4.3.10

Siri Kembara 11 : Mengejar Dunia (Secara Berlebihan),Apa Yang Kau Dapat?

Assalamualaikum.

Kembali lagi di dalam Siri Kembara.Saya akan menulis artikel ini dengan panjang dan detail.Sila rujuk artikel-artikel sebelumnya untuk mengetahui jalan cerita artikel ini.Dan sila habiskan juga pembacaan anda untuk memahami artikel ini.

2 Februari 2010

Saya bangun awal pada pagi itu di rumah Alif.Tetapi,sebenarnya awal saya itu tidaklah seawal mana.Ini kerana apabila Alif mengejutkan saya dari tidur,saya melihat rakan-rakan serumahnya baru selesai mengerjakan Solat Subuh secara berjemaah.

Agak malu juga saya pada ketika itu.Ini kerana tidur agak lena.Terlalu penat mungkin.

Kemudian,saya pun bangun dari tidur untuk menunaikan Solat Subuh.Selepas sahaja Solat Subuh,bisikan Syaitan mengajak saya untuk tidur kembali di atas katil.Tetapi,niat terbatal apabila melihat Alif dan rakan-rakannya sedang duduk berzikir dan berborak di ruang tamu rumah mereka.

Di dalam hati saya berbisik, "Inilah yang patut aku lakukan sebagai umat Islam!".

Pernah seorang guru (rakan) mengatakan kepada saya,salah satu punca umat Islam pada hari ini kalah (luntur moral dan iman) adalah kerana kegagalan mereka menjaga Solat Subuh secara berjemaah.

Kita juga kalah kerana kita tidur selepas Subuh yang mana waktu itu sebenarnya merupakan pintu rezeki.Apabila disebut rezeki di sini,tidak bermaksud hanya rezeki dari segi material.Fikir-fikirkan sesuatu di sini.

Ya.tidak digalakkan untuk kita tidur selepas Subuh.Kerana sebenarnya banyak kesan negatif dari sudut psikologi untuk kita tidur selepas Subuh.

Tetapi,tentunya anda bertanya.Bagaimanakah untuk tidak tidur selepas Subuh?

"Ngantuklah bro."

Jangan bimbang.Saya ada menulis tentang ini suatu masa dahulu.Dan saya juga pernah mengamalkan benda ini.Tetapi,sejak akhir-akhir ini,saya agak leka dengan dunia lantas tidak mengamalkannya.Insya-Allah selepas ini,selepas saya menulis ini,saya akan mengamalkannya kembali.

Adatlah manusia,bila ada kemewahan dunia,sering kita lupa kepada Allah.Itulah sebab mengapa saya suka menulis.Kerana tiap kali saya menulis,saya memberi nasihat dan renungan untuk diri sendiri juga.

Baiklah.Berkenaan link yang saya sebutkan di atas ini,anda boleh baca artikel ini - Cara Tidur Yang Betul Menurut Islam (Bagaimanakah Caranya Untuk Bangun Subuh?).

Seriously.

Cara ini memang berkesan.Saya pernah mengamalkannya.Dan kini sedang cuba mengamalkannya kembali setelah agak tersasar landasan.

Baiklah berbalik kepada cerita saya tadi.Kemudian,saya dan rakan-rakan baru berborak-borak di ruang tamu rumah mereka pada pagi itu.

Banyak juga pertanyaan dan soalan yang dibicarakan kami.Seperti ice-breakinglah katakan.Terdetik di dalam hati saya "Indahnya Islam.Saya baru sahaja mengenali mereka ini,tetapi mereka telah melayan saya dengan baik dan ramah sekali.Ini semua berlaku kerana dasar persaudaraan yang dianjurkan Islam".

Untuk pengetahuan anda,Islamlah yang pertama sekali di dalam dunia yang memperkenalkan konsep Brotherhood tanpa mengenal kaum,bangsa,pekerjaan,kasta dan keluarga.Hanya berpegang pada tali persaudaraan Islam,kita semua adalah satu keluarga.

Tetapi,cuba renung diri kita pada hari ini.Adakah kita mengamalkannya?Mungkin anda boleh menonton video ini.Terdapat suatu pengajaran yang dapat direnung di sini.

3 jam kemudian,setelah siap mandi-manda,memakai baju dan sebagainya,Alif dan Lut mengajak saya keluar di sekitar Cairo (Kaherah).Siapa Lut?Lut ini merupakan rakan Alif juga.

Mereka bercadang membawa saya pergi ke kawasan piramid.

Lama juga perjalanan kami itu.Sepanjang perjalanan,banyak gambar yang saya tangkap.Dan,untuk setiap gambar ini ada cerita tersendiri.Mengapakah saya berkata sedemikian?Ini kerana,sepanjang perjalanan kami di dalam bas,banyak cerita sejarah yang Lut ceritakan kepada saya.Akan saya ceritakan juga kepada anda dalam artikel ini.

Semasa menunggu bas,Lut bercerita tentang siapakah Salahuddin Al-Ayyubi dan tentang sejarah tamadun Islam.Oleh kerana kembara saya ini sudah berlaku lebih sebulan lepas,saya tidak dapat mengingati cerita itu secara detail.Tetapi,ada sesuatu yang menarik untuk diquote di sini untuk anda difikirkan.

Lut mengatakan kepada saya sesuatu yang lebih kurang bunyinya seperti begini "..setiap abad (100 tahun) akan lahir seorang Mujaddid yang akan memperbaharui urusan agama ini..".

"Apakah Mujaddid itu?"Tanya saya kepada beliau.

"Mujaddid inilah orang yang akan menegakkan agama Allah di muka bumi.Contohnya,Salahuddin Al-Ayubbi inilah.Beliau mengetuai umat Islam mempertahankan agama Allah."

"Dan,sememangnya pola agama Islam ini turun naik.Sekarang ini kita berada di dalam zaman kemerosotan.Tetapi,Allah SWT menjanjikan kita bahawa Islam akan mencapai juga kemenangan akhir nanti."

Cuba renung kisah ini.Mengapakah kita sedang berada pada tahap kemerosotan sekarang ini?Senang sahaja.Ini kerana kita tidak mengamalkan agama Islam.Islam itu sebenarnya bukan agama.Ianya adalah cara hidup.Ini kerana apabila kita sebut agama,orang hanya membayangkan tempat sembahyang.

Tidak.Islam bukan menyentuh sekadar kita sembahyang lima waktu.Islam adalah cara hidup.Di dalamnya,ada cara hidup yang terbaik yang perlu dijadikan panduan oleh umat manusia.Cara yang diajarkan oleh Maha Pencipta kita sendiri,iaitu Allah SWT yang disampaikan kepada kita oleh Rasulullah SAW.

Mengapa kita merosot?Kerana kita mengikut cara yang lain dari cara yang disuruh oleh Allah.Jadi?No wonderlah kita merosot.

Adakah anda ingat Allah akan membantu kita jika kita tidak sembahyang,tidak memakai tudung,tidak menegakkan agama-Nya?Cuba lihat ayat di bawah ini.

"Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman - selain daripada orang-orang yang ada keuzuran - dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (Syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar." [4:95]

Nampak sesuatu?Adakah anda membuat apa yang dituntut di dalam Al-Quran ini?Jika tidak,adakah anda layak merungut mengatakan itu dan ini?Berjihad tidak semestinya bermaksud anda mengangkat senjata.Berjihad boleh jadi anda berdakwah.Berjuang memperbetulkan kepincangan di sekeliling anda.Boleh jadi anda menulis blog menyeru orang ke arah jalan Allah?

Fikir-fikirkan.

Kemudian,semasa di dalam perjalanan,dari dalam bas,saya ternampak satu botol Coca-Cola gergasi berputar di tepi jalanraya.Iklan mungkin.

"Heh,Coca-Cola".

Kemudian,Lut menjawab,

"Itulah permainan Yahudi.Mereka menguasai kita melalui perkara-perkara inilah.Hiburan.Cuba lihat semalam contohnya semasa Egypt menang perlawanan akhir Piala Afrika.Bukan main taksub lagi mereka.Hilang segala nilai-nilai Islam.Mereka merayakan kemenangan itu sepertinya mereka telah menang melawan musuh Islam.Padahal,hakikatnya,Mesir ini bersebelahan sahaja dengan Palestin.Tetapi,kita umat Islam boleh bergembira apabila menang bola melupakan saudara seagama.Apa cerita?Sukalah orang Yahudi melihat kita ini."

Muzium yang menempatkan mayat Firaun yang tenggelam di dalam air.Ada diceritakan kisah ini di dalam Al-Quran.

Kemudian,kami melalui satu tempat.Muzium Firaun.Agak mahal juga bayaran.Oleh kerana saya memang tidak merancang untuk pergi ke sana,jadi,kami tidak pergi.

Tetapi,ada sesuatu yang mahu diceritakan oleh saya kepada anda.Cuba bayangkan.Kisah Firaun yang tenggelam di dalam air ini,semua orang tahu kisah ini.Di mana ini merupakan salah satu mukjizat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada Nabi Musa AS.

Tetapi,kenapakah masih ada orang di Mesir yang tidak nampak perkara ini?Tidak nampak sesuatu di sini?

Benarlah firman Allah di dalam Al-Quran yang bermaksud lebih kurang begini,"hanya Allah sahajalah yang boleh memberikan hidayah kepada seseorang itu,dan Allah berhak menyesatkan/membutakan mata hati sesiapa yang dikehendakinya".

Saya tidak pasti bangunan apakah ini.Rasanya bangunan salah sebuah Universiti di Kaherah.

Kemudian,Lut membuka cerita lagi.Di dalam ceritanya,diceritakan bahawa di Kaherah ini terdapat Gereja yang terbesar di Afrika.Ironi bukan?

Dan,kita semua sedia maklum bahawa di Mesir ini masih terdapat kedaifan yang melanda secara berleluasa.Jadi,diceritakan kepada saya bahawa ada sesetengah orang Islam di sini,yang memeluk Kristian kerana tidak tahan dengan kemiskinan.

Mereka memeluk Kristian kerana bantuan kewangan yang dihulurkan pihak Kristian.Di Malaysia ada juga gerakan seperti ini.

"Tak tahan sangat dengan nikmat dunia." ujar Lut kepada saya.

"Kalau nak ikutkan,menjadi umat Islam itu sebenarnya sememangnya tidak senang.Jika dilihat Nabi SAW sendiri,Baginda mana hidup senang.Makan pun kadang-kadang kurma je.Tetapi,bukan kesenangan di dunia yang kita nak cari.Kerana jika hidup ikut nafsu,tak bawak ke mana.Lepas dapat satu,nak satu ."

Tersedu saya.Teringat saya terhadap Siri Coca-Cola Muslim yang pernah ditulis saya satu ketika dahulu.Benar.Mengejar dunia secara berlebihan,apa yang kita boleh dapat?Kepuasan?Tidak sama sekali.

Loon,seorang artis Hollywood yang kini telah menjadi seorang pendakwah Islam menyatakan pandangan peribadinya terhadap dunia glemer dan popular yang digila-gilakan majoriti penduduk dunia pada hari ini.

"Sebenarnya,kita membayar untuk mendapatkan penyakitnya (hiburan).Tetapi,penyembuhnya kita boleh dapat dengan percuma (Islam).Adalah malang untuk mendapati,ramai dari kita sanggup membayar untuk hiburan yang merosakkan jiwa dari merawat jiwa secara percuma."

Kemudian,kami lalu di tepi Sungai Nil.Besar sungai ini.Seperti laut.

Ada cerita yang ingin diceritakan oleh saya kepada anda tentang Sungai ini.Tetapi,oleh kerana saya sudah menulis dengan agak panjang,akan saya ceritakan dalam sambungan yang akan datang.

Assalamualaikum Dan Selamat Beramal.

No comments:

Post a Comment