30.3.10

Surah Al-Fatihah Sebagai Ibu Al-Quran (Umm al-Kitab)

Assalamualaikum.

Saya baru membaca tafsir Al-Quran sebentar tadi.Di bahagian belakang tafsir itu terdapat sedikit penerangan dan sejarah penurunan tentang setiap ayat dan surah.

Di dalam artikel ini,saya tertarik untuk berkongsikan dengan anda sedikit maklumat tentang Surah Al-Fatihah.

(Penulisan selepas ini bukan tulisan penulis,sebaliknya merupakan salinan dari Tafsir Al-Quran tersebut)

Muka depan dan belakang Tafsir Al-Quran keluaran Yayasan Restu Selangor

(Al-Quran ini) sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu (dan umatmu wahai Muhammad), -Kitab yang banyak faedah-faedah dan manfaatnya, untuk mereka memahami dengan teliti kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna beringat mengambil iktibar. [38:29]

Surah Al-Fatihah
(Pembuka 'Al-Quran)


Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. Segala puji tertentu bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat). Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.Tunjukilah kami jalan yang lurus.Iaitu jalan orang-orang yang Engkau telah kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) orang-orang yang Engkau telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat. [Surah Al-Fatihah:1-7]

Surah Al-Fatihah dinamakan juga dengan : Umm al-Kitab (bermakna "ibu al-Qur'an" kerana ia merujuk kepada keseluruhan makna Al-Quran),al-Syafiyah (bermakna "yang menyembuhkan" kerana ia memberi kesembuhan kepada penyakit rohani dan jasmani),dan al-Wafiyah (bermakna yang lengkap kerana ia melengkapi makna keseluruhan al-Quran).

Gelaran-gelaran lain bagi Surah ini adalah seperti berikut :

Al-Kafiyah - Bermakna "yang mencukupi" kerana dengan membacanya ketika qiyam,solat seseorang sudah memadai untuk sah,manakala tanpa membacanya menyebabkan solat seseorang batal.

Al-Asas - Bermakna "asas" kerana ia diibaratkan asas Al-Quran dan merupakan Surah yang pertama menurut tertib penyusunannya.

Al-Hamd - Bermakna "segala pujian" kerana ia bermula dengan kalimah ini.

Al-Sab'u Al-Mathani - Bermakna "tujuh tempat berhenti" kerana ia mempunyai tujuh ayat.

Disebut dalam Sahih Al-Bukhari bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada Abu Sa'id bin Al-Mu'alla yang bermaksud :

"Aku akan ajarkan kepada engkau satu Surah yang merupakan Surah yang teragung di dalam Al-Quran iaitu ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ yang mempunyai tujuh tempat berhenti dan merupakan (ayat) Al-Quran yang agung yang dikurniakan kepadaku."

Surah Al-Fatihah diwahyukan di Makkah dan bilangan ayatnya ialah tujuh ayat berdasarkan ijma' ulama.Dinamakan Al-Fatihah kerana Surah tersebut menjadi pembuka kepada Al-Quran ,yakni merupakan surah yang pertama dari segi tertib penyusunannya di dalam Al-Quran walaupun bukan dari segi penurunannya.

Surah ini walaupun pendek,sebenarnya merangkumi segala pengertian,objektif dan perbendaharaan Al-Quran secara umum.Justeru itu,surah ini dikenali juga sebagai "Umm al-Qur'an".Ini dapat diperhatikan apabila Surah ini memperkatakan asas-asas agama yang merangkumi:

a) Aqidah merangkumi keimanan kepada Allah SWT,sifat-sifat-Nya,keesaan-Nya,kurniaan nikmat dan keimanan pada hari akhirat. (Ayat 1-5)

b) Ibadah,termasuk persoalan doa,memohon pertolongan dan hidayah,ikhlas,istiqamah dan kesatuan ummah. (Ayat 6)

c) Minhaj kehidupan,iaitu pemilihan tata cara kehidupan yang benar dan diredhai. (Ayat 7)

(Penulisan selepas ini adalah penulisan penulis)

Itulah dia penerangan dan maklumat tentang Surah Al-Fatihah.

Sesungguhnya kita sebagai umat Islam,fahami dan hayatilah maksudnya.Kerana ia dapat membantu kita khusyuk di dalam solat.Dan solat yang khusyuk dapat melahirkan individu muslim yang mulia.

Setakat ini sahaja untuk artikel kali ini.

Assalamualaikum dan Selamat Beramal.

4 comments:

  1. Indahnya.... Thanks for sharing this important knowledge :)

    ReplyDelete
  2. salam..
    amalan membaca surah Al-Fatihah juga banyak manfaatnya..
    Sesugguhnya Allah itu maha mengetahui..

    ReplyDelete
  3. Terima Kasih Semua.Semoga Mendapat Manfaat.

    ReplyDelete
  4. Ty for sharing my brother raz :)

    ReplyDelete