28.10.10

Pelaburan Akhirat - Apakah Kedudukan Kita Pada Waktu Ini?

Assalamualaikum.

Banyak perkara yang ingin saya tulis.Yang saya fikirkan.Yang saya sering ingatkan diri.Yang sering saya catat dalam minda untuk dilakukan.Atau dalam kata ringkasnya,yang ingin saya ubah diri saya.

Tetapi,sering,perkara itu ditangguh-tangguh oleh saya sehingga tiba satu masa di mana saya sedar,diri saya semakin tenggelam dan masa telah pantas berlalu meninggalkan saya.

Harapan tinggal harapan.Impian tinggal impian.

Pernahkah ini terjadi kepada anda juga?

Barangkali pernah.

Pada kiranya,saya agak penat untuk menulis,tetapi memandangkan ada masa terluang sedikit ini,baik saya menulis.

Dari saya duduk tidak berbuat apa-apa,membuang masa yang ada.

Sedar atau tidak,sebenarnya perbuatan membuang masa ini jika ditukarkan kepada maksud lain samalah dengan kita merugikan diri kita sendiri.Kita membuang peluang yang ada untuk menambah amal atau dalam kata lainnya Pelaburan Akhirat.

Seperti juga pelaburan saham,ambil contoh ASB,anda tidak boleh melihat hasilnya pada hari ini jatuh gedebuk di tangan anda.

Ianya adalah satu pelaburan jangka panjang.Hanya orang yang sabar sahaja boleh menjadi Jutawan melalui pelaburan saham.Orang yang tidak sabar?

Mereka akan gagal.Malah mungkin akan rugi dengan sikap terburu-buru dan tamak mereka.

Begitu juga dengan Pelaburan Akhirat yang disebutkan di atas tadi.Hasilnya tidak dapat kita lihat sekarang.

Hasilnya hanya dapat kita lihat di akhirat kelak.Hasilnya hanya akan diperolehi jika kita sabar menempuh dugaan,godaan dan cubaan hidup di dunia.

Hasilnya hanya akan diperolehi dengan doa dan usaha.

Dan seperti juga pelaburan saham,akan ada masa di mana kita salah melabur dalam Pelaburan Akhirat.

Apakah maksud salah melabur dalam Pelaburan Akhirat?

Kita berbuat dosalah.

Jadi,satu cara untuk memperbaiki saham kita,adalah dengan bertaubat kepada Allah SWT.

Rasullullah SAW pernah bersabda "Setiap anak adam pasti pernah berbuat dosa dan sebaik-baik orang yang berbuat dosa adalah orang–orang yang bertaubat. [At-Tirmidzi & Ibnu Majah dari Anas)

Kita tidak boleh berputus asa dalam melabur untuk akhirat.Jangan berhenti di tengah jalan.

Perjalanan kita mungkin jauh.Mungkin juga dekat.Kita tidak tahu.Ianya satu perjalanan yang penuh dengan kejutan.

Entah esok,tup-tup saya pergi meninggalkan dunia yang fana ini.

Cuba bayangkan apakah destinasi saya kelak jika saya pergi dalam keadaan masih tidak melabur untuk akhirat?

Tentulah saya menjadi serugi-rugi manusia.

Jadi,kita di dunia ini,carilah peluang untuk berbuat amal setiap waktu.Jangan bazirkan waktu kita.Kalau boleh kurangkan berkata-kata.Kerana mulut itu antara perkara yang paling senang mendatangkan dosa untuk kita.

Astaghfirullahalazim.Entah berapa banyak dosa yang saya/anda/kita telah buat hanya melalui percakapan kita.

Ya Allah,ampunkanlah dosa kami.Amin.

Ketahuilah kita,dunia ini fana sahaja tempohnya.Dunia ini hanyalah sebahagian kecil daripada keseluruhan tempoh perjalanan kita.Akhirat itulah destinasi abadi.Jadi kejarlah akhirat itu.Bersederhanalah di dunia ini.Jangan tertipu dengan hiasannya.Cuba dengar dan amati senikata nashid di bawah ini.


Tafsir Surah At-Takaathur

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), -

Sehingga kamu masuk kubur.

Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!

Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!

Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui - (apa yang kamu akan hadapi) - dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat).

(Ingatlah) demi sesungguhnya! - Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang.

Selepas itu - demi sesungguhnya! - kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)!

Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!
[102:1-8]

Cadangan Ilmu Tambahan (Video Untuk Anda Tonton)- Love For The Dunya (Worldy Life)

Hadis Nabi Tentang Hidup Di Dunia

Dari Ibnu 'Umar RA berkata, "Rasulullah SAW memegang kedua pundakku lalu bersabda,

"Jadilah engkau hidup di dunia seperti orang asing atau musafir (orang yang bepergian)."

Lalu Ibnu 'Umar RA menyatakan,

"Apabila engkau berada di sore hari, maka janganlah menunggu hingga pagi hari. Dan apabila engkau berada di pagi hari maka janganlah menunggu hingga sore hari. Pergunakanlah waktu sehatmu sebelum datang waktu sakitmu. Dan pergunakanlah hidupmu sebelum datang kematianmu." [HR. Al-Bukhariy no.6416]
(Sumber)

Itu sahaja untuk kali ini.

Kesimpulannya,janganlah buang masa.Tambahlah saham anda (amal ibadat) di dunia ini jika anda mahu bahagia abadi di akhirat kelak di syurga.Kerana hanya ada dua pilihan.Syurga atau neraka.Untung itu bermakna ke syurga.Rugi itu bermakna ke nerakalah kita.

Tetapi,yang paling penting kita kena ingat.Semua itu bergantung pada rahmat Allah SWT.Jadi,berdoalah kepada-Nya kerana Allah SWT itu Maha Adil dan Maha Penyayang.

P/S : Asalnya,hendak menulis penulisan bertajuk "Iman Itu Ada Turun Naiknya".Entah bagaimana boleh meleret menulis tentang "Pelaburan Akhirat".Apa-apapun,bersyukur kerana saya dikurniakan oleh Allah bakat menulis.Alhamdulillah.Semoga bakat menulis ini mendatangkan kebaikan untuk saya.Dan semoga saya tidak riak dengan bakat ini.Amin.Insya-Allah.


1 comment:

  1. salam saudara Umar
    syukran atas ingatan ini
    terasa diri sangat kerdil
    bekalan tuk ke sana...

    ReplyDelete