16.2.10

Siri Kembara 5 : Apabila Diri Berada Di Dalam Zon Selesa...

Assalamualaikum.

Kembali lagi kita di dalam Siri Kembara.Sedar tidak sedar,sudah 5 artikel saya telah tulis untuk siri ini.Untuk siri 5 ini,saya tidak mahu menulis dengan terlalu panjang lebar kerana kesuntukan masa.Tetapi,anda jangan risau.Insya-Allah kandungannya tetap berkualiti.Bukankah kualiti lebih penting dari kuantiti?

Amalkanlah konsep di atas ini dalam kehidupan anda.


Baiklah.Dalam artikel sebelumnya,saya sudah menyatakan bahawa saya telah tiba di Lapangan Terbang Borg El Arab,Alexandria (مطار برج العرب الدولي) pada pukul 12 tengah malam waktu tempatan Mesir.

Dan jarak antara rumah rakan saya dengan Lapangan Terbang itu agak jauh.Mengambil masa perjalanan lebih kurang 40 minit menaiki teksi.Jadi,menunggulah saya di Lapangan Terbang itu.

Semasa menunggu itu,terdetik juga di dalam hati perasaan cuak.Yalah.Saya seorang diri.Sekeliling saya,ramai orang Arab.Saya sudahlah tidak pandai berbahasa Arab,duit Mesir tiada,nombor telefon Mesir tiada,waktu sudah malam dan sebagainya.

Tetapi,perasaan cuak itu tidak lama untuk berlalu kerana saya bingkas mengingatkan diri sendiri bahawa Allah sentiasa bersama dengan orang yang mengingati-Nya.

Ya.Itu point pertama kita untuk hari ini.Ke mana sahaja kita pergi,ingatlah.Allah sentiasa bersama kita.Bila sahaja kita merasakan takut atau gentar berada di tempat asing,bermohonlah kepada Allah akan perlindungan.Insya-Allah tiada apa-apa yang bakal berlaku.

Tetapi,kita kenalah yakin dengan bantuan Allah.Dan berdoa itu dengan perasaan rendah diri dan mengharap.Bukan berdoa nak tak nak je.

Untuk pengetahuan anda,tempat menunggu Lapangan Terbang itu,terletak di luar bangunan.Kerusi untuk duduk pula adalah kerusi besi yang saya fikir mungkin sudah menjangkau 30 tahun umurnya.

Angin Alexandria pada malam itu agak kuat.Tetapi nyaman.Berbeza dengan iklim di Moscow.Sambil saya melayang fikiran berfikir macam-macam seorang diri di tempat asing itu,sedar tidak sedar sudah 40 minit sudah saya menunggu kawan saya.

Tiba-tiba,ada orang menjerit memanggil nama saya "Umar.Weh!".

Kawan saya,Abdullah Ammar telah tiba rupanya.Dia pun membawa saya menaiki teksi.Di dalamnya pemandu teksi sudah sedia menunggu.Kami pun menaiki teksi ke rumah beliau.Sepanjang perjalanan,kami berborak panjang.

Dalam pada itu,mata saya liar memerhatikan sekeliling.Panorama jalanraya Mesir di waktu malam.

Tiba-tiba datang dari arah bertentangan kami,di atas jalan yang sama,sebuah motosikal.Penunggang motosikal itu menunggang tanpa memakai topi keledar.Ammar menerangkan bahawa itu adalah perkara biasa di Mesir.Saya tergelak dengan kesantaian dan kesempoian negara Mesir ini.

Ammar berpendapat adalah lebih elok untuk kami singgah di kedai makan dahulu sebelum balik ke rumahnya.Jadi kami pun berhenti di kedai makan berdekatan rumahnya untuk makan malam.

Rakan saya itu mengorderkan dua burger daging halal untuk saya.

Perasaan bangga menjalar di dalam dada apabila melihat kereta Perodua Kancil di hadapan kedai burger.Ya.Anda pasti berkata perkara ini perkara biasa sahaja.Tetapi,saya tetap berbangga.

Melihat gerai burger itu,saya merasa bersyukur.Ya.Betapa bersyukurnya perlu kita rasa jika kita hidup di kawasan majoriti umat Islam.Makanan mudah dapat.Tetapi,kebiasaannya manusia ini,bila dia berada di dalam comfort zone,pasti dia akan lupa kepada Penciptanya,Allah SWT.

Itulah adat manusia.Kadang kala,bila difikirkan,saya bersyukur juga dihantar belajar ke luar negara.Ke negara di mana orang Islam menjadi minoriti.Kerana setelah hidup dalam keadaan serba kekurangan inilah,otak saya baru terbuka dan akal saya baru dapat melihat betapa murahnya rezeki rakyat Malaysia.

Setelah saya merantaulah,saya merasakan diri saya semakin dekat dengan ilmu agama dan sebagainya.Jika saya kekal di Malaysia?Saya tidak mahu ulas.Kerana cabaran untuk seorang anak muda seperti saya ini untuk belajar di Malaysia amat tinggi.

Ialah.Seperti yang saya cakap tadi,comfort zone.Apabila semua benda kita mudah dapat,hidup senang,jarang kita untuk mengingati Allah.Itu tabii manusia.

Itulah sebab kita jangan mengeluh apabila ditimpa masalah/penyakit.Sebenarnya masalah/penyakit itu ada hikmahnya didatangkan kepada kita.Mungkin Allah hendak kita mengingati dan kembali menghadap-Nya dan memohon ampun dari-Nya.

Itulah sebab kenapa dalam hidup,jangan suka mengeluh.Kita sebagai orang Islam kena gagah.Berani menghadapi cabaran.Jangan takut berseorangan.Jangan takut ditimpa masalah.Jangan berputus asa.

Renung ayat Quran di bawah ini.

Sesungguhnya telah berlaku sebelum kamu (contoh kejadian-kejadian berdasarkan) peraturan-peraturan Allah yang tetap; oleh itu mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana akibat orang-orang yang mendustakan (Rasul-rasul).(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, dan petunjuk serta pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang yang tertinggi (mengatasi musuh dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman. [3:139]

Allah menyuruh kita mengembara.Kerana dengan mengembara,kita dapat keluar dari kepompong pemikiran seharian kita.Ini akan menyebabkan kita berfikir.Dan apabila kita mula berfikir,kita akan nampak kelemahan diri.

Tetapi,kebiasaannya dalam ramai-ramai yang mengembara,hanya sedikit yang terbuka mata.Sedih bukan?

Baiklah.Mari sambung lagi.

Tidak lama kemudian,sedang kami menjamu selera,seorang rakan Ammar sampai.Ingin menyambut saya katanya.Tetapi,jika difikirkan,mungkin dia tidak sabar kot untuk berjumpa dengan saya.Ialah.Sudah lama tidak bertemu.Tentu anda tertanya bukan siapakah nama beliau?Beliau adalah Allif Abdul Muiz.

Sengaja saya sebutkan namanya dari awal.Kerana dia bakal memainkan peranan yang agak penting juga dalam Siri Kembara ini nanti.

Selepas sahaja menjamu selera.Kami pun pulang ke rumah dengan berjalan kaki.Perasaan saya semasa berjalan kaki itu adalah bersyukur.Amat bersyukur.Yalah.Siapa sangka dalam umur tidak sampai 20 tahun,sudah saya jelajah negara orang.Alhamdulillah.

5 minit berjalan kaki,kami pun tiba.Reaksi pertama saya apabila melihat rumah mereka adalah,

"YA ALLAH!BURUKNYA RUMAH!"

Yup.Rumah mereka sangat buruk (saya akan menceritakan bagaimana struktur rumah mereka nanti kepada anda,tetapi bukan sekarang).Anda pernah melihat segmen sejarah di Discovery Channel?Begitulah rumah mereka.Bukan niat saya hendak mengutuk rumah mereka dengan menulis di sini,tetapi apa yang ingin disampaikan saya kepada anda betapa penting kita untuk bersyukur.

Betul.Selama ini,saya menyangkakan hostel saya di Moscow-lah paling buruk,tetapi rupanya ada lagi pelajar lain yang lebih teruk nasib mereka dari saya.

Jadi,kesimpulan di sini adalah,jika anda merasa diri anda paling malang di dalam dunia,sentiasalah bersabar dan ingatlah bahawa masih ada orang yang lebih malang nasib mereka daripada anda di dunia ini.

Kemudian,saya pun memasuki rumah mereka.Dan,selepas sahaja menyiapkan diri,bersolat dan sebagainya,tidak sampai 10 minit berbaring di atas katil,saya terus tidur lena sehingga esok hari.

Penat mengembara mungkin.

Jadi,bersempena saya tidur ini,kita hentikan dahulu artikel ini di sini.Dan insya-Allah akan disambung semula siri ini pada hari esok.

Sehingga artikel seterusnya,Assalamualaikum dan Selamat Beramal.

2 comments:

  1. Salam Umar. Babah rasa keputusan anda merakamkan kenangan ini dalam bentuk tulisan sebegini amat bagus sekali. Teruskan usaha ini. Insya-Allah ramai yang akan mendapat manfaat daripadanya atau sekurang-kurangnya dapat merasai suatu pengambaraan bersama anda...

    ReplyDelete
  2. Terima Kasih Babah.
    Semoga Allah merahmati usaha saya.

    Saya menulis ini pun supaya ilmu yang saya dapat itu saya tidak lupa.

    Masa depan nanti,boleh rujuk kembali.

    ReplyDelete