5.10.10

Kisah Pokok & Empat Musim (Serta Pengajaran Yang Boleh Didapati Daripadanya)

Assalamualaikum.

Tidak seperti di Malaysia,waktu solat di tempat saya belajar sekarang ini tidak tetap.Ianya berubah-ubah sepanjang tahun bergantung kepada musim.

Ambil contoh,Solat Subuh.

Pada Musim Panas,Solat Subuh masuk seawal pukul 3 pagi.Ini disebabkan tempoh malamnya yang amat sekejap (Lebih kurang 4 jam lebih sahaja matahari terbenam).

Dan kini Musim Luruh sudah menjelma.Nama sahaja Musim Luruh,tapi sejuknya boleh tahan juga.Berjaya jugalah membuat orang yang bertubuh kurus menggeletar.

Dan di Musim Luruh ini,Subuhnya pukul 7.39 baru habis.Setiap hari waktu ini berubah.Semakin hari semakin lambat Subuhnya masuk.

Keadaan ini berlarutan sehinggalah ke Musim Sejuk.Tentu ada yang bertanya,Musim Sejuk bagaimana pula waktu Sembahyangnya?

Musim Sejuk lagi menarik.Ini kerana waktu Siangnya pula yang sekejap.Pada waktu kemuncak (peak time) Musim Sejuk nanti,tempoh Siangnya hanya lima jam sahaja.

Menarik?Tentulah menarik.

Apa yang membuatkan fakta ini lebih menarik adalah apabila mendapati bahawa Musim Sejuk di Negara tempat saya belajar ini berlanjutan daripada Oktober sehingga ke bulan April/Mei.

Ho Yeah.

Ketika Musim Sejuk nanti,tempoh beza antara Sembahyang Zuhur,Asar dan Maghribnya juga sekejap sahaja.

Mari saya beri contoh.Waktu Solat pada musim Sejuk di sini adalah seperti berikut.Subuh masuk pada pukul 8.30 pagi,Zuhur pukul 12.30 tengahari,Asar pukul 2.45 petang,Maghrib ada satu tahap masuk pukul 4.52 petang (Wo!),dan Isyak pukul 5.53 malam.Haha.Pukul 5 sudah malam.

Keadaan ini berubah-ubah semasa Musim Sejuk.

Jadi,anda bolehlah mengagak betapa bosannya duduk di Negara ini menjelang Musim Sejuk.Begitu gelap keadaannya selama beberapa bulan.Tetapi,ada fakta menarik di sini.Walau sesejuk manalah keadaan menjelang Musim Sejuk nanti,biarpun termometer di luar sana mencatatkan suhu -30 darjah Celcius,kelas tetap diteruskan seperti biasa.

Comel bukan?

Oh ya.Tentu anda tertanya,tanya,kenapa tiba-tiba berbicara tentang Musim Sejuk,Panas dan Luruh pula di sini?

Sebenarnya,tiada apa-apa sebab utama pun.Sengaja saya mahu mengongsikan cerita hidup di sini dengan para pembaca.

Untuk pengetahuan anda,daun-daun di sekitar bandaraya utama Negara ini sudah pun mula menguningkan warna daunnya pada ketika ini.Dan untuk sedikit masa lagi mereka bakal menggugurkan daun-daun mereka.Ketika itu berlaku,sama-samalah kita ucapkan "Selamat Datang Musim Sejuk!".

Ada satu perkara menarik ketika Musim Sejuk nanti.

Pernah mendengar ayat Quran yang bermaksud lebih kurang sebegini (sila betulkan jika terdapat kesilapan),

Tidakkah mereka memperhatikan kejadian pokok-pokok yang mati kemudian hidup semula?

Keadaan ketika akhir tempoh Musim Sejuk. (Gambar diambil dari Simpanan Peribadi Penulis)

Cuba kita renungkan maksud ayat Al-Quran di atas.Kita di Malaysia mungkin tidak perasan sangat maksud tersirat ayat ini.

Tetapi,setelah saya mengembara ke sini,saya barulah dapat melihat apakah maksud tersirat ayat ini.

Mari saya ceritakan.

Ketika Musim Luruh,Keluarga Encik Pokok menggugurkan daun-daun mereka.Ketika Musim Sejuk,mereka ini tiada berdaun.Jika dilihat dari mata kasar,bolehlah dikatakan mereka sudah mati.Ketika Musim Bunga,mereka mula berdaun semula.SubhanAllah.Dan ketika Musim Panas,keadaan sama seperti di Malaysia.

Apa yang hendak disampaikan di sini?

Itulah sebenarnya perumpamaan bagaimana keadaan kita,manusia ini.Sebagaimana Allah SWT mampu menghidupkan kembali pokok-pokok itu selepas mereka sudah mati,seperti itu jugalah kita bakal dihidupkan kembali selepas mati nanti.

Dan itu jugalah perumpamaan tentang berlakunya Hari Kiamat nanti.

Kita semua bakal dihidupkan kembali oleh Allah SWT untuk diadili oleh-Nya.Semua itu mudah sahaja bagi-Nya.

Persoalannya,bersediakah kita?

Sebenarnya,setiap perkara yang diciptakan Allah ada hikmahnya bagi orang yang berfikir.Betul.Kalau kita fikir keadaan di sekeliling kita,insya-Allah kita nampak pengajaran.

Seperti Kisah Pokok Dan Empat Musim inilah,pasti kita insaf jika kita mengamati sebetul-betulnya proses pengguguran daun ini dan mengaitkannya dengan maksud ayat Al-Quran itu tadi.

Dan oleh kerana tempoh Sembahyang pada Musim Sejuk ini nanti adalah dekat-dekat,satu sahaja nasihat saya kepada diri sendiri dan rakan-rakan yang turut berada di Negara-Negara Empat Musim.Dan mungkin juga untuk anda di Malaysia.

Nasihat itu berbunyi,"Jangan tinggal Sembahyang".Kerana itulah perkara paling penting sebagai bekalan untuk diri kita.

Itu sahaja untuk kali ini.

Assalamualaikum dan Selamat Beramal.


No comments:

Post a Comment