11.7.10

Siri Percutian Musim Panas 1 : Pengenalan/Bersyukurlah Kita

Perhatian : Sila baca sehingga habis untuk memahami mesej yang ingin disampaikan oleh Penulis.Dan bahasa yang digunakan mungkin agak santai.Maaf di atas sebarang kesulitan.Selamat Membaca.

Assalamualaikum.

What's up?Sorry for the late update.Banyak sebab yang menyebabkan perkara ini terjadi.

Apa-apapun,untuk pengetahuan anda semua,sekarang ini merupakan Musim Panas di Negara-Negara Barat dan kebanyakan daripada mereka di sana sedang bercuti.Jadi,para pelajar kita yang menuntut di sana juga kebanyakannya sedang pulang bercuti ke tanah air.Selamat Bercuti untuk mereka.

Tetapi,mesti ingat.Bercuti bukanlah bermaksud 'bercuti'.Tanggungjawab kita sebagai hamba Allah tetap ada.Kita umat Islam secara jujurnya hanya boleh bercuti apabila sudah tiada masa lagi untuk kita,yakni apabila sudah meninggal dunia.Jadi,selama mana kita hidup,selama itulah kita kena berusaha membuat amal sebagai persediaan di akhirat kelak.

Kerana di akhirat nanti ada dua sahaja destinasi akhir bagi kita.Syurga atau Neraka.Kita mahu pilih mana?Tentulah Syurga,bukan?Oleh kerana kita mempunyai impian yang besar untuk memasuki Syurga,lakukanlah apa yang diperintahkan Allah,jangan ingkar larangan-Nya.

Ini kerana hanya orang yang cemerlang sahaja boleh memasuki Syurga.

Tetapi,apa-apapun,kita kena ingat,ke manakah arah kita kelak semuanya bergantung kepada rahmat Allah SWT yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Itulah sebab kita kena sering menadahkan tangan berdoa dan memohon kepada-Nya.Adakah anda fikir jika di dunia ini kita tidak pernah bersembahyang atau main-main ketika melakukannya,kita layak mendapat kemenangan abadi (Syurga) itu?

Ya.Kita manusia memang sering terlupa.Itulah kenapa kita kena saling ingat-mengingati sesama sendiri,menghadirkan diri dalam Majlis Ilmu dan mencari Ilmu melalui pembacaan.Barulah kita sentiasa ingat kepada hakikat hidup kita ini.

Apa-apapun,berbalik kepada tajuk penulisan kali ini.

Seperti disebutkan di atas,dikatakan pada waktu ini ramai pelajar Malaysia di luar negara (terutamanya mereka yang menuntut di negara Eropah) sedang berada di tanah air yang tercinta bercuti bersama keluarga.

Saya merupakan salah seorang daripada mereka.Ho Yeah.

Jadi,seperti biasa,saya ini memang suka membuat sesuatu yang nampak official.Itulah pasal sempena percutian kali ini,saya dengan sukarelanya membawakan kepada anda satu lagi Siri Penulisan dari Pena Maya iaitu Siri Percutian Musim Panas (PMP)!Ho yeah lagi.

Tujuan penulisan ini diadakan supaya saya boleh menceritakan apa yang saya dapat lihat dan simpulkan tentang situasi di negara kita melalui pandangan seorang belia (??) yang sudah lama tidak pulang ke Malaysia.

Saya sudah tiba di Malaysia beberapa hari yang lepas.Alhamdulillah.Masih ada rezeki diberikan oleh Allah kepada saya dan rakan-rakan yang lain untuk pulang ke Malaysia.

Sepatutnya mengikut rancangan saya pada mulanya,artikel ini akan ditulis sebaik sahaja kaki mencecah tanah di Malaysia.Ya.Begitu bersemangat sekali saya ketika itu.Tetapi,biasalah manusia.Suka merancang berlebih-lebihan.Dan melupai hakikat bahawa kita hanya merancang.Allah juga yang menentukan segala-galanya.

Dan,seperti yang anda dapat lihat dan saksikan sendiri,rancangan saya gagal.Haha.Itulah kenapa setelah berada di Malaysia lebih kurang hampir seminggu,barulah artikel ini diterbitkan.

Kembali kepada topik utama kita.

Semasa di dalam flight menuju ke Malaysia dari Abu Dhabi itu hari selepas tempoh penukaran flight yang agak lama (tiada penerbangan terus dari tempat saya belajar ke Malaysia),saya dapat melihat dan menyaksikan beberapa perkara.

Saya catatkan beberapa perkara itu di sini.

Saya duduk di tepi tingkap (tentu anda tidak faham apakah rasionalnya saya memberitahu anda perkara ini),jadi saya dapat melihat panorama di luar kapal terbang.

Saya merasa sangat takjub apabila dapat melihat langit yang begitu besar dan tidak bertiang.Saya menjadi takjub sebenarnya kerana sebelum ini tiada ilmu,jadi tidaklah takjub sangat.Apabila sudah ada ilmu,takjublah.Tahu kenapa saya takjub?

Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Ia bersemayam di atas Arasy; dan Ia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya) tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Ia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan). [13:2]

Bukankah di dalam Al-Quran disebutkan bahawa setiap perkara yang diciptakan Allah ada memperlihatkan bukti kekuasaan-Nya bagi orang yang mahu berfikir?

Dan,dari sini kita dapat melihat beberapa perkara.

Yang pertamanya,betapa pentingnya ilmu.Apabila kita berilmu,barulah kita tahu hakikat alam ini,dan barulah kita sedar bahawa di sebalik alam ini ada Pencipta.Pencipta yang Maha Esa.Dia yang menciptakan segala-galanya.Dia yang kekal selama-lamanya.SubhanAllah.

Jadi,apabila sudah mengetahui hakikat ini,kita pun secara tidak langsung akan berusaha mencari lebih ilmu,dan memperbaiki amalan kita.

Insya-Allah.

Itu yang pertama.Yang keduanya,semasa berada di atas Selat Melaka,saya dapat melihat di sebelah kiri kapal terbang kelihatan permukaan darat Semenanjung Malaysia.Ho yeah!Dan di sebelah kanan kapal terbang terdapat kepulauan Sumatera milik Indonesia yang saya tidak dapat lihat.Tetapi,berpandukan pengetahuan geografi yang sedia ada.

Saya terfikir,luas juga Selat Melaka ini.Dan apabila melihat negara kita dari atas udara,saya merasakan betapa perlunya kita rakyat Malaysia untuk bersyukur kerana dikurniakan Allah negara yang subur dan permai ini.

Yalah.Ingat semua negara ke dikurniakan cuaca yang panas sepanjang tahun sesuai untuk bercucuk tanam dan segala?Kita kena bersyukur tentang ini sebenarnya.Kemudian,kita juga perlu bersyukur kerana kita di Malaysia masih lagi berpeluang memiliki rumah dengan keluasan tanah yang luas di sekeliling.Ada negara,penduduknya padat.Kawasan peribadi rumah mereka hanyalah di dalam rumah mereka.Tiadanya tempat bercucuk tanam,tiadanya tempat anak-anak bermain basikal dan sebagainya.

Dan banyak lagi perkara yang kita kena syukurkan.Jika ingin dikira,tidak terhitung oleh kita.Itulah bukti betapa kita ini lemah.Dan semua rezeki ini dikurniakan oleh Allah.Jadi,sebagai tanda kesyukuran,jadilah hamba-Nya yang bersyukur.Jangan lupa diri.

Cuba lihat diri anda.Banyak bukan rezeki yang dikurniakan kepada anda yang anda tidak pernah minta tetapi anda dapat?Tetapi itulah.Kita ini manusia hanya nampak sesuatu yang tidak diperolehi kita.Tanpa memikirkan hikmah yang berlaku di sebalik kejadian itu.Tidak pernah bersyukur.

Ketahuilah kita bahawa,Allah SWT Maha Mengetahui dan Dia menjadikan sesuatu itu untuk kita ada hikmahnya.Jadi,kita ini bersyukurlah.Kita kena ingat,kita masih berpeluang melakukan ibadat secara tenang.Cuba lihat saudara kita di negara lain?Adakah begini keadaannya?

Fikir-fikirkan.

Saya mahu menulis lagi,tetapi sudah agak panjang.Jadi saya sambung kemudian hari sahajalah,okay?

Insya-Allah dalam masa terdekat saya akan menulis kembali.

Assalamualaikum dan Selamat Beramal.

Nota Kaki : Maaf tiada gambar disertakan.Kamera diletakkan di dalam luggage itu hari.


2 comments:

  1. btul3.....bile sesuatu bende tu dah ditarik baru la nk menghargai....ak cmtu la dulu ckp mknn dm xsedap la,hape la.....skrng bile da susah cri mknn halal bru la rse rindu mknn kat dm dulu...huhu

    ReplyDelete