25.7.10

Siri Percutian Musim Panas 14 : Islam Sebagai Petunjuk/Garis Panduan Hidup

Assalamualaikum.

Kita sering tertanya-tanya kenapakah berlakunya masalah sosial dalam kalangan masyarakat kita pada hari ini.Kita juga sering tertanya-tanya di manakah silapnya sehinggakan berlakunya masalah ini.

Petang tadi,saya berada di Kuala Lumpur.Sedikit urusan peribadi untuk diselesaikan.Saya menaiki bas ke sana.Perjalanan dari rumah saya ke Ibu Negara hanya mengambil lebih kurang 90 minit.

Di dalam bas,saya berkesempatan membaca sebuah buku.Bagus bukunya.Dari pembacaan saya itu,saya terfikir sesuatu.Sengaja ingin ditulis di sini untuk dijadikan pengajaran untuk diri dan orang lain.

Di Kuala Lumpur,sempat saya melihat beberapa contoh yang boleh saya kaitkan dengan penulisan yang bakal saya tulis ini.

Begini.Sebenarnya,punca utama gejala sosial dan akhlak serta kemerosotan jiwa yang melanda kita semua hari ini (termasuk saya) adalah kerana kita mengabaikan pengajaran Islam.

Senang bukan?Itu semua orang tahu.Saya tahu tentang itu.

Tetapi,apa yang ingin ditulis dalam penulisan kali ini adalah mengenai Islam sebagai Petunjuk/Hidayah/Garis Panduan Hidup kepada kita semua.

Seperti yang kita tahu,Islam adalah satu cara hidup.Ianya bukan sekadar agama.Kerana,apabila disebut agama,sepantas kilat minda kita hanya tertumpu kepada ibadat-ibadat tertentu sahaja.

Islam,sebaliknya,bukanlah satu agama semata-mata.Sebaliknya,ianya adalah satu cara hidup yang diturunkan oleh Allah SWT,Tuhan Sekalian Alam kepada seluruh umat manusia melalui Rasulullah SAW.

Islam itu lengkap.Dari cara kita tidur,makan,mandi,membersihkan hadas,beribadat sehinggalah kepada pengurusan harta dan ekonomi.Segala-galanya lengkap.

Kenapa ianya lengkap?Ini kerana ianya adalah satu cara hidup yang diturunkan oleh Allah.Dan Allah itu adalah Maha Pencipta Sekalian Alam.Dia tahu apa yang kita perlukan.Segala yang diturunkan itu terbaik untuk kita.

Apabila kita abaikan Islam,itulah sebab kenapa jadi pelbagai perkara tidak bermoral seperti yang dapat kita saksikan hari ini.

Kita menjadi sebegini seperti hari ini salah satu faktornya kerana kita tidak ada ilmu tentang Islam.Kita hanya Islam pada nama.Kita tidak pernah cuba mencari apakah erti Islam yang sebenar.Selalu sahaja kita sekadar berpuas hati dengan apa yang diberitahu kepada kita oleh orang lain.

Jika orang beritahu kita 10 perkara sahaja tentang Islam,itu sahajalah yang kita tahu.Tidak pernah berusaha mencari.

Malah,kadangkala ada pihak apabila kita cuba mendalami Islam,mereka berkata seperti ini,"Janganlah terlalu fundamental/extreme".Ada juga yang menafsirkan agama mengikut nafsu.Saya pernah menjadi golongan seperti ini dahulu.

Tetapi,Alhamdulillah,dengan izin Allah,saya lebih memahami Islam itu pada hari ini.Dan masih mencari lebih banyak ilmu.Alhamdulillah.Semoga dikekalkan iman saya dan anda semua sehingga hari kematian kita kelak.

Kita umat Islam tahu apakah itu Hidayah.Apabila kita mendapat Hidayah,ini bermakna kita mendapat petunjuk ke jalan yang lurus dan benar.

Apabila ada Hidayah,kita akan faham kenapa kita diciptakan.Apakah tujuan kita hidup.Kenapa kita perlu berbuat itu,dan mengapa pula kita tidak boleh berbuat ini.

Apabila ada Hidayah,kita akan memegang kuat Islam itu.Kita akan selesa beribadat dan melakukan apa yang diperintah Allah.Kita menurut perintah Allah kerana faham kenapa perlunya berbuat begitu,bukan ikut-ikut orang.

Apabila ada Hidayah,kita tidak ragu-ragu dengan pelbagai perkara yang timbul akibat hasutan Syaitan.

Apabila kita ada Hidayah,dan memahami konsep Ketuhanan/Tauhid yang sebenar iaitu konsep لا إله إلاَّ الله,pasti kita takut untuk berbuat satu dosa.

Ini kerana kita tahu adanya Allah yang sedang memerhatikan kita.Allah Yang Maha Melihat Dan Maha Mendengar.Dia Maha Melihat setiap apa yang kita lakukan.Dan setiap perbuatan kita itu dicatat oleh Malaikat yang bertugas.

Allah tidak pernah lalai akan apa yang hamba-hamba-Nya (kita) lakukan.

Tahukah anda,Allah akan mengurniakan Hidayah kepada hamba-Nya yang bersungguh-sungguh untuk mencari Hidayah-Nya?

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya. [29:69]

Mahukan contoh?Contoh ini saya dapat dari buku Pesanan Untuk Orang Berdosa yang saya baca di dalam perjalanan saya ke Kuala Lumpur sebentar tadi.

Contoh Pertama adalah Pemuda Ashabul Kahfi.Mereka ini meninggalkan Istana dan rumah mereka demi mendapatkan hidayah Allah dengan bersungguh-sungguh.

'Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk.' [18:13]

Allah mengetahui bahawa mereka menginginkan hidayah.Jadi,Allah mengurniakannya kepada mereka.Barangsiapa yang berusaha bersungguh-sungguh untuk memperoleh hidayah,mereka rela menjadikan Allah sebagai Tuhan dan tujuan utama dalam setiap perkara dilakukan mereka.Maka Allah akan memberikan hidayah kepadanya,Allah menerangi mata hati,memberikan rezeki tauhid,melimpahkan kebaikan dan ampunan kepada mereka. - Dipetik dari buku Pesanan Untuk Orang Berdosa.

Contoh lain pula adalah kisah Abu Dzal al-Ghifari yang mengembara jauh semata untuk berjumpa Rasulullah SAW dalam usaha mencari hidayah Allah.

Ini bermakna,Hidayah itu boleh kita dapati jika kita bermohon kepada Allah.Allah sentiasa dekat dengan kita.Ingatlah itu.Caranya bagaimana?Berdoalah kepada-Nya.

Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina. [40:60]

Sesungguhnya Allah SWT malu membiarkan hamba-Nya kembali dengan tangan hampa,ketika seorang hamba berdoa kepada Tuhannya. [Hadis Riwayat Abu Daud,Tirmizi Dan Ibnu Majah]

Berdoalah.Dan yakinlah.Insya-Allah kita akan diberikan Hidayah.

Dan renungkan kembali diri kita.Adakah selama ini kita ini berdoa meminta Hidayah itu dengan bersungguh-sungguh?Adakah kita berusaha mencari Hidayah-Nya?Adakah kita berusaha merubah diri dengan harapan mendapat rahmat-Nya?

Anda faham bukan apa saya hendak sampaikan?

Ini kerana,salah satu Faktor yang menghalang seseorang mendapat hidayah adalah kerana beliau sendiri tidak menginginkan hidayah itu.

Atau dalam kata lain,beliau telah mendapat petunjuk,tetapi beliau sendiri yang mengabaikannya.Astaghfirullahalazim.Semoga kita dijauhi dari keadaan seperti ini.

Pelik tapi benar.Tetapi,itulah realitinya.Itulah yang melanda kita pada hari ini.

Kita semua telah mendapat petunjuk dari Allah SWT.Apakah petunjuk itu?Kitab Al-Quran!

Sesungguhnya Al-Quran ini memberi petunjuk ke jalan yang amat betul (ugama Islam), dan memberikan berita yang mengembirakan orang-orang yang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka beroleh pahala yang besar. [17:9]

Tetapi,cuba renung.Adakah kita pernah berusaha untuk memahami dan memikirkan apakah yang terdapat di dalam Al-Quran itu?Adakah kita berusaha untuk melaksanakan apa yang diperintahkan?Atau kita hanya bersikap "tak apalah" dan hanya mengamalkan Islam "ikut-ikut".

Renungkanlah realiti ini.Ini kerana,jika kita tidak mengikut cara hidup Islam,segala masalah yang ada dalam hidup kita tidak akan selesai.Malah,kita akan menjadi orang yang rugi.Kerana,kita telah mendapat petunjuk dan hidayah,tetapi kita mengabaikannya.

Allah tidak akan menghukum sesuatu kaum itu sebelum diberi peringatan kepada mereka.Dan ya.Kita sememangnya telah banyak diberi peringatan.Cuma,kita sahaja yang mengendahkannya.Al-Quran di rumah bukan dibeli untuk difahami,sebaliknya dibuat hiasan/diletak di atas almari di tempat yang tinggi sehingga berhabuk.

Astaghfirullahalazim.

Saya tadi di Kuala Lumpur sempat melihat beberapa situasi realiti yang ingin dikongsikan untuk difikirkan bersama.

Situasi Pertama - Beberapa kelompok Pakcik Teksi bercerita mengenai Politik.Di dalam perbualan mereka,diselangi ayat-ayat carutan yang malu didengar.Ahah.Cuba fikirkan,adakah politik sahaja tujuan kita hidup?Ini hanya sebagai contoh.Ini kerana,banyak dari kita,kadangkala seakan-akan begitu taksub dengan sesuatu isu bagaikan isu itulah perkara paling penting di dalam dunia ini.Tetapi,tidak pernah berusaha untuk melakukan sesuatu untuk membetulkannya.Cuba kalau kita berpegang pada Islam sebenar dan mengkajinya,pasti kita sedar bahawa di dalam Islam itu ada ubat untuk permasalahan ini sebenarnya.

Situasi Kedua - Seorang budak sekolah agama menunjukkan jari tengah kepada orang yang berada di dalam bas setelah dia turun dari bas.Ini memang memalukan.Nama sahaja Sekolah Agama.Apakah yang perlu difikirkan di sini?Anda fikirlah sendiri,tetapi Umar Al-Khattab pernah berbicara,"Jika ingin melihat masa depan sesebuah Negara/Umat,lihatlah generasi mudanya pada hari ini".

Situasi Ketiga -Budak Perempuan Sekolah Agama bercerita tentang New Moon/Eclipse/Cerita Korea.Ahah.Nampak simple bukan?Tetapi,pernahkah kita terfikir,apakah kandungan cerita-cerita ini sebenarnya?Dan adakah cerita-cerita ini mendedahkan aurat?Dan adakah ini benar-benar bertepatan dengan Islam?

Ketiga-tiga isu ini nampak mudah.Tetapi,sebenarnya,barah yang nampak simple ini sedang melanda kita Umat Islam.

Barah ini sedang merebak tiap ketika.Hatta di dalam rumah kita.Melalui Televisyen.Kita menyuruh anak-anak gadis kita menutup aurat,tetapi di rumah,mereka menonton Filem Hindustan yang memaparkan adegan mengghairahkan.

Nampak simple,bukan?Tetapi,ini merupakan racun yang amat berbahaya.Yang sedikit demi sedikit akan membuatkan kita tidak sedarpun menonton Filem Hindustan itu sebenarnya berdosa.

Faham tak apa saya bicarakan ini?Jika tidak faham tidak mengapa.Abaikan.

Kesimpulan yang ingin saya sampaikan sebagai penutup adalah,jika kita faham dan amalkan betul-betul apakah itu Islam yang sebenar,segala masalah kita di dalam kehidupan hari ini tidak akan berlaku.

Kerana Islam itu sebenarnya adalah Petunjuk ke Jalan Yang Lurus yang telah Allah berikan kepada kita.

Islam itulah Hidayah.Kita sahaja yang selalu mengabaikan Hidayah itu.

Sedarlah.

Janganlah mengambil mudah lagi tentang perkara-perkara ini.

Hanya dengan kembali kepada Islam dan Jalan Allah sahajalah,kita dapat mencapai kemenangan abadi di dunia dan di akhirat.

Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. [3:185]

Sekian dari saya yang sekadar berkongsi ilmu yang ada.Jika salah,sila betulkan.Sememangnya ingat-mengingati itu tanggungjawab kita bersama.

Assalamualaikum dan Selamat Beramal.


2 comments:

  1. Assalamualaikum,

    That's right. Masalah berpunca bila kita tidak mengamalkan Islam secara sebetulnya. Bila mengalami masalah, semuanya sebab diri sendiri.

    Tapi setiap permasalahan itu Allah berikan seribu cara untuk menyelesaikannya. Allah tak akan menzalimi hambaNya, tetapi hambaNya yang menzalimi diri sendiri. Selalu bersangka baik dengan Allah. Allah juga akan berada diatas sangkaan kita.

    Sungguh takjub dengan kisah di atas. Diriku terharu. Sungguh, Allah itu Maha dekat. Tapi diri selalu melupakanNya.

    ReplyDelete