29.10.11

Tangan Dan Kaki Ini Bakal Menjadi Saksi Kepada Perbuatan-Perbuatan Kita Kelak.Sentiasalah Beringat Dan Bertaubat.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum.

terbitnya sang suria pagi ini
syukur Alhamdulillah diucap
kerana masih ada peluang diberi
untuk memperbaiki diri
memperbetulkan salah silap
mengubat luka yang lama
memohon maaf pada yang mungkin diluka
tapi maaf sukar diucap
bukan semudah itu
hati yang angkuh
perlu dibersih dahulu
hakikatnya maaf yang dipohon
hanyalah untuk mencari redha-Nya

bahasa
ramai yang pandai berbicara
tapi ramai yang tersalah guna
tersalah ucap terlanjur kata
binasa akhirnya

kadangkala suatu kata ditulis
bukan untuk difahami
mungkin lebih kepada untuk menulis
meluah rasa yang tidak dapat dibicara

tangan kaki mulut dan anggota-anggota ini
yang kita manusia gelar pancaindera
hakikatnya satu pinjaman oleh-Nya
dan realitinya
satu hari nanti
kita akan kembali
kembali kepada-Nya untuk dibicara
dan indera ini semua
bakal menjadi saksi perlakuan kita

sedarlah hakikat
dunia ini sementara sahaja
hanya kepada-Nya sahaja dipohon keampunan
kembalilah.

(Ingatlah) bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan taqwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan; dan jika kamu beriman serta bertaqwa, Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu, dan Ia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya). [47:36]

Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan, dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; akhirnya ia menjadi hancur bersepai; dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu), dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat). Dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. [57:20]

Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan. [36:65]

Assalamualaikum dan Selamat Beramal.

P/S : Hidup jangan jadi seperti 'Animal Machine' sahaja.


No comments:

Post a Comment