29.10.11

Pelaburan Akhirat - Jangan Pernah Penat Dalam Membuat Amal Kebaikan.Melaburlah Untuk Hari Akhirat.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum.

Hari ini hari Sabtu.Saya tidak ke mana.Oleh kerana waktu Asar masuk agak awal,dan ada masa lebih kurang 2 Jam sebelum waktu Maghrib,saya fikir adalah baik saya menulis di sini.Menulis sebagai peringatan diri.

Ini untuk mengelakkan saya daripada melakukan perkara yang tidak berfaedah dan membawa keburukan kepada saya.

Ya,jika difikirkan hidup ini senang sahaja kita hendak berbuat baik atau buruk.Tapi,kelihatannya kita cenderung untuk berbuat keburukan.Kenapa?Tanya diri kita.

Teringat kata-kata seorang Sahabat saya,"Itu maksudnya hati kita la yang bermasalah".

Kata-katanya itu membawa ingatan saya kepada suatu Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud,

"Telah bersabda Nabi SAW : Sesungguhnya di dalam tubuh (manusia) ada seketul daging,jika baik daging itu maka baiklah seluruh tubuhnya,dan jika rosak daging itu maka rosaklah seluruh tubuhnya dan ketahuilah bahawa dialah HATI. [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Sentiasalah beristighfar.

Dan mungkin Penulisan yang saya coretkan ini sudah biasa kita dengar dan baca.Tapi ketahuilah,yang 'biasa kita dengar dan baca' itulah yang sering kita lupakan.

*** *** ***



Alif, Laam, Miim.

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa;

Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.

Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab "Al-Quran" yang diturunkan kepadamu (Wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).

Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.
[2:1-5]

Ayat Al-Quran di atas - sering kita baca.Dan mungkin sering juga kita baca Terjemahannya.

Tapi,pernahkah kita benar-benar hayati Terjemahannya itu?

Mari kita sama-sama baca dan renungkan kembali ayat itu.

"Ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa" - dalam ayat ini disebutkan bahawa Al-Quran ini menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa dan menyerah diri kepada Allah SWT.

Dalam kata lain,seseorang yang beriman kepada Allah SWT dan Rasul-Nya,perlulah sentiasa membaca Al-Quran untuk menjadi peringatan buat dirinya.

Ini kerana,tanpa Al-Quran,kita akan lost.Hendak-hendak pula dalam zaman sekarang.

Jadi,tanyakan diri kita,berapa kerapkah kita membaca Al-Quran dalam sehari?Berapa Naskhah Al-Quran yang ada dalam rumah kita?Berapa pula yang dibaca oleh Ahli Rumah kita?Tanya diri kita.

Saya percaya,mungkin di antara kita yang tiada langsung Al-Quran di rumahnya.Astaghfirullahalazim.Kepada Golongan seperti ini,nasihat saya - masih ada peluang untuk anda bertaubat kembali kepada Maha Pencipta.

Kembalilah.

Keampunan Allah SWT itu Maha Luas dibandingkan dengan kesalahan anda.

Kepada siapa lagi anda hendak pohon keampunan melainkan kepada-Nya?

Ingat,dalam Surah Al-Fatihah yang kita baca setiap hari itu,ada ayat yang bermaksud,'Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah,dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan'.

Dan dalam Surah yang sama juga,ada ayat yang bermaksud,'(Allah) Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat)'.

Kita semua akan mati satu hari nanti.Kita semua akan dihadapkan kepada-Nya.

Bertaubatlah segera.

Hakikatnya Al-Quran itu menjadi petunjuk bagi orang-orang yang bertaqwa.Siapakah orang-orang yang bertaqwa itu?Lihat Terjemahan ayat di atas kembali.Renung sedalam-dalamnya.

Dan renung Terjemahan ayat yang kelima dalam Surah Al-Baqarah di atas.

'...dan merekalah orang-orang yang berjaya.'

Yakni,orang-orang yang semasa hidup di dunia ini yang mengikut perintah Allah SWT sahajalah yang akan berjaya di Akhirat kelak.

Astaghfirullahalazim.

Hakikatnya dunia ini sangat melekakan.

Orang yang menggunakan akalnya untuk melihat di sekelilingnya pasti akan melihat banyak kemungkaran dan salah laku yang sedang berlaku.Salah siapa?

Salah manusia sendiri.

Hakikatnya,Islam sahajalah Solusi untuk kita.

Kembalilah.

Saya teringat satu quote yang saya baca entah di mana beberapa hari lepas,"Bagaimana kita hendak tahu indah dan benarnya Islam andai kita tidak pernah membaca Al-Quran?Bagaimana kita hendak tahu indahnya peribadi Rasulullah SAW andai kita tidak pernah mengkaji Sirah Kehidupan Baginda SAW?".

Ada benarnya.

Jika kita boleh berusaha untuk mengkaji tentang perkara yang sia-sia (misal kata Biodata Artis/Atlet Kegemaran),kenapa kita tidak boleh berusaha mencari kebenaran?Tanyakan kepada diri sendiri.

Bagaimana hendak mendapatkan hati yang bersih?

Lakukanlah apa yang diperintahkan-Nya.Sentiasalah beristighfar.

Ingat,keampunan-Nya amat luas.

*** *** ***

Kita berada dalam zaman yang menyaksikan kita amat-amat memerlukan nasihat daripada Sahabat-Sahabat yang baik.Dan adalah perlu untuk kita sendiri memberi nasihat kepada orang lain.

Tapi memberi nasihat tidak sama dengan mencaci maki hamun.Ada bezanya di situ.

Tanyakan diri kita,kenapa kita tergamak mencaci maki hamun?Apakah niat kita?Ha,betulkan kembali niat kita di situ.Allah SWT Maha Mengetahui apa yang berada dalam hati kita.

Dan hakikatnya,tangan-tangan yang menaip perkataan di Internet ini,semuanya akan menjadi saksi kepada perbuatan kita.

*** *** ***

Kadang-kadang ada masa kita terasa seperti 'malas',hendak 'berehat panjang'.Berehat boleh.Tapi kita mesti ingat,hidup di dunia ini tidak lain tidak bukan hanyalah sebuah perjalanan menuju Akhirat.Destinasi kita Akhirat,bukan Dunia ini.

Jika misal kata kita sedang memandu dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru,apakah kita hendak berehat di Seremban berhari-hari?Tentulah tidak bukan?Tentulah kita hendak menyambung perjalanan ke Johor Bahru bukan?

Begitulah juga hidup ini.

Ambil mana yang perlu sahaja.Yang tidak perlu,kita abaikan.Dan sambung kembali perjalanan ke Destinasi kita.Atau dalam kata lain,banyakkanlah Pelaburan Akhirat.

Iman,Ilmu,Takwa,Amal - antara bekal yang sentiasa perlu dicari oleh kita dalam kehidupan dunia ini.

“Daripada Ibn Umar RA, beliau berkata : Rasullah SAW memegang bahuku lalu bersabda : "Jadilah kamu di dunia ini seperti seorang pengembara atau perantau di jalan". Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bukhari.”

*** *** ***

Dalam kita mengharungi kehidupan,janganlah pula kita melupakan Ibu Bapa dan Keluarga kita.

Kita perlu sentiasa berusaha menyedarkan mereka dan menyampaikan kepada mereka hakikat kebenaran ini.

Tapi,caranya mestilah berhikmah.Bukan secara kasar etc.Kerana hakikatnya,semakin dekat seseorang itu dengan kita,semakin mudah hatinya dilukai oleh kita.

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan." [66:6]

Sebenarnya,berbuat baik kepada Ibu Bapa ini satu Jihad juga.

Tidak percaya?Renungi Hadis di bawah.Maaf ianya dalam Bahasa Inggeris.Tapi saya yakin anda boleh faham.Jika tidak faham,boleh tanya saya.

A man came to the Prophet SAW to `make bay'ah' and to pledge to undertake hijrah and jihad in the hope of receiving reward from Allah.The Prphet SAW did not rush to accept his bay'ah,but asked him :

"Are either of your parents alive?" The man said, "Yes,both of them." The Prophet SAW asked,"And do you wish to receive reward from Allah?" The man replied, "Yes." So the kindhearted and compassionate Prophet SAW told him : "Go back to your parents and keep them company in the best possible way." [Bukhari and Muslim]

According to a report narrated by both Bukhari and Muslim,a man came and asked the Prophet SAW for permission to participate in jihad.He asked him,"Are your parents alive?" He said,"Yes," so the Prophet SAW told him : "So perform Jihad by taking care of them."

See?

Lihatlah betapa indahnya Islam.Kedudukan Ibu Bapa diletakkan begitu tinggi.

Jadi,adalah perlu untuk kita sama-sama menghormati Ibu Bapa kita.Jika anda seorang Pelajar,telefonlah mereka sekurang-kurangnya dua hari sekali.

Sebenarnya,setiap hari pun tiada salahnya.Telefon untuk menggembirakan hati mereka,untuk mencari redha-Nya.

Duit anda tidak akan habis jika anda belanjakannya ke arah kebaikan.

Malah,Allah SWT akan menambah lagi rezeki kita jika kita bersyukur dan mengikut perintah-Nya.

Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras". [14:7]

*** *** ***

Itulah dia sedikit sebanyak perkongsian muhasabah untuk diri sendiri oleh saya pada hari ini.

Semoga anda yang membaca pun turut mendapat manfaat.

Ingat,hidup dunia ini ibarat 'penjara' bagi orang beriman dan 'syurga' bagi orang yang tidak beriman.

Dan ketahuilah,'nikmat' dunia ini amat kecil jika dibanding dengan nikmat Akhirat.Renung-renungkan.Allah SWT memberikan kita pilihan.Buatlah pilihan yang bijak.

Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat) [67:2]

Itu sahaja.

Banyak yang hendak dicoret.

Tapi,saya rasa inilah yang terbaik yang dapat dicoret (dengan izin Allah SWT).

Salah silap,terkasar bahasa - minta anda maaf dan nyatakan kesilapan saya itu supaya dapat saya perbetulkan.

Assalamualaikum dan Selamat Beramal.

P/S : Oleh kerana hari ini saya sudah menulis tiga entri termasuk entri ini,anda boleh baca link ini dan ini untuk bacaan tambahan.

P/P/S : Saya merancang untuk membukukan Siri Pelaburan Akhirat ini dalam bentuk PDF dalam masa akan datang.



3 comments:

  1. smoga Allah bagi saya dan kita semua taufiq utk bertaubat dengan dosa2 kita..

    ReplyDelete
  2. Semoga kita sentiasa diberi peringatan oleh Allah

    ReplyDelete