21.7.10

Siri Percutian Musim Panas 10 : Hidup Jangan Merungut

Assalamualaikum.

Di dalam hidup ini,seringkali kita merungut.Merasakan kitalah yang paling sengsara.Tidak dinafikan,saya juga begitu.Selalu sahaja saya merungut tentang itu dan ini.

Tetapi,cuba anda renung keliling anda.

Buka mata anda.

Sedarlah.Anda bukanlah orang yang termalang di dunia.Tahu kenapa?Mari kita tunjukkan beberapa contoh orang yang lebih malang dari kita.

Kes Pertama : Umat Islam di Negara-Negara Eropah/Negara-Negara Bukan Islam

Mereka mendapat nikmat petunjuk hidayah itu bukanlah seperti kita yang lahir-lahir sahaja sudah memeluk Islam.Kesannya,mereka amat-amat menghargai Islam itu apabila sudah mengenal indahnya Islam.

Jika mereka memeluk Islam dengan ilmu,lagilah mereka cintakan dan hargai nikmat Islam itu.Jadi,mereka ini sering berusaha mempertingkatkan amal ibadat mereka.Sering mencuba yang terbaik.Sering cuba menyebarkan Islam kepada rakan-rakan.

Tetapi,mereka ini mempunyai satu masalah.Mereka menghadapai cabaran yang amat besar dalam menunaikan kewajiban sebagai Umat Islam.Bagi Lelaki,mungkin dari segi godaan nafsu dan sebagainya.Bagi Perempuan,mungkin dari segi kesukaran bertudung/berhijab dan sebagainya.

Bagi Golongan Bekerja pula,mereka menghadapi kesukaran mencari waktu/space masa untuk menunaikan solat.Yalah.Bukan seperti di Malaysia.Ada waktu rehat Solat dan sebagainya.

Tetapi,still,mereka melakukan apa yang diperintahkan Allah.Mereka cuba menjadi Umat Islam yang terbaik.Walaupun diberi dugaan yang besar.Kerana Islam itulah nikmat terbesar bagi mereka.

Memang tidak dinafikan ada Golongan yang meninggalkan Solat.Tetapi,apalah guna kita membandingkan diri dengan Golongan yang teruk.Ini kerana,pengakhiran hidup kita ini kelak hanya ada dua destinasi.Satu ke Syurga,dan satu lagi ke Neraka.Dan,orang yang ke Syurga itu semuanya cemerlang-cemerlang belaka.

Jadi,jika kita inginkan Syurga,bandingkanlah diri kita dengan orang yang Cemerlang.

Dan satu lagi tentang Umat Islam di Negara-Negara Eropah/Bukan Islam ini,mereka punya aktiviti dakwah lebih kuat berbanding kita di Malaysia.Tidak percaya?Cuba buka Youtube.Banyak sebenarnya dari mereka ini,baru sahaja memeluk Islam,mereka sudah mencari ilmu yang di Malaysia jika kita ada ilmu sebegitu,kita dikategorikan sebagai Lebai.Padahal,menuntut ilmu itu adalah satu kemestian.

Kemudian,mereka yang baru memeluk Islam ini,begitu menghargainya.Dan mereka menyebarkan Islam itu dengan bersungguh-sungguh.Mereka tekun berusaha meninggalkan cara hidup lama mereka yang tidak betul dan mengamalkan Islam.

Apa Untuk Difikirkan Di Sini : Kita di Malaysia Masjid/Surau punya bersepah-sepah,adakah kita menggunakannya?Kita di Malaysia ada waktu rehat khas untuk bersolat,adakah kita memanfaatkannya dan berjemaah ketika bersolat?Kita di Malaysia,keadaan punya tenang untuk berdakwah,adakah kita melakukannya?Jangan asyik fikir salah orang/kerajaan/jiran dan sebagainya.Fikirkan apa yang kita ada.Gunakan kelebihan dan nikmat yang diberi kepada kita untuk menegakkan agama.Ingatlah.

Adakah Kita Lebih Malang : Sudah semestinya tidak.Jadi?Berhentilah merungut.Belajarlah bersyukur.

Kes Kedua : Kisah Makcik Bagasi Hitam

Ini kisah benar yang berlaku di Moscow itu hari.Saya sudah lama hendak menceritakannya di dalam blog.Tetapi,sering terlupa.

Mari kita mulakan cerita kita.

Tahun ini,Musim Panas di Russia amat-amatlah panas.Jadi,pada suatu hari (sebelum saya pulang bercuti),ketika turun dari Tram,kelihatan seorang beberapa orang wanita tua sedang menjaja.

Saya ternampak seorang Wanita Tua yang amat-amat tua.Badannya agak bongkok dan kurus.Kulitnya berkedut.Saya ceritakan ciri-ciri fizikalnya ini untuk memudahkan otak anda berimaginasi sekaligus memudahkan pemahaman terhadap jalan cerita.

Beliau (Wanita Tua) ini,menjual beberapa barang lama.Saya suspek barang-barang ini semuanya berasal dari rumah Beliau ataupun Beliau ambil dari Tong Sampah.

Serious.

Saya yang baru turun dari Tram ini kemudiannya menghampirinya,bertanya apakah yang dijualnya.

Beliau kemudian mengatakan bahawa semua barang yang ada itu untuk dijual belaka.

Hati saya tersentuh kerana barang-barang itu sememangnya sudah usang.Memang tidak adalah orang hendak membelinya jika difikirkan logik.Dan,apabila difikirkan,Makcik ini tentulah sangat-sangat memerlukan duit pada ketika itu.

Itulah pasal barang-barang lamapun Beliau terpaksa jual.Bayangkanlah betapa susahnya hidup Beliau ketika itu.

Jadi,saya melihat apa-apa yang boleh 'dibeli'.Yalah.Takkanlah hendak beri duit bantu Beliau sebegitu sahaja.Ini kerana,jika Beliau hendak meminta sedekah,sudah pasti Beliau tidak membawa barang yang sebegitu banyak untuk dijual.

Jadi,sebagai remaja yang ada manners (Astaga,Jangan Riak),saya mestilah memilih barang untuk dibeli.Supaya hatinya tidak terguris.

Saya kemudiannya mencapai satu beg tangan (sengaja saya tulis pada tajuk perkataan bagasi kerana ianya lebih bergaya) hitam.Begnya sudah buruk.

Saya tanya.Berapa harga beg ini?Beliau mengatakan ianya berharga RM 4 (Setelah ditukarkan ke dalam Ringgit Malaysia).

Saya terkedu.Sikitnya.Nak makan apa je RM 4.Jadi,saya pun membayar lebih sedikit.

Beliau sungguh terharu apabila diberikan bayaran lebih.Kemudian saya pun beredar.Setelah agak jauh dari tempat penjualan tadi,saya memandang belakang kembali.Dan melihat Makcik itu sedang mengemas-ngemas barang.Hendak pulang agaknya.

Cuba lihat.Makcik ini berniaga hanya sekadar mahu makan.Ya.Mahu membeli makanan.Bukan hendak mencari untung.Sedih bukan?

Dan ya.Ini merupakan kisah benar.Anda tentu musykil kerana sungguh banyak kisah Makcik yang saya pernah tulis di blog ini.Tetapi,itulah hidup.Anda tidak menjumpai kisah pengajaran hanya sekali.Sebaliknya,pengajaran itu berlaku sepanjang hidup anda.

Apa Untuk Difikirkan Di Sini : Kita ini saban hari sibuk mencari duit dengan matlamat untuk hidup bermewah-mewah selepas itu.Ditakdirkan,pada satu hari,kita tiada duit.Bukan tiada,sebaliknya kurang.Jika biasanya kita makan Nasi Ayam,tetapi hari ini,kita hanya boleh makan Nasi Ikan.Itupun kita sudah mengamuk.Marah-marah.Tidak bersyukur.Cuba fikirkan keadaan Makcik ini.Bagaimanakah agaknya jika kita menjadi Makcik ini yang agak-agaknya sudah tidak makan sehari suntuk.

Adakah Kita Lebih Malang : Sudah semestinya tidak.Jadi?Berhentilah merungut.Belajarlah bersyukur.

Kes Ketiga : Kisah Kucing Pasar Dan Jack,Si Anjing

Begini.Saban hari jika pergi ke kedai makan/pasar,pasti terjumpa kucing atau anjing yang berkeliaran.Kasihan bukan mereka ini?

Memanglah mereka bukan manusia.Tetapi,setiap yang dijadikan Allah itu ada hikmahnya.

Yang paling menyedihkan apabila melihat kucing-kucing ini adalah bila mereka hendak meminta makanan dari manusia,ada sesetengah golongan yang tidak berotak ini meludah,memukul hatta membaling air panas kepada mereka.

Apa ke jenis manusiakah ini?

Kemudian,apabila melihat ada kucing mati di tengah jalan.Sayu juga.Kena langgar.Adeh.Akibat pembangunan yang dilakukan manusia tanpa memikirkan alam sekitar,begitulah jadinya.Kalau saya seorang sahaja yang prihatin,tiada guna juga.Kita semua kena prihatin.Barulah ekosistem boleh tenteram.

Inikan tidak.Manusia yang diciptakan untuk menjadi Khalifah di muka bumi,sebaliknya menjadi lebih teruk dari Haiwan sendiri.

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". [2:30]

Kemudian,ada juga kisah di kampung saya.Begini.Adalah seekor Anjing ini.Mari gelarkan Anjing itu Jack.

Jack ini sakit dan datang ke rumah Nenek Saudara saya.Tidak tahu Beliau berasal dari mana.Ada orang buang mungkin.Kemudian,Nenek Saudara saya ini kasihan akannya.Nenek Saudara saya inipun berilah makan padanya.Tidak lama kemudian,Jack sembuh.Agaknya,Jack sudah menganggap Nenek Saudara saya ini Tuannya,jadi Jack selalu hang-out/lepak di kawasan rumah Nenek Saudara saya (Rumah kampung bukankah mempunyai kawasan tanah yang luas).

Hendak dijadikan cerita,mentaliti orang yang tidak berilmu,ada ke patut Jack mati diracun oleh orang kampung yang tidak berpuas hati dengannya.

Apakah ini?Jack hanya duduk di kawasan luar rumah Nenek Saudara saya.Bukannya masuk ke dalam rumah.Dan hendak kata Jack pergi ke rumah orang lain,tidak juga.Kerana,rumah Nenek Saudara saya ini memang besar kawasannya.Jadi,tidaklah Jack pergi ke kawasan rumah orang lain kerana rumah orang lain agak jauh juga dari kawasan Rumah Nenek Saudara saya ini.

Jack hanyalah seekor anjing.Ya,memang ianya haram dipegang.Tetapi,bukanlah bermaksud kita boleh membunuhnya sesuka hati.Berdosa tau.Lagipun,Nenek Saudara saya tidak pula menyentuh Jack atau sebagainya.

Anjing itu juga makhluk Allah.Bukan Nenek Saudara saya yang menyuruh Beliau datang duduk di rumahnya.Jack sendiri yang bersiar-siar sekitar rumah Nenek Saudara saya tanpa dipaksa.

Inilah salah satu mentaliti orang Melayu yang saya masih tidak faham sehingga kini.Masih kurang faham agama agaknya.

Pernah dengar satu kisah tentang Pelacur dan Anjing? (Link)

Begini.Ada seekor Anjing.Tempang.Kemudian,Anjing ini haus.Pelacur ini membuka kasutnya dan menadah air untuk diberikan kepada Anjing.Hanya disebabkan kerana perbuatannya ini yang berbuat baik dengan Anjing itu,dosa Pelacur ini kemudiannya diampunkan Allah.Ada sesetengah riwayat berkata,Pelacur ini dimasukkan ke Syurga kerana perbuatannya ini.

Inilah bukti betapa Allah itu Maha Penyayang Dan Pengampun.

Pengajaran dari kisah ini,kita kena ingat,Anjing Dan Kucing itu semuanya Makhluk Allah.Kita akan mendapat pahala jika kita berbuat baik kepada mereka selagi tidak melanggar syarak.

Apa Untuk Difikirkan Di Sini : Kasihan sebenarnya Anjing dan Kucing di bandar/kampung.Diseksa tanpa sebab yang khas oleh manusia yang zalim.Memang kisah ini agak tiada kaitan dengan Tajuk besar kita.Tetapi,masih boleh menjadi pengajaran.

Adakah Kita Lebih Malang : Sudah semestinya tidak.Jadi?Berhentilah merungut.Belajarlah bersyukur.

Itulah dia kisah-kisah yang boleh kita jadikan pengajaran.Banyak lagi sebenarnya orang yang lebih malang dari kita.Contohnya,orang yang sakit tenat,orang yang miskin,orang yang kematian ahli keluarga dan sebagainya.

Kita yang bernasib baik ini,henti-hentilah merungut.Belajarlah bersyukur.

Apa-apapun,ambil yang jernih,buang yang keruh.

Jika ada silap salah,betulkan.Jangan emosi pula.Rileks.Itulah namanya perkongsian ilmu.Tidak semestinya apa yang saya cakap betul.Okay?

Sekian.

Assalamualaikum dan Selamat Beramal.


No comments:

Post a Comment