikan seseorang itu manusia yang lebih baik.Tetapi kenapa ada orang membaca baru satu buku,mereka sudah berubah meninggalkan kejahatan?Ini kerana mereka membaca ilmu yang bagus.Mereka membaca ilmu sains,ilmu agama dan sebagainya.

Dan ada juga orang,walaupun membaca ilmu,tetapi masih tidak dapat menghayati ilmu.Mengapa ini boleh terjadi?Ini terjadi kerana,mereka ini membaca bukan untuk memahami ayat.Tetapi lebih kepada santapan minda!

Apakah maksud santapan minda ini?Mereka sekadar membaca sepintas lalu.Itulah sebabnya,walaupun mereka ini sudah membaca/mendengar puluhan ceramah agama,tetapi mereka masih berkompromi di dalam agama.Mereka masih menonton Anugerah Juara Lagu sejurus sahaja selepas balik bersembahyang jemaah di surau sebagai contoh.Tidakkah ini agak ironi?

Adakah anda nampak sesuatu dari sini?Sesuatu yang cuba saya sampaikan?


Jika masih tidak nampak,mari saya menjelaskan dengan lebih lanjut.Sebenarnya keadaan ini adalah sama dengan solat!

Jika sebuah kereta Mercedes itu melanggar tiang,ia bukan disebabkan kereta itu yang tidak betul.Sebaliknya,pemandunya yang memandu keretanya dengan lalai dan tidak cermat.

Begitu juga dengan solat.Kita setiap hari bersolat lima kali sehari (wajib) kerana solat itu tiang agama.Tetapi,di sini terletak persoalan.

Adakah solat kita itu sebagai ritual harian sahaja?Atau kebiasaan?Atau sekadar mengikut orang sekeliling melakukannya?Atau kita mengisi masa lapang?

Atau apa?

Solat itu sebenarnya dilakukan kerana kita ini hamba Allah SWT.Kita mendirikan solat kerana itu bentuk kita menyatakan bahawa kita menyembah-Nya.Dia yang menciptakan sekalian alam ini.Kita ini hamba yang tiada apa-apa.Kita bersyukur kerana diciptakan-Nya.


Kita solat kerana itu merupakan kewajiban bagi kita.Kita ini hina sahaja.

Tetapi,kebanyakan dari kita tidak memikirkan semua itu.Kita solat kerana kita sudah terbiasa dengannya.Contohnya semasa waktu rehat tengahari (hari bekerja).Kita pergi ke surau.Dalam perjalanan pergi ke surau,kita berborak-borak.Sementara menunggu mengambil air sembahyang,kita masih berborak-borak.

Dan,kita hanya "bersolat" ketika kita mendirikan 4 rakaat itu.Dan masa solat itu pun,kita masih lagi memikirkan kerja dan duit.Anda nampak tidak?Jadi,solat itu tidak mendatangkan kesan kepada diri kita.

Sepatutnya,kita apabila hendak pergi bersolat sahaja,kita sudah niat dalam hati,hendak pergi bersolat kerana Allah.Kita hendaklah bermonolog seperti di bawah ini.


Aku ini hendak berjumpa Allah.Aku diciptakan Allah.Yang lain ini adalah sementara sahaja.Aku pergi solat ini untuk meminta pengampunan-Nya.Aku pergi bersolat ini kerana hanya kepada Engkau sahaja Ya Allah aku memohon pertolongan.Tiada kepada yang lain lagi boleh aku minta.Aku bersolat ini kerana Engkau Tuhan sekalian alam.Pada Hari Akhirat nanti,Engkau yang akan mengadili segala perbuatanku di dunia ini.Jika di dunia ini,solatku tidak betul,tidak lengkap,bagaimanakah boleh aku mengharapkan bantuan-Mu?

Anda nampak tidak?Sepatutnya ini yang kita buat dari awal lagi sebelum bersolat.Cukup-cukuplah berhuha-huha bersama rakan-rakan anda buat seketika.Hentikan sebentar gundah-gulana gelak-ketawa ini.Anda bersolat bukan seperti membeli nasi lemak,sebaliknya anda bersolat ingin berjumpa Allah SWT!Tuhan anda!

Sebenarnya,solat itu adalah ibadat yang memberi kebaikan kepada kita.Ia dapat menjadikan kita manusia yang elok dan molek peribadi jika dilakukan dengan betul.Tidak percaya?Cuba baca artikel ini.Saya cadangkan anda baca artikel ini jika ingin melihat kebaikan solat dari sudut sains!

Tetapi,ramai orang yang tidak mencapai matlamat solat ini adalah kerana solat mereka tidak sempurna.Mereka ini tidak khusyuk di dalam solat samada kerana tidak faham bacaan di dalam solat,tidak fokus,tidak menyertakan hati dan pelbagai lagi sebab yang menjadikan mereka tidak khusyuk.

Ada disebut "Bersolatlah kamu seolah-olah kamu ini merupakan solat terakhir kamu".

Sepatutnya ayat di atas sudah cukup untuk mengkhusyukkan kita.Tetapi,seperti biasa,kita ini terlalu sayangkan dunia.

Saya berkongsi dengan anda maksud-maksud bacaan dalam solat di atas itu supaya kita dapat sama-sama melihat.Cuba lihat sebagai contoh bacaan duduk di antara dua sujud.

Dari situ kita dapat lihat,sebenarnya solat ini memberi kebaikan kepada kita!Allah SWT menyeru kita menyembah-Nya bukan sekadar main-main.Sebaliknya,supaya kita memohon kepada-Nya.

Ya Allah, ampunilah daku,
Rahmatilah daku,
kayakan daku,
angkatlah darjatku,
rezekikan daku,
berilah aku hidayah,
sihatkanlah daku dan
maafkanlah akan daku.


Bacaan di atas di baca ketika kita duduk di antara dua sujud.

Cukup semua bacaan di atas sebagai doa untuk kehidupan kita sehari-hari.Anda bayangkan,jika kita bersolat 5 kali sehari semalam,sepatutnya,kita boleh menjadi insan mulia jika solat itu kita lakukan dengan khusyuk.

Tetapi,masih kita tidak khusyuk.Kita solat sambil lewa.Ini mungkin terjadi kerana kita tidak faham apa yang kita bicarakan.Ya.Sebenarnya,setiap perkataaan yang dibacakan kita di dalam sembahyang itu adalah bicara kita dengan Allah SWT.


Itu sebab Nabi Muhammad SAW menyuruh kita untuk memahami bacaan di dalam solat kita.Kerana apa?Jika kita faham bacaan di dalam solat kita,kita akan berasa insaf dan menghayatinya.

Jika kita tidak faham,kita tidak akan dapat apa-apalah.Seperti burung kakak tua.Bercakap seperti Professor,tetapi apa yang ia faham?Tiada apa-apa.Sama juga seperti kita.


Sebaliknya,jika kita memahami setiap perkataan di dalam solat itu,dan kita dirikan solat,kita akan lebih khusyuk.Malah barulah solat kita akan membentuk diri kita menjadi umat Islam yang mulia.


Kita kena sedar.Dunia hendak kiamat.Kita tidak boleh menangguh-nangguhkan diri ke arah kebaikan.Kerana selepas itu kita akan lupa kembali.Selepas sahaja ilmu itu kita dapat,kita kena terus amalkan!

Janganlah bertangguh lagi.

Marilah kita berubah dan menghayati apakah simbolik solat itu kepada kita.Saya baru sahaja menonton sebuah video di Youtube yang bertajuk How Bible Led Me To Islam.Disampaikan oleh seorang bekas paderi yang memeluk Islam setelah menemui banyak keraguan dan kepalsuan di dalam kitab Bible.


Di dalam video itu disebutkan,kita sebagai umat Islam,hendaklah menunjukkan contoh yang terbaik kepada orang bukan Islam.Bukannya kita yang melebihi mereka dalam berhibur!Kita sebagai umat Islam kena berdakwah kepada mereka.Cara yang paling mudah untuk kita berdakwah adalah untuk menjadi umat Islam yang sebenar!

Ya,betul!Mencontohi peribadi Rasulullah dan mengamalkan ajaran Baginda.Bukan kita duk sibuk memuaskan nafsu berhibur sahaja setiap hari dan bertindak menurut emosi semata.Ingatlah,kita sudah mempunyai ubat (hidayah Allah/Islam) untuk segala masalah di dunia ini.


Janganlah kita menjadi orang yang paling malang dengan tidak mensyukuri dan memahami agama Islam ini.Ingat.Setiap perkara yang dilakukan kita di dunia akan dihisab nanti.

Janganlah kita menyesal di kemudian hari.Kerana,sesungguhnya,orang-orang yang tidak beriman pasti menyesal di kemudian hari.

Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh).Sehingga kamu masuk kubur.Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)! Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui - (apa yang kamu akan hadapi) - dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat).(Ingatlah) demi sesungguhnya! - Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang.Selepas itu - demi sesungguhnya!Kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)!Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!  [102:1-8]

Lihat.Allah telah memberi amaran kepada kita supaya jangan disebabkan kecintaan melampau kepada dunia,kita menyesal di kemudian hari.

Mari,renungkan diri kita dan memperbaiki diri.

Semoga yang hendak disampaikan difahami.Sesungguhnya setiap ibadat yang diperintahkan oleh Allah itu tidak lain dan tidak bukan mendatangkan manfaat kepada diri kita sendiri.Jika kita tidak bersembahyang,tidak mendatangkan sebarang kerugian langsung kepada Allah SWT.

Kerana Dialah yang menciptakan segala perkara di dunia ini.Hatta "masa" itu sendiri merupakan ciptaan-Nya.Tetapi,ibadat-ibadat ini diperintahkan oleh-Nya kepada kita kerana ianya adalah untuk kebaikan kita.

Janganlah menjadi orang yang lalai dan leka lagi.Mari renung dan berubah.


Assalamualaikum WBT dan Selamat Beramal.


5 comments:

  1. speechless....hati bdebar bace...nape ye....tp sy solat bukan sbb rutin tp bile xbuat nnt sy rase bdebar2 takot...mudah2an rmai yg membace n mengamalkan.....blog yg bagus^^ jazakallah 4 d input^^

    ReplyDelete
  2. terima kasih..terima kasih kerana menasihati dan memberi peringatan..=)

    barakallahufik..

    ReplyDelete
  3. saya mohon share di blog saya...terima kasih..

    ReplyDelete