24.5.11

Catatan Seorang Pengembara : Berdoa & Keinginan.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum.


23/5/11 - Kotaraya Soviet

Tarikh ini menyaksikan Penulis mempunyai beberapa Ujian yang perlu diselesaikan di Kampus.Sebenarnya bukan Ujian,tapi untuk memudahkan pemahaman Para Pembaca,Terma Ujian digunapakai.

Usaha telah dilakukan.Namun,kefahaman masih sukar difahami.Tugasan juga gagal disiapkan.Kerana kurangnya pemahaman.

Waktunya telah tiba.

Dipendekkan cerita,masa bergerak pantas meninggalkan Para Manusia yang sentiasa leka dengan kenyataan bahawa masa itu tidak akan kembali lagi selepas ianya pergi.

Jam sudah 10 Malam.Akhirnya Penulis berjaya melepasi Ujian ini dengan izin Allah SWT.

Semuanya dengan izin Allah SWT.Alhamdulillah.Terapkan perkara ini dalam Pemikiran kita semua.

Jadi,kepada Para Pembaca,jika ada sebarang kesusahan,jangan pernah berputus asa.Berdoalah.Berdoa dan terus berdoa.Tetapkan keyakinan dalam hati.Allah SWT Maha Mendengar.

Sebenarnya,hampir setiap kali kita berdoa dengan penuh yakin,pasti doa kita dimakbulkan oleh Allah SWT yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.Tidak percaya?

Cuba lihat kembali Sejarah Hidup Anda.

Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina. [40:60]

Jadi bersyukurlah.


10.30 Malam waktu tempatan Kotaraya Soviet - Tarikh yang sama.

Penulis pulang ke rumah dengan penuh kesyukuran dan sudah semestinya kegembiraan.

Walaupun masih banyak Ujian dan Peperiksaan yang perlu dilalui,itu tidak menghalang perasaan Syukur dan Gembira seorang manusia untuk muncul.

Yang penting,jangan sesekali kita lupa untuk mengucapkan Alhamdulillah selepas mendapat suatu kejayaan.

1030 Malam - sepatutnya sudah gelap jika kita berada di Malaysia pada waktu ini.

Tapi,tidak di Kotaraya ini menjelang Musim Panas.

Penulis bersyukur sekali lagi kepada Allah SWT kerana diberikan Peluang oleh-Nya untuk melihat perkara yang tidak dapat disaksikan kita di Malaysia.

Jika berkesempatan dan ada rezeki lebih,Penulis berdoa supaya satu hari nanti dapat membawa keluarga Penulis melawat Kotaraya ini.Terutamanya Ibu Bapa Penulis.

Ketahuilah,keredhaan Allah SWT terletak pada keredhaan Ibu Bapa.Penulis akui bahawa Penulis bukan Anak yang terbaik.Tapi.Tidak mengapa.Kita abaikan.

Di jalanraya,Anak-Anak Bunga berterbangan di ruang udara menandakan telah tamat Musim Sejuk yang panjangnya seakan tidak berpenghujung.

Alhamdulillah.

Seperti Empat Musim,begitu juga hidup kita.

Musim Sejuk boleh diibaratkan seperti waktu kita mengalami Ujian dalam hidup kita.

Ramai daripada kita seolah berputus asa apabila menghadapi Ujian,dan dalam kes ini Musim Sejuk.

Dan kemudian bila tiba Musim Panas,atau dalam kata lain bila kesenangan dan kejayaan dikecapi,kita terus lupa untuk bersyukur kepada Allah SWT.

Sehinggalah Musim Sejuk tiba kembali,kitaran yang sama berlaku lagi.

Ingatlah,Ujian yang berlaku dalam Hidup kita ini semuanya ada hikmahnya.Dan Ujian itu pula kebanyakannya bersifat sementara.

Jadi,janganlah pernah kita berputus asa.Sentiasalah berdoa kepada-Nya.

Dan kita juga mesti ingat,hidup di dunia ini sebenarnya memang tidak selalu indah.Kerana konsep hidup itu sendiri adalah satu Ujian.Ujian untuk menentukan Destinasi kita yang seterusnya.

Allah yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang (supaya kamu berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur. [40:61]


Maghrib

Penulis selamat tiba di rumah.Alhamdulillah.

Selepas menunaikan kewajiban sebagai seorang hamba kepada Maha Pencipta,Penulis mula menulis Penulisan ini.

Semasa dalam perjalanan pulang,terjumpa dengan beberapa remaja yang sedang merokok.

Melihat keadaan ini,terdetik di dalam fikiran.

Berapa kali dalam hidup kita,kita berkata "kita mahu berubah,kita mahu berhenti merokok,mahu berhenti menonton Porn,mahu berhenti berzina,mahu bangun Subuh awal dan sebagainya"?

Dan selepas beberapa tempoh berlalu,kita mendapati kita masih berada dalam keadaan yang sama dengan waktu sebelum 'azam' itu dibuat.

Kecewa - bukan perkataan yang dicari,tapi itulah yang dirasa oleh kita pada waktu itu.

Ketahuilah,seperti golongan Remaja yang sedang merokok yang disebut di atas tadi,kita juga sama.

Tiada siapa yang dapat mengubah diri kita melainkan diri kita sendiri.

Allah SWT telah Memberikan kepada kita pilihan dalam hidup ini.

Kita perlu membuat pilihan yang terbaik.

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. [13:11]

Perubahan tidak cukup dengan sekadar kata-kata.

Perubahan memerlukan tindakan.

Perubahan memerlukan aksi.

Perubahan memerlukan 'perubahan'.

Kita tidak punya siapa untuk dipersalahkan melainkan diri sendiri jika kita masih tidak berubah.

Peluang sudah ada,tapi kita sahaja yang tidak mengambilnya.

Tamat penulisan kali ini.

Assalamualaikum dan Selamat Beramal.


No comments:

Post a Comment