13.9.11

Berani Kerana Benar - Kisah Ibn Taimiyyah Dan Raja Qazan.

Prenote : Sebelum membaca,elok diingatkan Para Pembaca untuk menilai Penulisan ini dengan akal yang rasional.Bukannya emosi semata.Sebarang salah silap yang didapati dalam Penulisan ini sila maklumkan kepada Penulis.Terima kasih didahulukan.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Muhammad (SAW) berkata,"Wahai Khabbab,pejuang sebelum kita iaitu para Nabi,ada yang ditanam di dalam lubang dan digergaji dari atas kepalanya sehingga terbelah dua badannya.Ada yang disikat dagingnya dengan penyikat besi.Namun,semua itu tidak menyebabkan dia berganjak sedikit pun daripada agamanya dan daripada keyakinannya.Wahai Khabbab,demi Allah,Allah akan memenangkan agama ini.Sehingga nanti seorang boleh menunggang kenderaan seorang diri berjalan dari Sanna' sampai Hadramaut.Tidak ada yang dia takut melainkan Allah,aman perjalanannya,tetapi kamu semua mahukan kemenangan yang segera." [Link]

Assalamualaikum.

Astaghfirullahalazim.

Marilah kita sama-sama bersyukur kepada Allah SWT kerana masih diberikan oleh-Nya nikmat kepada kita walaupun kita sering melakukan kesilapan.

Astaghfirullahalazim.

Semalam saya ada terbaca sebuah Penulisan saya yang lama.Penulisan yang ditulis sekitar awal tahun lepas dengan tajuk "Sesempurna Manapun Kelihatan Suatu Sistem Manusia Itu,Ia Hanyalah Bersifat Sementara.Ini Kerana Sistem Allah (Islam) Sahajalah Yang Dapat Membawa Kita Kepada Kebenaran Dan Ketenangan Abadi" (saya cadangkan anda yang masih belum membaca penulisan ini untuk membacanya di link ini).

Terperanjat bukanlah perkataan yang dicari.Tetapi ianya boleh digunakan untuk menggambarkan perasaan saya ketika membaca penulisan itu kembali.

Jika diteliti,penulisan saya sejak akhir-akhir ini agak ringan.

Tidak terlalu berat dibandingkan dengan Penulisan yang saya sebutkan di atas ini.

Walhal,salah satu tujuan utama diwujudkan Pena Maya ini adalah untuk menulis Penulisan-Penulisan yang berat dengan fakta bersifat Islamik.

Sebenarnya saya mendapati perkara ini berlaku kerana beberapa faktor.

Antaranya,jadual saya yang agak padat,momentum penulisan yang semakin pemalas etc etc.

Hurm.Termenung seketika memikirkan perkara ini.

Tapi,tidak mengapa.Hendak termenung panjang pun tiada guna.Termenung panjang hanya membawa kepada pembuangan masa sahaja jika 'menungan' itu tidak disusuli dengan tindakan segera.

Jadi,malam ini,saya ingin berkongsikan sebuah kisah yang saya petik dari buku 'Bicara Buat Pemimpin Dan Rakyat' tulisan Mohd Asri Zainul Abidin.

Kisah yang diharapkan dapat menjadi Motivasi kepada saya dan anda-anda di luar sana yang bergelar seorang Muslim.Kisah yang menceritakan tentang Perjuangan Memperjuangkan Kebenaran.Kisah yang mengemukakan kepentingan hidup dengan prinsip 'Berani Kerana Benar'.

Inilah dia,kisah Ibn Taimiyyah dan Raja Qazan (anda juga boleh baca kisah ini di laman web ini).

Ibn Taimiyyah (661-728H) atau dikenali dengan Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah merupakan cahaya indah yang menghiasi sejarah para ulama gemilang. Beliau ilmuwan terbilang yang tiada tolok bandingnya, lagi pejuang yang berperang menentang menaklukan Tatar ke atas wilayah Islam. Berjihad dengan pena, suara dan pedang.

Satu ketika Ibn Taimiyyah bersama dengan sejumlah ulama Damsyik pergi berjumpa dengan Raja Tatar yang bernama Qazan.Raja Tatar tersebut mendakwa telah menganut Islam,tetapi melakukan penyelewengan dan kezaliman terhadap umat Islam.Ibn Taimiyyah masuk untuk menasihatinya.

Dengan nada tegas dan mesej yang jelas Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah menasihati Raja Qazan berkenaan.

Kata Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah kepada penterjemah Raja Qazan: “Beritahu Qazan, engkau mendakwa engkau seorang muslim, aku dengar bersama engkau ramai ulama. Habis mengapa engkau memerangi negeri kami? Bapa dan datuk engkau Hulako dahulu adalah kafir, tetapi mereka tidak menyerang negeri kami, sebaliknya membuat perjanjian. Adapun engkau berjanji tetapi mungkir, berkata tetapi tidak tunaikan.”

Kemudian berlangsunglah dialog antara Ibn Taimiyyah dan Raja Qazan. Selepas itu Raja Qazan berkenaan menjamu sekelian yang hadir ke majlis tersebut dengan hidangan. Kesemua yang hadir makan dengan lazatnya. Namun Ibn Taimiyyah tidak mahu makan. Lalu Raja Tatar itu bertanya: “Mengapa engkau tidak mahu makan?”.

Jawab Ibn Taimiyyah: “Bagaimana aku hendak makan, kesemua ini adalah hasil rampasanmu ke atas harta orang ramai? Kamu pula memasaknya dengan menggunakan kayu yang kamu potong daripada pokok-pokok milik orang ramai!”.

Kata Raja Qazan: “Berdoalah untukku”.

Kata Ibn Taimiyyah: “Ya Allah, jika hambaMu ini seorang yang mulia, berperang untuk meninggikan kalimahMu, maka bantulah dia, kuatkan kerajaannya. Namun jika dia berperang kerana menunjuk-nunjuk, untuk mengangkat dirinya dan menghina Islam, maka ambillah tindakan terhadapnya”.

Ulama-ulama yang sedang makan dengan asyik hidangan Raja Tatar itu, masing-masing mengangkat jubah mereka. Lalu Ibn Taimiyyah bertanya mereka: “Mengapa kamu semua mengangkat jubah?”.

Jawab mereka: “Kami bimbang jika Raja memancung kepala engkau, nanti darah engkau akan terkena jubah kami”.

Apabila keluar dari majlis berkenaan mereka berkata kepada Ibn Taimiyyah: “Engkau telah telah membahayakan kami, kami tidak mahu bersama dengan engkau lagi”. Jawab: “Aku pun tidak mahu bersama kamu semua lagi”.

[lihat: Ibn Kathir, al-Bidayah wa al-Nihayah, 14/92, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah]

Isi penting yang saya ingin tarik perhatian anda daripada kisah di atas adalah keberanian dan ketegasan yang ditunjukkan Ibn Taimiyyah dalam menegakkan kebenaran.

Ya.Berani kerana benar.Itu yang kita perlu contohi.

Dan bandingkan pula sikapnya itu dengan sikap mereka-mereka yang lain (dalam kisah di atas) yang tergamak mahu memutuskan perhubungan dengan Ibn Taimiyyah hanya kerana Beliau menyatakan kebenaran.

Tanya diri kita,"Apakah aku ingin menjadi Si Ganjil yang memperjuangkan kebenaran tapi tidak popular dalam kalangan Majoriti,atau aku mahu menjadi Si Popular yang 'disukai' ramai,tapi pada hakikatnya aku hidup dalam 'khayalan'?"

Ya.

Memperjuangkan kebenaran itu ada risikonya.Risiko mendapat cemuhan orang ramai.Risiko tidak glemer dalam kalangan masyarakat.Risiko ditentang.Malah seseorang itu mungkin mendapat ugutan bunuh dalam memperjuangkan kebenaran.

Tapi,apa guna dipuji dan disukai,andai sebenarnya diri kita tidak layak dipuji.

Apa guna hidup berbadan besar,mempunyai kuasa,mempunyai Ilmu dan harta - andai kita takut untuk memperjuangkan kebenaran.

Saya menulis ini sebenarnya untuk mengingatkan diri sendiri.

Ya.Mengingatkan diri sendiri yang sering terleka.

Jadi,kesimpulannya,jadilah seorang yang berani memperjuangkan kebenaran.Kebenaran dalam konteks ini adalah Islam.

Tambahan pula di Akhir Zaman ini,ketika fitnah berlaku di sana sini,apakah kita mahu berdiam diri?Atau dalam kata lain,apakah kita mahu menjadi seperti kura-kura yang menyorokkan kepalanya di dalam cangkerangnya apabila berada dalam keadaan yang menakutkan?

Ini Zaman Internet.Banyak cara kita boleh lakukan untuk menyebarkan kebenaran.Oh ya,elok diingatkan,menyebarkan kebenaran adalah sama sekali berbeza dengan berlagak pandai menunjuk hebat merendahkan orang lain.Betulkanlah niat kita.Jika selama ini kita asyik menyebar fitnah,apa kata kita sebarkan Islam pula.Ya.Sebarkanlah cahaya Islam yang sebenar itu kembali.


Nasihat saya - carilah Redha Allah SWT,bukannya redha manusia.

*** *** ***

Dalam keterujaan kita cuba memperjuangkan kebenaran,sebagai seorang Islam,sentiasalah berusaha untuk memastikan bahawa setiap yang kita lakukan itu dilakukan hanya kerana Allah SWT,untuk mencari keredhaan-Nya.

Bukannya kita memperjuangkan 'kebenaran' untuk mencari populariti etc.

Ingat,jangan terjatuh dalam perangkap egoisme ciptaan sendiri.

"Setiap amalan itu hanyalah berdasarkan niat". [Riwayat Al-Bukhari dan Muslim]

Dan elok juga diingatkan kepentingan untuk kita mencari Ilmu sebelum menyebarkan kebenaran ini kepada orang ramai.Bimbang tiada Ilmu (salah kefahaman terhadap Islam) nanti,boleh menimbulkan bencana lain pula.

Niat sahaja tidak cukup.Ianya mesti disusuli dengan usaha yang kukuh dan juga pengetahuan yang luas.

Dalam kata lain,seorang yang ingin berdakwah mengajak seseorang ke arah Islam,mestilah mempunyai kefahaman yang betul terhadap Islam itu sendiri.Dan mereka yang ingin berdakwah ini juga mestilah menunjukkan contoh peribadi yang baik juga.

Jadi,kesimpulannya,sama-samalah kita berusaha menjadi Muslim yang lebih baik.

Dan sama-sama menasihati antara kita.

Yang penting,kita lakukannya semata hanya kerana Allah SWT.Untuk mencari keredhaan-Nya.

Bukan untuk mencari populariti atau menambat hati Para Gadis Malaya.

Akhir sekali,saya ingin berkongsikan sedikit terjemahan Ayat Suci Al-Quran untuk kita renungkan bersama-sama.

Dia lah yang menjalankan kamu di darat dan di laut (dengan diberi kemudahan menggunakan berbagai jenis kenderaan); sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera, dan bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya dengan tiupan angin yang baik, dan mereka pun bersukacita dengannya; tiba-tiba datanglah kepadanya angin ribut yang kencang, dan mereka pula didatangi ombak menimpa dari segala penjuru, serta mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadaNya semata-mata (sambil merayu dengan berkata): "Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah) selamatkan kami dari bahaya ini, kami tetap menjadi orang-orang yang bersyukur".

Kemudian bila sahaja Allah selamatkan mereka, mereka dengan serta-merta merebakkan perbuatan derhaka di bumi dengan tidak ada sebarang alasan yang benar. Wahai manusia! Sesungguhnya perbuatan kamu menderhaka itu hanyalah bala bencana terhadap diri kamu sendiri. (Dengan itu kamu hanya dapat merasai) kesenangan hidup di dunia (bagi sementara); kemudian kepada kamilah tempat kembalinya kamu, maka Kami akan memberitahu apa yang kamu telah lakukan. [10:22-23]

*** *** ***

Itu sahaja untuk kali ini.

Salah silap,terkasar bahasa - minta anda maafkan dan betulkan kesalahan saya.

Sesungguhnya saya menulis ini tidak lain tidak bukan untuk menasihati diri saya yang sering terleka ini.

Dan semoga usaha saya yang kecil ini mendapat keredhaan-Nya.Amin.

Assalamualaikum dan Selamat Beramal.

P/S : Janganlah disebabkan mengejar secebis nikmat dunia,kita bertengkar sesama sendiri tetapi dalam masa yang sama berpelukan dengan musuh Islam.Fikir-fikirkan.

P/P/S : Adalah lebih baik untuk hidup dalam keadaan sukar tapi bermaruah,berbanding hidup senang-lenang tapi maruahnya telah terbang.

P/P/P/S : Tanya diri kita,apakah tujuan kita diciptakan?Kita hidup untuk apa,siapa dan mengapa?Carilah kebenaran itu wahai Manusia.Kembalilah kepada jalan Allah SWT.Kembalilah kepada Islam.Astaghfirullahalazim.

P/P/P/P/S : Ya Allah,lindungilah aku daripada perasaan riak.Amin.



No comments:

Post a Comment