17.4.11

Ketenangan Merupakan Antonim Bagi Kekosongan Jiwa.Dan Ketahuilah Kita,Ketenangan Sebenar Hanya Dapat Dicari Melalui Zikrullah (Mengingati Allah SWT).

Prenote : Saya nasihatkan kepada anda yang mahu membaca Penulisan ini,supaya membaca dengan Perlahan dan Cermat,kerana Pembacaan yang Pantas dan Laju dibimbangi tidak membawa manfaat kepada anda.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum.

Sejak beberapa hari yang lepas,saya dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan hidup saya.Seolah-olah ada sesuatu yang hilang.Hilang tanpa dapat dikesan.

Sesuatu itu - setelah disiasat - telah dikenal pasti sebagai ketenangan.

Ketenangan.

Apakah definisi ketenangan untuk diri kita sebenarnya?

Ada orang akan mengatakan ketenangan bagi mereka adalah Wang Ringgit.Bagi sesetengah yang lain pula?

Mereka mungkin mengatakan - Gadis,Wanita,Kemahsyuran,Pangkat,Jawatan,Nama - sebagai punca/medium untuk mereka mendapatkan ketenangan.

Kebanyakan daripada perkara di atas,secara jujurnya,saya pernah merasainya.

Dan,saya mahu kita semua bertanyakan kepada diri kita semua (yang pernah merasai perkara-perkara di atas),adakah ada ketenangan yang dapat kita rasa/cari melalui perkara-perkara di atas?

Kegembiraan - mungkin ada.Tapi yang bersifat sementara.

Kenapa saya katakan sementara?

Ini kerana,bila perkara di atas habis/tiada/hilang daripada kita,kita akan kembali kepada kekosongan.

Kita akan kembali mencari perkara yang lain untuk mengisi kekosongan dalam diri kita.

Saya tanya anda sekali lagi - Benar bukan perkara yang saya sebutkan di atas ini?

Kekosongan - adalah antonim kepada ketenangan.

Timbul persoalan,jika ketenangan sebenar tidak dapat dicari melalui perkara-perkara di atas,apakah perkara yang dapat memberikan kita ketenangan yang sebenar?

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah". Ketahuilah dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia". [13:28]


Testimoni untuk perkara ini - anda sendiri dapat memberikannya.

Ya,anda.Dan saya.

Tentu kita semua tahu,hanya dengan mengingati Allah SWT sahaja hati kita akan tenang.

Dan tentu kita semua tahu,perasaan ketenangan yang kita dapat rasai selepas kita bersolat dengan khusyuk (sebagai contoh) adalah priceless.

Itulah dia.

Ketenangan sebenar hanya dapat dicari dengan kembali kepada Allah SWT dan mengingati-Nya.

Bila kita mengingati Allah SWT,dan berdoa kepada-Nya memohon keampunan daripada-Nya,hati kita pasti tenang.

Insya-Allah.

Dan berbalik kepada cerita saya di awal Penulisan ini tadi.

Jadi,setelah diteliti,saya mendapati punca ketenangan itu seolah-olah hilang adalah kerana saya semakin jauh daripada Allah SWT dalam beberapa hari yang lepas ini.

Apa yang saya buat?

Saya masih bersolat,tapi solat saya itu tidak bersungguh.Amalan-amalan Sunat pula mula saya tangguhkan,yang pada akhirnya hanya menyaksikan saya tidak melakukannya.

Akibatnya,saya terasa seperti ada sesuatu kekosongan dalam diri.

Saya bukan mahu membuka aib diri sendiri,tapi tujuan saya memberitahu perkara di atas ini supaya memudahkan pemahaman anda yang membaca,dan supaya menjadi peringatan kepada diri sendiri.


Jadi,petang tadi,dengan izin Allah SWT,saya berkesempatan membaca Al-Quran Surah Al-Qiaamah.Dan ada ayat di situ yang menyentuh hati saya.

Sedarlah wahai orang-orang yang lalai. (Sebenarnya kamu tidak ingatkan kesudahan kamu) bahkan kamu sentiasa mencintai (Kesenangan dan kemewahan dunia) yang cepat habisnya.

Dan kamu tidak menghiraukan (bekalan untuk) hari akhirat (yang kekal abadi kehidupannya.
[75:20-21]

Astaghfirullahalazim.

Saya tersedar.Lantas mengambil keputusan untuk menulis tentang perkara ini,untuk dikongsikan bersama dengan anda yang lain,dan supaya menjadi peringatan kepada diri sendiri.

Hidup ini sememangnya satu permainan.

Kita manusia memang sentiasa leka.

Kita mencari harta bagai nak gila,kita bermain sukan bagai nak gila,kita bermain gitar bagai nak gila,kita mencari Wanita bagai nak gila,tanpa kita sedar bahawa Hidup di Dunia ini sebenarnya adalah satu Ujian untuk kita.

Wanita,Harta dan Dunia - memang Allah SWT ciptakan kita mempunyai nafsu.Itu tabii manusia.

Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga). [3:14]

Tapi,ada batas yang perlu dijaga dalam hidup.

Oleh kerana itulah Allah SWT Mengutuskan Rasulullah SAW kepada kita semua untuk menyampaikan Peringatan dan Amaran kepada kita Umat Manusia.

Kita manusia memang (ya MEMANG) sentiasa lupa.

Kita sentiasa lupa bahawa Dunia ini (Hidup Kita) akan tamat satu hari nanti.

Dan kita lupa bahawa kita semua akan dihadapkan kepada Allah SWT untuk menerima balasan tentang segala perbuatan yang kita lakukan semasa hidup.

Ya,segala perbuatan.Hatta yang paling kecil seperti melihat Awek di dalam Train.

Adakah kita merasakan dengan perbuatan kita sehari-hari sekarang ini kita telah bersedia?

Mungkin kita kadangkala seakan-akan tergelincir dari landasan.

Tapi,jika tergelincir,bacalah Al-Quran.

Kerana dalam Al-Quran itu ada peringatan.

Bila kita baca Al-Quran dan fahami maksudnya,dan kita hayati dan refleksikan pula maksud ayat-ayat Suci itu,tentu kita akan sentiasa berwaspada dan berusaha untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Orang yang banyak berdalih,tentu akan berkata,"Tapi,aku tiada Tafsir Al-Quran".

Masjid bukankah banyak di sekeliling kita?Dan di Masjid bukankah ada Tafsir Al-Quran?Dan katakanlah kita berada di Kutub Utara sekali pun (katakanlah),Internet bukankah ada pada hari ini untuk membolehkan kita mencari Ilmu?

Jangan beralasan lagi.

Alasan-alasan (Istilah yang lebih tepat adalah Dalih-Dalih) bodoh ini sebenarnya sedikit pun tidak dapat membantu kita di Akhirat kelak.

Sedarlah Wahai Manusia (peringatan kepada diri sendiri juga).

Sesungguhnya Kami telah aturkan cara mencipta manusia bermulanya dari air mani yang bercampur (dari pati benih lelaki dan perempuan), serta Kami tetap mengujinya (dengan kewajipan-kewajipan); oleh itu maka Kami jadikan dia berkeadaan mendengar dan melihat.

Kerana keadaan itu tidak mencukupi, maka) sesungguhnya Kami telah menunjukkan kepadanya (melalui akal dan Rasul) akan jalan-jalan (yang benar dan yang salah; maka terserahlah kepadanya) sama ada ia bersyukur (dengan beriman dan taat), ataupun ia berlaku kufur (dengan mengingkari kebenaran atau menderhaka).

(Dalam pada itu), sesungguhnya Kami telah menyediakan bagi sesiapa yang berlaku kufur (atau menderhaka): beberapa rantai dan belenggu serta neraka yang menjulang-julang.
[76:2-4]

Banyak Peringatan telah sampai kepada kita.

Tapi,persoalannya,adakah kita mengambilnya,atau mengendahkannya?

Allah SWT tidak akan menyeksa sesuatu kaum tanpa mereka diberi peringatan terlebih dahulu sebelum itu dan mereka mengabaikan peringatan itu.

Allah SWT Maha Adil.

Lihat sahaja dalam Surah Al-Insaan di atas.

Saya bukan Ustaz Lulusan Al-Azhar.Tapi saya juga Hamba Allah.Dan Al-Quran diturunkan kepada semua Umat Manusia.Jadi,saya mahu berkongsikan apa yang saya faham dari Ayat Al-Quran di atas bersama anda.

Dalam ayat di atas [76:2-4] Allah SWT Berfirman,bahawa Dia telah Menciptakan manusia daripada air mani dan Dia akan tetap menguji kita (manusia).Oleh itu,Dia telah Membolehkan kita mendengar dan melihat.

Tapi,Allah SWT Maha Mengetahui.

Jadi,Dia telah mengutuskan Para Rasul kepada manusia dan diciptakan manusia dengan akal untuk membimbingnya (manusia) ke jalan yang benar.

Dan Dia Berfirman bahawa setelah diberi Petunjuk dan Akal,terserahlah kepada manusia samada mahu mengikut jalan yang lurus,atau ingkar akan kebenaran ini.Yakni,kita diberikan pilihan.

Dalam ayat seterusnya pula,Allah SWT Berfirman bahawa walaupun begitu,Dia Menyediakan azab yang pedih bagi orang yang ingkar kepada-Nya.

SubhanAllah.Maha Suci Allah.

Allah SWT telah Memberikan peringatan kepada kita.Tapi,adakah kita mengambil peringatan in?

Benarlah - tidak sama orang yang buta (tidak berfikir) dengan orang yang celik (berfikir).

Saya cuba menerangkan ayat ini dalam Bahasa Melayu santai supaya saya lebih mengingati perkara ini.

Saya tidak cuba berlagak pandai di sini.Kena ingat tentang perkara ini.

Tapi,saya sekadar mencoret untuk mengingatkan diri sendiri.Kerana hidup dalam zaman ini di negara Eropah,ianya adalah sesuatu yang amat mencabar bagi saya untuk mengekalkan momentum Iman.

Itulah pasal saya menulis blog.Untuk memperingatkan diri sendiri akan Tujuan Sebenar saya Diciptakan-Nya.

Itu sahaja untuk hari ini.

Saya pada mulanya,mengikut rancangan hendak menulis satu Penulisan bertajuk,"Lebih Kurang Tiga Tahun Pena Maya".Tapi,saya hanya merancang.Allah SWT sahajalah yang menentukan.

Jadi,penulisan "Lebih Kurang Tiga Tahun Pena Maya" akan ditulis oleh saya dalam Penulisan selepas ini.

Itu sahaja untuk kali ini.

Jika ada salah silap,terkasar bahasa,sila betulkan dan minta maafkan.

Ambil jernih,buang keruh.

Saya juga manusia biasa,bisa melakukan kesilapan.

Kembalilah kita semua ke jalan Allah SWT.Tapi untuk kembali kepada-Nya,ianya tidak cukup dengan berkata-kata sahaja,sebaliknya memerlukan azam dan tindakan yang istiqamah.

Fikir-fikirkan.

Assalamualaikum dan Selamat Beramal.


No comments:

Post a Comment