14.9.11

Pelaburan Akhirat - Jangan Kerana Terlalu Sibuk Mengejar Dunia,Kita Mengabaikan Akhirat.

Prenote : Semoga ada manfaatnya.Salah silap,terkasar bahasa - minta anda maaf dan betulkan kesalahan Penulis.Terima kasih didahulukan.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum.

Kita manusia memang mudah terlupa.

Seringkali kita berkata-kata tentang orang lain,tanpa memikirkan tentang diri sendiri.

Seringkali kita seakan-akan lebih nampak kesalahan jiran tetangga dari merenung kesilapan dan kelemahan diri sendiri.

Dalam Penulisan Siri Pelaburan Akhirat kali ini,saya akan menulis beberapa perkara yang diharap dapat dijadikan peringatan kita bersama.

*** *** ***

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini,seringkali apabila menyelak sahaja muka depan Akhbar Tempatan,kita mendapati berita-berita yang dipaparkan kurang menyenangkan.

Kebanyakannya tidak mencerminkan Malaysia sebagai sebuah Negara yang Majoriti penduduknya adalah Muslim.

Berita Liwat Pemimpin,Rasuah,Buang Anak dipaparkan kepada Umum.Dan lebih menyedihkan,kebanyakan berita ini melibatkan orang Melayu yang mengaku beragama Islam sendiri.

Persoalan yang perlu kita tanya diri kita di sini - Apakah yang kita faham tentang Islam?

Jika jawapan yang diberikan oleh kita untuk persoalan di atas ini kelihatan samar-samar,saya cadangkan untuk kita semua mencari Ilmu.

*** *** ***

Sedarlah.

Kita hidup di dunia ini tidak lama.

Satu tahun ada 365 Hari.

Satu hari pula ada 24 Jam.

24 Jam - kelihatannya seperti tempoh yang panjang bukan?

Tidak.Ianya tidak panjang.

Lupakah anda begitu cepatnya hari semalam berlalu?

Tidakkah itu cukup untuk memberi peringatan kepada kita bahawa betapa cepatnya masa berlalu meninggalkan kita.

Dan beruntunglah orang-orang yang bijak menguruskan masanya.

Iaitu orang yang sentiasa menggunakan sebaik-baik peluang untuk mencari keredhaan Allah SWT,Maha Pencipta Sekalian Alam.

Surah Al-'Asr - Penulis yakin lebih 70% dari kita Umat Islam tahu maksudnya.

Tapi,apakah kita benar-benar memahaminya?Apakah kita benar-benar beriman dengan ayat ini?Apakah kita benar-benar mengambil pengajaran dari ayat inI?

Saya mempelawa kita semua - untuk kita sama-sama menghayati kembali apa yang cuba diberitahu oleh Allah SWT kepada kita semua dalam Surah yang pendek ini.

Tonton juga video di bawah ini jika ada kesempatan.



Demi Masa!

Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian -

Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.
[103:1-3]

*** *** ***

Sedar atau tidak sedar,kadangkala kita asyik membicarakan perkara-perkara yang kita rasakan 'besar dan penting' tanpa menyedari keterujaan kita mengkaji perkara-perkara 'besar dan penting' ini menyebabkan kita semakin lalai dalam melaksanakan perkara-perkara 'asas ranting yang kelihatannya kecil'.

Apakah yang cuba Penulis sampaikan di sini?

Begini.

Mari Penulis kongsikan sebuah kisah fiksi rekaan yang boleh dijadikan contoh,

Ali seorang Pengkaji Konspirasi/Politik.Beliau begitu asyik menghabiskan hidupnya dengan mengkaji Politik/Konspirasi/Gosip etc.

90% daripada tempoh hidupnya setiap hari dihabiskan untuk membaca tentang Konspirasi.

'Minat/Obsesi'nya yang mendalam ini menyebabkan sedikit demi sedikit Beliau meninggalkan perkara asas yang lain.

Apakah perkara asas yang lain itu?

Beliau semakin jarang mengaji Al-Quran.Semakin jarang merenung maksud Ayat-Ayat Al-Quran.Semakin jarang mengeratkan Silaturahim.Sehingga satu tahap,Beliau turut meninggalkan Solat kerana terlalu 'sibuk' mengkaji Politik/Konspirasi etc.

Begitulah hidupnya berterusan.

Beliau gagal membezakan antara perkara yang penting,dengan perkara 'hiburan'.

Ya,saya secara peribadi menganggap membaca berita Politik itu kadangkala kelihatan sebagai hiburan.Kerana apa?Berita itu tidaklah membawa banyak manfaat.Cuma kita mengikutinya kadangkala hanya untuk mengetahui drama emosi Politik.Tidakkah itu suatu hiburan?Tidak mengapa,sekadar pendapat peribadi.

Berbalik kepada Ali,Beliau terlalu leka dengan Politik sehingga lupa menjalankan tanggungjawabnya yang utama sebagai umat Islam.Beliau sibuk memaki hamun ahli parti lawan,sehingga lupa untuk bersedekah kepada orang susah etc etc.

Sehinggalah Beliau meninggal dunia.

Itu cerita Ali.

Wataknya mungkin satu rekaan.

Tapi boleh dijadikan tauladan.

Apakah kita mahu menjadi seperti Ali?

Berubahlah sementara masih berkesempatan.

Jadi,janganlah disebabkan terlalu asyik dengan perkara yang kononnya penting dan havoc seperti Politik,kita lupa tanggungjawab kita yang sebenar di atas muka bumi ini,

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. [51:56]

Sedarlah dari lamunanmu wahai Muslimin Muslimat sekalian.

Tanya dirimu,apakah yang engkau cari dalam hidup ini?Apakah engkau sedar engkau sebenarnya sedang bergerak menghampiri kematian?

Jika engkau sedar,apakah persediaanmu?

Apakah Pelaburan Akhiratmu?

Redha siapa yang kau cari?

Redha Ilahi?Atau populariti dalam kalangan manusia?

Janganlah disebabkan terlalu sibuk dengan Isu-Isu Dunia ini,kita hilang kekhusyukan dalam melakukan perkara-perkara wajib seperti solat etc.

Renung-renungkan Terjemahan Surah Az-Zalzalah di bawah ini,

Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya,

Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya,

Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa yang sudah terjadi kepada bumi?"

Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya:

Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian).

Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka.

Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
[99:1-8]

Baca,renung,faham dan amalkan.Bukan setakat baca,kemudian dilupakan.

*** *** ***

Itu sahaja untuk kali ini.

Ditulis sebagai peringatan kepada diri sendiri.

Ini kerana,ada ketikanya kita seolah-olah terlalu sibuk hendak mengubah dunia,tapi Solat pun kita lewat-lewatkan.

Apa cerita?

Sedangkan perkara pertama yang akan ditanya kelak semasa dihisabnya Amalan adalah Perihal Solat.

Daripada Abu Hurairah RA,Nabi Muhammad SAW bersabda : "Sesungguhnya amalan pertama seseorang hamba yang dihisab pada hari kiamat ialah solatnya." [Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi]

Astaghfirullahalazim.

Renung-renungkan.

Assalamualaikum dan Selamat Beramal.

P/S : Doakan saya.Dan doakan juga kebaikan semua Umat Islam.Amin.


No comments:

Post a Comment