18.7.10

Siri Percutian Musim Panas 5 : Masjid Di Tanah Air Kita/Falsafah Daripada Peristiwa Isra' Mikraj

Assalamualaikum.

Siang tadi saya pergi ke sebuah Masjid Tempatan berdekatan dengan rumah saya.Setelah bersolat,sempat juga mengusha-usha Papan Kenyataan di Masjid itu yang di situ ditampal dengan pelbagai Maklumat Dan Ilmu.

Bagus usaha ini.Beruntung kita di Malaysia kerana banyak Masjid di sekeliling kita dibina.Bersyukurlah.Tetapi sayang.Kerana Masjid sudah banyak,tetapi orangnya pula tiada.

Ya.Kurang sekali orang yang bersembahyang.Masjid/Surau kecil yang boleh memuatkan lebih 300 orang biasanya hanya dihadiri lebih kurang 40 orang setiap hari.

Itupun hanya Golongan Tua.

Di manakah Golongan Muda?Mungkin tidak keterlaluan jika disimpulkan,inilah salah satu punca kelemahan kita Umat Islam pada hari ini.Bukan?

Kita (Umat Islam) sudah tersasar.Anda fikir-fikirkanlah.

Berbalik kepada cerita saya di Masjid tadi.

Pada Papan Kenyataan itu,ada banyak Maklumat.Sebelum ini,saya sudah berniat untuk menangkap gambar Maklumat itu.Supaya boleh dikongsikan di Pena Maya.Tetapi,biasalah.Adat manusia yang sering terlupa menyebabkan saya tidak membawa kamera.Jadi,niat saya itu sering tidak menjadi.

Tetapi,Alhamdulillah.Tadi,saya teringat sebelum pergi ke Masjid untuk membawa kamera.Dan,hendak dijadikan cerita,tertangkaplah juga gambar maklumat itu di dalam kamera saya.

Di dalam penulisan ini,berminat saya untuk menyalin semula maklumat yang terdapat di dalam gambar itu di bawah ini.Isunya adalah tentang Israk Mikraj.Walaupun agak terlewat untuk menulis tentang isu ini,orang kata "Dalam menuntut Ilmu tiada istilah terlambat".Kan?

Selamat Membaca.


(Klik pada gambar di atas untuk membesarkan Imej.Dan ambil perhatian,di bawah ini bukanlah penulisan oleh Penulis.Mohon Maaf jika ada sebarang kesulitan yang melanda.Semoga mendapat manfaat)

Falsafah Daripada Peristiwa Isra' Mikraj

Mimbar Jumaat hari ini menarik perhatian mengenai "Falsafah Peristiwa Israk Mikraj" untuk direnungi dan seterusnya dihayati sebagai panduan dalam menjalani kehidupan kita bersama.Peristiwa ini telah dirakamkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran Surah Al-Israk ayat 1 yang bermaksud :

Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. [17:1]

Allah SWT telah membekalkan sifat Isti'dad kepada manusia,iaitu persediaan untuk menyesuaikan diri atau melakukan pendekatan terhadap dua perkara iaitu pendekatan terhadap Allah SWT dengan melakukan ibadah,melaksanakan perintah Allah SWT,serta patuh dan taat;manakala pendekatan kedua dengan alam semesta iaitu bermuamalah,menguruskan pemerintahan di dunia dan menjalankan kehidupan mengikut peraturan Allah SWT.Kedua-dua pendekatan ini sentiasa berterusan sehingga ke akhir hayat.

Peristiwa Israk dan Mikraj mempunyai nilai yang sangat berharga dan mempunyai simbolik dalam kehidupan manusia.Umpamanya Mikraj ke langit,adalah satu simbolik bagi manusia untuk mencapai ilmu pengetahuan setinggi-tingginya.Pertemuan Rasulullah SAW dengan Para Anbia' yang merupakan Pemimpin Ummah Sepanjang Zaman melalui lapisan langit,mereka menjalin persahabatan dengan penuh kasih sayang,kemesraan yang mendalam serta berdoa ke hadhrat Allah SWT.Ini memberi gambaran dan didikan kepada kita semua,agar sentiasa berkasih sayang,menghubungkan silaturrahim untuk kepentingan bersama.

Pembedahan dada Rasulullah SAW,dibersihkan kemudian dimasukkan iman,ilmu dan hikmah kerana Baginda akan melalui perjalanan yang jauh serta diberi tugas yang amat berat,supaya dapat kita mengambil pengajaran daripadanya agar setiap pekerjaan yang hendak dilakukan mestilah terlebih dahulu membuat persiapan diri dengan faktor-faktor berikut :

1. Membersihkan hati yang merupakan tempat berniat.

2. Meningkatkan iman yang merupakan akidah seseorang.

3. Memasukkan ilmu.Kerana ilmu sebagai tunjuk arah dan pembimbing manusia menunaikan tugas hidup sebagai hamba Allah SWT.

4. Hikmah atau bijaksana.Sesuatu pekerjaan yang dilakukan tanpa hikmah atau bijaksana akan membawa akibat tidak baik.

Oleh itu,empat asas ini untuk menunaikan tugas dalam kehidupan,jangan sampai terpisah antara satu dengan yang lain.Iaitu:hati yang bersih dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT,iman yang kuat dan mantap,ilmu yang cukup dan disertai dengan hikmah dan kebijaksanaan.

Peristiwa ini menggambarkan betapa pentingnya peranan masjid dalam masyarakat Islam,umpamanya Masjid al-Haram tempat bermula Israk Rasulullah SAW menuju ke Masjid al-Aqsa.Ini memberi pengajaran kepada kita bahawa masjid sangat besar ertinya dalam kehidupan umat Islam.

Selain kefardhuan solat lima waktu sehari semalam kepada kita,maka kemuncak daripada peristiwa Israk Mikraj Rasulullah SAW,iaitu pertemuan Baginda SAW dengan Tuhan Rabbul Jalil,tiada lain maknanya selain daripada keredhaan Allah SWT yang menunjukkan betapa istimewanya kedudukan Rasulullah SAW di sisi Allah SWT.Seorang pujangga Dr. Muhammad Iqbal berkata :

"Dalam peristiwa Israk Mikraj,Rasulullah SAW telah bertemu dengan Tuhannya.Tidak ada kebahagiaan melebihi kebahagiaan itu.Seandainya aku mengalami keadaan seumpama itu,nescaya aku tidak kembali ke dunia ini lagi.Tetapi Rasulullah SAW lebih mengutamakan kembali ke dunia untuk menempuh perjuangan hidup yang penuh pahit getir bersama umatnya."

Sebenarnya sikap Rasulullah ini mempunyai simbolik,yang bermakna Rasulullah tidak pernah merasa puas setiap prestasi yang dicapai dan Baginda SAW telah berjaya mengertikan kebahagiaan pelaksanaan tanggungjawab dan bukan mencari keselesaan atau kebahagiaan hidup diri sendiri.

Kesimpulannya,ungkapan daripada Falsafah Peristiwa Israk dan Mikraj Rasulullah ini akan menjadi pengajaran dan iktibar kepada kita dalam menjalani kehidupan ini dan janganlah Peristiwa ini hanya sekadar dijadikan cerita sedap didengar sebagai cerita penglipur lara atau menjadi hiburan semata-mata.

Itulah dia sedikit ilmu yang dapat saya kongsikan bersama anda.Semoga kita semua mendapat manfaatnya.

Fikir-fikirkanlah apa yang hendak disampaikan ini.Berubahlah kita sementara masih ada kesempatan.

Sehingga penulisan seterusnya,Assalamualaikum dan Selamat Beramal.


2 comments:

  1. Salam..
    Sekadar perkongsian..kupasan yg menarik berkenaan dgn tajuk yg sama juga dlm naskhah ILUVISLAM keluaran 16 - 22 Julai 2010 bertajuk "Hakikat Tersirat Israk Mikraj" oleh Dr. Azhar Sarip...boleh didapati di kedai2 buku atau penjual surat khabar berhampiran...

    ReplyDelete
  2. thanks for the sharing.

    ReplyDelete