18.4.10

Tanggungjawab Kita Sebagai Umat Islam Abad Ke-21 & Adab Berada Di Masjid


Assalamualaikum.

Petang tadi saya berkesempatan untuk pergi ke Masjid Besar Moscow.Saya tidak pasti apakah nama sebenar masjid ini.

Tetapi,dari apa yang saya faham,masjid ini merupakan masjid utama di Moscow ini.

Setelah menunaikan solat,saya pun terjumpa satu flyer (lihat gambar di atas) yang diletakkan di atas tabung masjid.

Sebelum menerangkan apakah yang ditulis di atas flyer itu,saya berminat untuk menulis tentang adab berada di masjid.

Dan,untuk perkara adab-adab di masjid ini,saya akan menulisnya dalam bentuk point.

1) Seperti yang kita semua tahu,masjid merupakan Rumah Allah.Jadi,kita hendaklah berkelakuan sopan dari awal lagi kita memasukinya iaitu dengan langkah kaki kanan sambil membaca doa memasuki masjid.

2) Seperti mana kita beradab ketika memasuki rumah orang dengan memberi salam,begitu juga dengan memasuki masjid.Perkara pertama yang perlu dilakukan oleh kita ketika memasuki masjid seeloknya adalah menunaikan Solat Sunat Tahyatul Masjid sebanyak dua rakaat.

Hadis Jabir bin Abdullah RA katanya: Ketika Nabi SAW sedang berkhutbah pada hari Jumaat, datanglah seorang lelaki. Rasulullah SAW bertanya kepadanya: Adakah engkau telah mendirikan sembahyang Tahiyyatul Masjid, Wahai Polan! Orang itu menjawab: Belum! Rasulullah SAW bersabda: Bangun dan sembahyanglah! (Sahih Muslim)

3) Oh ya,saya terlupa.Sebenarnya perkara pertama yang anda perlu lakukan ketika dalam perjalanan ke masjid adalah memastikan niat di hati anda telah dipasang dengan betul.

4) Niatkan anda pergi ke masjid itu ikhlas kerana Allah SWT untuk beribadat dan mencari keredhaan-Nya,bukan untuk menunjuk-nunjuk dan bukan juga untuk mendapat perhatian orang ramai.

5) Beribadat itu bukan semestinya sembahyang sahaja.Banyak lagi perkara lain yang boleh dilakukan untuk beribadat.

6) Selepas sahaja menunaikan Solat Sunat Tahyatul Masjid,duduklah anda beriktikaf.Niatkan di dalam hati anda duduk beriktikaf di dalam masjid itu kerana Allah SWT.

7) Selain itu,anda juga boleh berzikir,beristighfar atau yang paling mudah membaca Al-Quran dan Tafsirnya.

8) Elakkan berbual kosong di dalam masjid.Sudah cukup-cukuplah dengan bicara dunia anda lakukan di luar masjid.Ambil kesempatan semasa berada di dalam masjid untuk memperbanyakkan amal.

9) Perlahankan suara anda.Kerana mungkin ada jemaah lain yang sedang bersembahyang.Tidakkah konsentrasi mereka akan terganggu semasa bersembahyang?

10) Jaga kebersihan masjid dan tandas masjid.Adalah amat memalukan jika kita Umat Islam yang agama kita (Islam) mengajar kebersihan,tetapi tandas di masjid baunya lebih hancing dari bau rumah peliharaan kucing.

11) Ingat.Kebersihan itu sebahagian dari iman.Kekotoran itu kesukaan syaitan.Ingat.

12) Jika ada wang lebih,dermakanlah ke dalam wang tabung masjid.Sesungguhnya amal kebajikan kita itu kelak akan dapat membantu kita.Yang penting niat ikhlas kerana Allah SWT.

13) Jika anda ada membawa anak kecil,jagalah tingkah laku anak kecil anda itu.Latih mereka.Supaya mereka menghormati masjid.Janganlah membiarkan mereka berborak-borak sekuat-kuatnya di dalam masjid bersama rakan-rakan mereka.

Itulah dia antara adab ketika berada di masjid.Semoga anda dapat sesuatu dari 13 perkara yang saya sampaikan di atas.

Baiklah.

Berkenaan dengan flyer di atas ini,di dalam Bahasa Melayu-nya bermaksud "Islam Menentang Keganasan".

Anda tentu tahu bukan ada sesuatu berlaku di Moscow baru-baru ini yang menyebabkan Islamophobia meningkat kembali?

Jadi,umat Islam di sini mengikut kata flyer ini akan mengadakan satu talk untuk memperbetulkan tanggapan ini.

Apa yang dapat dilihat di sini?

Bagi saya,apa yang dapat dilihat,adalah kita umat Islam akhir zaman ini,sememangnya banyak ditindas dari segala segi.

Banyak juga salah faham terhadap agama Islam berleluasa dalam kalangan umum.

Jadi,sebenarnya,adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam sendiri untuk memperbetulkan tanggapan ini.

Kita tidak boleh hanya menunggu tindakan kerajaan,agensi swasta dan sebagainya untuk menangani isu ini.

Sebaliknya,setiap dari kita bertanggungjawab untuk memperbetulkan pemahaman yang salah terhadap Islam.

Dan,kita juga wajib berdakwah terhadap orang bukan Islam serta orang Islam yang telah tersasar landasan.

'Kita' yang dimaksudkan di sini adalah mereka yang mempunyai kesedaran.Kita tidak boleh bertindak perlahan.Mestilah pantas.Gunakan segala alternatif media yang ada.Blog,Youtube dan sebagainya.

Sekarang ini nampaknya sudah mula ramai,walaupun masih sedikit golongan pelajar/professional muda yang menjalankan dakwah secara bersepadu.

Alhamdulillah.Semoga usaha ini berkekalan.

Tetapi,apa yang penting adalah,kita tidak boleh leka lagi.

Bak kata Syeikh Hasan Al-Banna,kewajiban-kewajiban kita lebih banyak daripada masa yang ada pada kita,oleh itu gunakanlah masa dengan sebaik-baiknya dan ringkaskanlah perlaksanaannya.

Itu sahaja yang hendak disampaikan oleh saya.

Semoga kita semua mendapat kekuatan dan rahmat dari Allah SWT.

Insya-Allah.

Dan satu lagi perkara yang tidak kurang juga pentingnya,kurangkan beretorik dan berfalsafah,banyakkan pelaksanaan.

Assalamualaikum dan Selamat Beramal.

1 comment:

  1. salam,alhamdulillah,,teruskan smngt saudara :) senyum2 sll

    ReplyDelete