10.1.10

Siri Kedua (1) : Coca-Cola Muslim (Terjemahan Teks Syarahan Dalam Bahasa Melayu)

Assalamualaikum.

Dalam post yang terdahulu saya telah berkongsi dengan anda sebuah video syarahan yang bertajuk The Coca-Cola Muslim Generation oleh saudara Abdul Raheem Green.

Video ini berkisarkan tentang punca-punca yang memungkinkan berlakunya ke-tak-konsisten-an iman dalam umat Islam dewasa ini.

Oleh kerana video itu mengambil masa sejam,yang saya sudah pasti kelajuan internet di Malaysia tidak dapat memainkan video itu,jadi saya telah menjanjikan kepada anda untuk cuba menerjemahkan teks syarahan itu.

Dan,Alhamdulillah hari ini saya diberi masa lapang oleh Allah untuk menulis penerjemahan teks syarahan itu.Semoga anda semua mendapat manfaat.

Sila ambil perhatian,mungkin terdapat beberapa ayat/perkataan di dalam syarahan itu bakal saya tukarkan kepada ayat/perkataan yang dirasakan sesuai dengan bacaan/situasi umat Islam di negara kita.

Dan,diingatkan,saya akan mengulas video ini dalam sambungan siri yang seterusnya Insya-Allah.Jika anda berminat untuk menyalin (copy) artikel ini,saya benarkan.Tetapi,saya minta jasa baik dan budi pekerti anda untuk menyertakan link ke Pena Maya.

Bukannya saya hendak mendapat nama atau pingat,bukan.Tetapi,supaya apabila orang membaca artikel ini nanti,orang akan pergi ke blog saya dan membaca artikel saya yang lain.Jadi,tidaklah penulisan saya yang lain itu membazir begitu sahaja tiada gunanya.

Sekurang-kurangnya,ilmu yang ada pada penulisan saya yang lain itu dapat dimanfaatkan oleh mereka yang lain.Terima kasih untuk itu saya dahulukan.

Semoga Allah membantu saya menghabiskan penulisan ini dengan elok dan menjauhkan saya dari penyakit riak.Niat saya hanya supaya ada orang di Malaysia yang dapat membaca teks ini dan menyampaikannya kepada orang lain pula.

Amin.

Selamat Membaca Dan Beramal.

Teks Syarahan The Coca-Cola Muslim Generation Oleh Abdul Raheem Green (Terjemahan Bahasa Melayu).

Lokasi : University Of Western,Perth,Australia
Info : Syarahan Kedua Dalam Siri Jelajah Australia Oleh Abdul Raheem Green

*Syarahan dimulakan oleh beliau dengan bacaan ayat Al-Quran dan Selawat ke atas Nabi Muhammad SAW*.

*Syarahan dimulakan.*

Kita mulakan dengan memuji Allah SWT,kita memuji-Nya,kita minta pertolongan-Nya dan kita minta pengampunan-Nya.Kita minta perlindungan dari Allah SWT dari kejahatan diri kita dan semua keburukan yang terjadi akibat dari perbuatan jahat kita.

Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah SWT hidayah,tiada sesiapa pun yang dapat menyesatkannya.Dan sesiapa yang disesatkan Allah SWT,tiada sesiapapun di atas muka bumi ini yang boleh memperbetulkannya.

Dan aku (Abdul Rahim Green) naik saksi bahawa tiada Tuhan yang patut disembah melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu Rasul Allah.Ayat yang paling bagus adalah Kalimah Allah (Al-Quran) dan ajaran yang paling betul adalah ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad.Kesesatan kita boleh membawa kita menuju api neraka.

Ini dia,seperti yang kita lihat,Coca-Cola (menunjukkan botol Coca-Cola) .

Apakah ianya Coca-Cola ini?Mari kita lihat disini (sambil membaca botol tulisan yang terdapat di botol itu).Di sini,di paket botol ini,ianya memberitahu kita kandungan minuman yang menjadi fenomena dunia ini.Air berkarbonat,gula,gas,warna,asid makanan,perasa dan sudah tentunya yang terakhir sekali kafein yang sebenarnya adalah ganti bagi bahan asal kepada Coca-Cola iaitu kokain.

Saya merasakan ianya (Coca-Cola) sesuatu yang menarik,bukan kerana topik hari ini adalah apakah itu Coca-Cola,tetapi apakah yang dilambangkan Coca-Cola terhadap dunia kita hari ini dan apakah maksud sebotol Coca-Cola ini.

Sudah semestinya Coca-Cola melambangkan budaya Amerika.Ya.Budaya Amerika Syarikat.Jika terdapat satu simbol yang kita boleh sebut untuk melambangkan budaya Amerika,inilah dia.Coca-Cola.Dan sememangnya tepat untuk melambangkan Coca-Cola ini dengan budaya Amerika.

Kerana budaya Coca-Cola adalah satu budaya materialism,ianya satu budaya konsumerisme,ianya satu budaya yang memberitahu kita bahawasanya untuk menikmati hidup ini,dalam menjadi yang terbaik dalam hidup ini,anda perlu memuaskan segala kehendak nafsu,syahwat dan selera anda.

Yang mana,cara untuk mengecap kejayaan dan menjadi gembira,adalah dengan menjadikan hidup anda dikelilingi dengan harta dunia.Beli barang ini.Beli barang itu.Dapatkan ini.Dapatkan itu.Apa yang anda rasa hendak buat,buatlah.Apa yang anda rasa hendak makan,makanlah.Anda rasa hendak berkelakuan aneh,silalah.Anda rasa hendak hidup sebegini,hiduplah.Tiada perkataan tidak untuk semua itu.

Tuhan yang perlu disembah,benda yang perlu dituruti,benda yang perlu manusia serahkan jiwa dan raga sepenuh hati dan menurut kehendaknya adalah nafsu,keinginan dan syahwat.Ya.Dalam bahasa Arab disebut hawa nafsu.Keinginan,ghairah dan perasaan ingin memiliki.

Dan!Coca-Cola ini melambangkan idea itu dengan begitu baik dan cemerlang.Ianya bukan sahaja melambangkan attitude,mentaliti dan falsafah hidup sebegini,malah ianya juga memberi kita idea yang agak tepat tentang kesan menghidupkan hidup anda dengan cara sebegini (cara hidup berpaksikan nafsu semata).

Kerana apa sebenarnya yang Coca-Cola dapat lakukan untuk anda?Anda minum,ianya berikan anda kesan booster ajaib yang hampir serta-merta.Kesan segera ini adalah perasaan yang berkisarkan kepuasan,keagungan dan pemulihan tenaga ke tahap yang segar.

Inilah yang Coca-Cola lakukan.Anda minum,anda puas,anda dapat sejumlah tenaga yang diperlukan oleh anda,anda dapat kick kafein di dalamnya dan kemungkinan sedikit "burp" selepas sahaja anda meminumnya.

Tetapi realitinya,sebaik sahaja anda meminumnya,anda akan rasa lemah kembali.Anda rasa tidak bertenaga kembali.Baru sahaja anda berasa bertenaga,tetapi selepas itu,anda akan kembali berasa tidak bertenaga.Dan untuk memastikan diri anda sentiasa bertenaga dan high,anda kemudiannya akan meminum dan meminum dan meminum lagi minuman ini.Hanya semata untuk mendapatkan kepuasan sementara yang telah anda kecapi tadi.

Dan inilah realiti orang yang hidup mereka yang hanya menyembah dan menurut kata dan perintah nafsu syahwat mereka semata dalam menjalani kehidupan.Malah,ianya melambangkan keseluruhan gambaran budaya Barat itu sendiri (budaya materialisme).Sebijik.

Tiadanya kepuasan yang bertahan lama.Kepuasan itu bersifat sementara,ianya merupakan boost yang sementara,keseronokan yang sementara dan diikuti oleh "kekosongan" yang berkadar serupa juga.Dan untuk berasa fun kembali,kita akan membeli/melanggan kembali.

Kita akan menjumpai pelbagai kaedah lagi dalam usaha memuaskan nafsu,tetapi,realitinya nafsu dan syahwat itu tidak pernah dan tidak boleh dipuaskan.Inilah realiti tabii kejadian manusia itu.

Rasulullah SAW bersabda "Jika seseorang itu diberikan segunung emas kepadanya,pasti dia akan meminta sebuah lagi gunung emas."

Anda nampak?Tiada apa yang dapat memuaskan geledak hawa nafsu seorang anak Adam itu melainkan debu tanah kuburnya.Tiada apa yang dapat memuaskan nafsu kita.Keinginan nafsu kita hanya tamat apabila kita mati!

Jadi,di sini anda akan nampak sebuah tamadun (jika kita boleh memanggilnya sebuah tamadun) atau ideologi yang mengajarkan kita cara untuk menjadi gembira dan fun dalam hidup adalah dengan memuaskan segala gelodak nafsu anda dengan cara mengikut segala keinginan anda (samada secara fizikal,emosi atau ideologi).Yang mana bermaksud,mengelilingkan hidup anda dengan kebendaan.

Realitinya?Kita tahu bahawa itu semua tidak membawa kepuasan yang lama.Anda beli sesuatu yang lawa,anda beli kereta,anda beli rumah baru,anda beli baju mahal,tetapi sampai bilakah kepuasan ini akan bertahan?

Satu jam?Dua jam?Tiga hari?Yang paling lama mungkin beberapa tahun,tetapi tidak lama selepas itu kita akan kembali mengidamkan sesuatu yang lebih mahal,cantik,dan laju.Laju.

Contohnya,anda cuba sesuatu sukan yang dapat memberi anda kelajuan adrenalin yang tinggi.Kemudian sukan ini.Kemudian sukan ini.Tetapi kita akan sentiasa mencari sesuatu yang dapat memberi kita lebih kick selepas itu.

Samalah dengan sesetengah orang yang memuaskan nafsu binatang mereka dengan mencuba pelbagai variasi dalam hubungan seksual.Tiada kepuasan abadi anda akan dapat jika anda asyik bertuhankan nafsu syahwat semata dalam hidup anda.Anda akan semakin jauh dari landasan selepas itu.

Itu sahajalah caranya untuk memastikan anda mendapat kicknya.Tetapi realitinya?Anda tidak akan pernah puas!Tidak kiralah seberapa banyak wang anda ada - anda tetap akan mahukan lebih banyak wang.Tidak kiralah anda ini sudah terkenal - anda akan ingin menjadi lebih terkenal.Tidak kira betapa cantik anda - anda pasti ingin menjadi lebih cantik.

Inilah realiti hidup bertuhankan nafsu!Jadi jika kita melihat kepada budaya Barat hari ini,apakah yang dapat kita lihat?Kita dapat lihat sesuatu yang amat-amat-amat menakutkan!

Kita dapat melihat suatu budaya yang sepenuhnya telah obses dengan konsumerism secara melampau!Dan apakah kesan dan akibat dari ini semua?Akibatnya adalah kita akan dapat melihat suatu fakta yang tidak adil!Segolongan kecil bilangan manusia dari penduduk dunia,melanggan sebahagian besar sumber dunia.

Apakah maksud ayat ini?Mari saya terangkan suatu fakta.17% dari populasi dunia pada hari ini melanggan 70% sumber asli dunia.1 dari 7!Sekali lagi saya terangkan,budaya bertuhankan nafsu ini membawa kita kepada pelangganan 70% sumber asli dunia oleh hanya 17% daripada populasi dunia.

Kita tahu hutan hujan dimusnahkan,kita tahu persekitaran kita sedang dicemarkan,kita tahu terdapat kebuluran di mana-mana,kita tahu adanya orang yang sedang mati di sana-sini (orang yang tiada kemudahan asas dalam hidup mereka) dan kita tahu masih ramai orang yang tidak mendapat bekalan air bersih,makanan dan perubatan yang cukup.

Tetapi,di manakah ini semua mengambil tempatnya?Ini semua berlaku dalam negara-negara yang mereka gelarkan dunia ketiga.Tetapi,jika anda melihat kepada mereka-mereka di negara dunia ketiga ini,anda akan dapat melihat sesuatu yang agak aneh.

Anda akan dapat melihat,mereka ini (negara dunia ketiga) sebenarnya adalah pengeksport makanan.Walaupun dalam keadaan mereka yang tidak memiliki bekalan perubatan yang cukup,mereka mengeskport bahan asas untuk dijadikan ubat.Dan hatta tidak memiliki baju yang cukup untuk diri mereka sendiri,mereka adalah pembekal baju untuk orang lain!

Ke manakah makanan ini semuanya dieksport?Ke manakah anda fikir bahan-bahan asli makanan ini dieksport?Ke manakah anda fikir baju-baju ini dieksport?Siapakah yang melanggannya paling banyak?Siapa anda rasa?

Jawapannya adalah Barat (Negara Maju)!Amerika,Australia,Eropah dan negara-negara maju lain!Yang mana merupakan peratusan kecil dari populasi dunia.

Mereka menguasai,melanggan dan mengeksploitasi sumber dunia.Mengapa?Kerana cara hidup yang kita namakan Budaya Coca-Cola ini mengajar anda bahawasanya cara untuk menikmati hidup anda sepuasnya adalah dengan memuaskan nafsu syahwat kebinatangan anda semata.

Ini realiti yang tidak dapat kita sembunyikan lagi.Dan untuk memastikan masyarakat society ini untuk terus wujud,ianya adalah perlu untuk sebahagian besar baki populasi dunia yang lain,berada dalam situasi kemiskinan dan kebuluran baik dari segi politik,ekonomi dan pemikiran mereka.

Ini kerana,sistem kapitalis dan kebendaan Barat ini bergantung kepada keupayaan untuk mengeksploitasikan orang ramai.Ianya bergantung kepada kebolehan untuk mendapatkan makanan,mineral dan sumber mineral asli serta buruh pada kos yang rendah,dan menjualkannya kembali pada kos yang maksimum!

Inilah realiti budaya Coca-Cola yang kita agung-agungkan dan sedang berada di dalamnya.

Inilah realiti falsafah kebendaan materialistik yang sedang menguasai dunia yang kita berada di dalamnya pada hari ini.Dan realitinya,dunia Barat ini tidak sekali-kali akan cuba untuk berhenti dari kegilaan ini.

Perang,percubaan perang,pembunuhan orang ramai,mengebom mereka,membunuh mereka - ianya tidak penting.Semua dilakukan dalam usaha untuk menjayakan matlamat utama menguasai dunia secara politik,geografi dan ketenteraan.

Mengapa?Ini kerana,bak kata mereka "menjaga gaya hidup kami yang berharga".Itulah yang mereka sebutkan.Itulah yang bekas pemimpin Amerika Syarikat beritahu kita: "untuk menjaga gaya hidup kami yang berharga".

Cara hidup yang berharga itu bermaksud kita ini adalah bebas sebebasnya untuk mengikuti nafsu syahwat kita,yang mana cara untuk menjadi bahagia adalah dengan memiliki sebanyak mungkin harta dunia yang anda boleh.Dan ianya tidak mengira jika sebahagian besar populasi dunia yang lain menderita asalkan kita semua masih memiliki "cara hidup kita yang berharga".

Itulah realitinya.

Jadi,apakah ini semua mempunyai kaitan dengan Muslim?Kenapakah kita memilih tajuk syarahan ini sebagai Coca-Cola Muslim Generation?

Sebenarnya,apa yang mengambil tempat di sini adalah suatu perang.Suatu konflik.Konflik itu tidak semestinya konflik yang melibatkan senjata dan perang sahaja.

Tetapi,ianya adalah,konflik ideologi.Ianya satu perang yang melibatkan ideologi.Ianya satu perang melalui pandangan dunia.Ianya perang,yang berkisarkan tentang tabii kejadian manusia.

Apakah tujuan hidup kita ini?Mengapakah kita berada di sini?Dan apakah tujuan sebenar kewujudan kita ini?Dan apakah sebenarnya yang dimaksudkan oleh kejayaan dan kebahagiaan sebenar.

Inilah perangnya,inilah konflik yang sedang mengambil tempat.Dan apa yang dapat kita dapat lihat adalah suatu pandangan dunia yang lain.Ideologi yang lain.Konsep yang lain.Dan itulah Islam.

Islam mengajar kita sesuatu yang agak berbeza.Islam mengajar,cara untuk berjaya dan gembira adalah bukan melalui penguasaan material kebendaan semata.Ianya bukan dengan berusaha memuaskan nafsu dan syahwat anda sahaja.Sebaliknya,keperluan manusia itu pada realitinya berbeza dari itu.

Islam tidak mengajar sesiapa yang mengikut jalan ini (hidup berpaksikan nafsu),siapa yang bertuhankan nafsu mereka siapa yang beragamakan pegangan nafsu semata boleh mencapai kejayaan dan kepuasan.

Islam mengajar ini bukanlah cara yang boleh dilakukan untuk mendapat kejayaan sebenar dalam hidup kerana ini bukan tabii kejadian manusia itu.Sebaliknya,Islam mengajar bahawa ada satu Tuhan,satu Pencipta yang menciptakan alam semesta ini.Dan Dia menciptakan segala-gala di dalam alam semesta ini dengan tujuan dan sebab.

Segala-galanya mempunyai tujuan.Segala-galanya mempunyai sebab dicipta.Dan ini menimbulkan satu persoalan.Apakah tujuan dan sebab kita diciptakan?Apakah tujuan kewujudan kita ini?Kenapakah kita berada di sini?Apakah tujuan kewujudan seluruh umat manusia ini?

Kita baru sahaja membincangkan sesuatu tentang idea budaya Coca-Cola.Ianya berkisarkan pandangan materialistik kebendaan.Tetapi,apakah yang Islam sebutkan?Apakah yang Al-Quran sebutkan?Kitab suci Al-Quran mengajarkan kita bahawa umat manusia diciptakan untuk satu tujuan yang mulia.

Al-Quran menyebut "Allah memberitahu kita bahawa kita diciptakan untuk beribadat/menyembah-Nya".Ada orang akan berkata: "Itu sahaja?Maksud saya,tujuan saya diciptakan hanya untuk beribadat kepada Allah?".

Dan ini adalah kerana mereka mempunyai pemahaman dan konsep yang amat sempit dan jahil tentang apakah yang dimaksudkan dengan ibadat/penyembahan itu.Mereka memikirkan ibadat itu dari pemahaman sekular duniawi materialisitik kebendaan yang telah didefinisikan oleh masyarakat Barat.

Ibadat (menurut pandangan mereka),mungkin pergi ke masjid dan menunaikan sembahyang lima kali sehari atau pergi ke gereja seminggu sekali,anda tunaikan sedikit ritual,anda melakukan sedikit pergerakan - itulah ibadat.

Walaubagaimanapun,terma ibadat itu dalam Islam itu yang kita terjemahkan sebagai worship mempunyai makna yang amat-amat mendalam.Ianya melebihi dari perbuatan "khas" yang anda lakukan.Ibadat dalam Islam itu adalah satu cara hidup yang menyeluruh (total).Ianya sesuatu (yang sepatutnya) dilakukan manusia sepanjang kehidupan mereka.

Dari saat mereka bangun tidur sehinggalah mereka tidur.Malah,di dalam tidur itu sendiri!Bagaimanakah ibadat itu memenuhi hidup anda?Jika kita lihat kepada definisi terma ibadat ini dan fakta bahawa Allah menciptakan kita untuk beribadat kepada-Nya,apakah yang dimaksudkan sebenarnya dari pernyataan ini?

Perkataan ibadat itu kita boleh terangkannya sebagai melakukan segala yang diredhai dan disukai oleh Allah SWT,Maha Pencipta Sekalian Alam dan meninggalkan perkara yang dilarang dan dimurkai oleh-Nya.

Segala-galanya yang Allah redha dan suka,itu adalah Ibadat.Samada ianya dilakukan dengan hati atau tubuh badan.

Apakah perbuatan yang dibuat oleh hati?Perbuatan yang dibuat oleh hati adalah cinta,harapan,kasih sayang,takut,keikhlasan dan sebagainya.Inilah contoh dari perbuatan yang dizahirkan oleh hati.Jadi,anda perlu menzahirkan suatu perbuatan oleh hati yang diredhai Allah SWT.Contohnya,tidak busuk hati,tidak bongkak serta sentiasa ikhlas dalam kehidupan.

Dan,perbuatan ibadat yang dizahirkan oleh anggota fizikal kita pula adalah segala-gala yang dilakukan oleh anda secara luaran.Sebagai contoh,solat yang dilakukan anda,puasa anda,hubungan antara suami dan isteri,ia boleh jadi bagaimana anda berjalan,bagaimana anda bercakap malah mandi dan lain-lain.

Jadi,ibadat itu bermaksud anda perlu melakukan sesuatu yang diredhai Allah secara zahir dan batinnya.Dan hanya dengan melakukan ini (ibadat),seseorang itu dapat menjumpai ketenangan,kebahagiaan,kemakmuran dan kepuasan yang sebenar.

Hanya dengan cara ini sahaja!Yang lain-lain itu sebenarnya ibarat Coca-Cola sahaja.Anda minum,ianya mendatangkan kesan segera (seperti maggi),anda puas dalam sejam dua tetapi ianya tidak akan bertahan lama.

Malah,ketika sahaja anda mencapai kepuasan,selepas itu dengan pantasnya ia akan menjadikan anda lesu kembali.Dan realitinya,ianya tidak akan pernah memuaskan anda.Ianya memberikan anda ilusi kebahagiaan yang sementara.Sesiapa sahaja yang pernah mengalami ketagihan alkohol/arak/ganja/rokok atau pernah mengambil dadah,mereka akan merasai ini pada beberapa peringkat yang berbeza.

Sesiapa sahaja yang pernah melalui jalan ini pasti tahu hakikat ini.Bila anda minum arak atau mengambil marijuana atau apa-apa sahaja seperti ini,anda akan mendapat suatu saat di mana seperti heroin mungkin berakhir dalam tempoh 24 jam.Jika ganja,mungkin dalam beberapa jam.

Anda akan mempunyai saat di mana anda merasai "ketenangan".Tetapi,masalahnya,ia akan habis.Tidak berkekalan.Dan masalah yang lebih besar adalah,untuk mendapatkan perasaan itu semula,anda perlu mengambilnya lebih banyak dan lebih banyak dan semakin banyak!

Sehinggakan ia sampai pada tahap ianya tidak memberi kesan pada anda lagi.Tetapi,anda kini sudah ketagih!Anda ketagih terhadap rutin tabiat ini dan anda terus mengambilnya (walaupun anda sedar ianya tidak lagi mampu memberi anda "ketenangan" yang diharapkan).Walaupun menyedari hakikat itu,tetapi anda masih meneruskan ketagihan kegilaan ini.

Dan anda sebenarnya menempah jalan anda ke pemusnahan diri sendiri.Malah,ianya tidak mendatangkan sebarang "ketenangan" pada anda sekarang sebaliknya anda sekarang sedang memusnahkan diri anda sendiri dan adalah mustahil untuk meninggalkannya.

Inilah realiti kehidupan kita.Jadi,mungkin kelihatan pada kita bahawa sesiapa yang tidak beribadat kepada Allah,sesiapa yang tidak mengikut jalan yang benar,sesiapa yang melakukan perkara yang dimurkai Allah,mungkin mereka kelihatan bahagia.

Mungkin mereka mengecapi saat bahagia jika dilihat dari mata kasar.Dan anda mungkin berfikir "Oh!Mereka ini adalah orang-orang yang bahagia.Mereka ada kehidupan yang bagus.Mereka ada kualiti hidup yang bagus.Ada rumah besar".Tetapi,itu hanyalah "kebahagiaan" luaran yang bersifat sementara sahaja.

Malah,jika anda memerhati situasi mereka dengan lebih lama,dan jika anda memerhati dengan mendalam dan kritikal,anda akan dapat menyimpulkan bahawa ini tidak benar.

Anda sebenarnya akan dapat melihat yang "kebahagiaan" mereka tidak bertahan lama.Contohnya,baru-baru ini di England dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan mereka bahawa banyak wanita muda mula mengamalkan tabiat pengambilan alkohol/arak secara berlebihan.

Itulah masalah di England sekarang.Banyak wanita yang mula menjadi kaki botol.Dan mereka risau kerana salah satu kesan dari sindrom ini adalah akan berlakunya kerosakan hati (organ badan) yang teruk.Dan apa yang menariknya adalah baru-baru ini saya membaca satu artikel dalam surat khabar.

Artikel itu menemubual dua orang wanita (pekerjaan bagus,pendapatan tetap,gaji lumayan,rumah besar) dan dua orang wanita ini mengakui bahawa mereka mengalami ketagihan arak.Tetapi,perkara yang menarik adalah,mengapa dan apa yang membuatkan mereka menjadi penagih alkohol/arak!

Anda ingin tahu?Mereka apabila ditanya soalan itu menjawab "Hidup kami sangat kosong dan bosan.Dan kami mula mengalami tekanan.Dan sesuatu yang kelihatan dapat menghilangkan tekanan dan kebosanan (menurut pendapat mereka) adalah menjalani kehidupan bebas (berpaksikan nafsu melampau)."

Maksudnya,hanya mengikut apa yang kita mahu dan melakukan apa yang kita suka untuk melahirkan kepuasan pada diri buat beberapa ketika.Inilah yang mereka katakan.Itulah yang mereka tulis.

Persoalannya,bagaimanakah boleh seseorang yang mempunyai kerja yang baik,duit yang banyak,rumah yang lawa dan segala-galanya masih mengatakan hidup mereka kosong dan tertekan?Apakah ini?Apakah yang boleh kita tafsirkan dari pernyataan kita ini?Apakah yang masih menyebabkan mereka berasa kosong?

Jika anda melihat kepada kes ini dan anda sebenarnya boleh melihat banyak lagi kes yang lain,yang mana anda dapat melihat cerita yang sama seperti ini berulang kembali dan kembali.Orang akan bertanya mengapa?Mengapa ramai rock-star yang memusnahkan diri mereka dengan mengambil dadah,alkohol dan membunuh diri mereka dengan pelbagai cara lagi jika populariti,nama,kejelitaan dan harta sepatutnya dapat mendatangkan kebahagiaan kepada kita?

Jika ianya benar,mengapa orang-orang ini masih tidak bahagia dan berasa kosong?Di sini pasti terdapat sesuatu yang silap.Itulah yang hendak disampaikan oleh saya.Bila anda lihat secara kritikal dan mendalam,anda akan dapat lihat walaupun mereka-mereka ini kelihatan bahagia pada luarannya,tetapi realitinya ternyata jauh berbeza.

Cara hidup begini (berpaksikan nafsu) tidak dapat melahirkan rasa kepuasan/kebahagiaan yang sebenar.Ianya bersifat sangat sementara.Orang boleh berbuat pelbagai perkara untuk membuatkan mereka kelihatan gembira,tetapi realitinya adalah tidak.Mereka tidak bahagia.Jika ya,mengapa mereka terus membeli dan membeli,mencari kebahagiaan?

Islam mengajar kita cara yang ternyata berbeza untuk menjadi gembira.Apakah ia?

*syarahan tidak tamat lagi,sebaliknya akan disambung penerjemahan dalam sambungan seterusnya nanti*

Baiklah para pembaca Pena Maya,saya terpaksa berhenti setakat ini buat masa ini kerana kesuntukan masa.Saya harap setakat ini anda dapat apa yang ingin saya terjemahkan buat masa ini.

Sambungan untuk terjemahan syarahan "The Coca-Cola Muslim Generation" akan saya sambung dalam masa terdekat.Insya-Allah.

Buat masa ini,cuba anda renungkan apa yang telah saya tulis (terjemahkan) di sini.Anda renung kembali apa silap dan salah dalam gaya hidup kita.

Doakan saya diberi waktu lapang untuk menulis sambungan terjemahan ini dalam masa terdekat.Insya-Allah.Jika ada salah dalam ejaan atau apa-apa,sila maklumkan kepada saya.Kerana anda tentu maklum,tugas menerjemah ini bukannya mudah.

Dan sekali lagi diingatkan,jika ingin menyalin (copy) artikel ini,sila sertakan link Pena Maya.Bukannya saya ini gila populariti,tidak langsung.Tetapi,ini supaya jika ada orang baca artikel ini,mereka akan buka blog saya dan membaca artikel saya yang lain.

Jadi,ilmu yang lain tidak dibazirkan begitu sahaja.Anda tentu faham bukan?

Jadi,setakat ini sahaja buat kali ini.Nantikan sambungan yang seterusnya.Mungkin ada beberapa sambungan lagi kerana syarahan itu mengambil masa 1 jam 30 minit.Tentulah mengambil masa yang lama untuk saya terjemahkan.

Saya akhiri penulisan saya buat kali ini dengan ucapan Assalamualaikum dan dengan harapan kita semua mendapat manfaat dari penulisan saya ini.

Amin.

Selamat Beramal Dan Semoga Mendapat Keredhaan Allah SWT.


5 comments:

  1. Alhamdulillah. Besar jasa anta Umar.

    ReplyDelete
  2. im following..nnt tulis ag yer...-edy

    ReplyDelete
  3. Tq bro. Semoga kita faham realiti hidup yg penuh pura2, dan kepuasan sebenar hanya ada pada keimanan dgn Islam. Dunia hanya hiburan semata. Kehidupan sebenar ialah akhirat sana.

    ReplyDelete
  4. Alhamdulillah umar..besar pengorbanan ko nie..
    same2 kite sebarkan kebenaran..aminn..

    ReplyDelete