18.9.12

Kristalisasi : Mungkin Inilah Masanya.

Prenote : Sebelum menulis,mahu tanya - ada dalam kalangan Para Pembaca yang duduk/menetap/menuntut di Jordan 'tak?Kalau ada,tolong e-mail pospenamaya@gmail.com - mahu minta tolong sedikit.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Assalamualaikum.

*** *** ***

Celik

Seperti mana muzik yang baik yang hanya boleh dihargai oleh sesetengah golongan dengan menggunakan headphone yang baik,begitu juga hidup ini.

Hanya yang benar-benar dikurnia 'kecelikan' sahaja yang dapat memahami apa tujuan dan 'hakikat' sebenar hidup dunia yang singkat ini.


*** *** ***

Kepantasan

Walau diulang berjuta kali sekalipun,kita tetap akan terlupa.

Terlupa akan hakikat bahawa masa itu terlalu pantas berlalu meninggalkan kita.

Ada orang yang mungkin tidak menjaga Solatnya.

Berjanji untuk mula berubah.

Tapi saat kaki mengambil langkah,satu bisikan berbunyi dan mencadangkan penangguhan niat.

Lantas,orang itu bermonolog,"Esoklah".

Dan hidupnya diteruskan,hari demi hari - untuk mencari 'Esok' yang penuh dengan sifat 'ketangguhan durjana' itu - yang tidak pernah kunjung tiba.

Begitulah dirinya sehingga mati.

Solatnya tidak pernah terjaga.

*** *** ***

Persoalannya - Sampai Bila?

Berapa ramai dari diri insani di seluruh dunia yang menjanjikan perubahan ke arah kebaikan pada dirinya setiap hari?

Berjuta?Lebih (mungkin).

Ada yang mahu mula memakai tudung,ada yang mahu mula menunai Solat Sunat,ada yang mahu mula rajin membaca - malah - ada yang baru mahu mula 'memasang niat berubah'.

Tapi,banyak yang tewas.

Tewas kerana tiada langkah diambil.

Hanya mahu,tetapi mahu itu tidak 'dilaju'.

*** *** ***

Suci

Penulisan ini ditulis untuk mengajak diri kita sama-sama memulakan langkah mengkristalisasi (mensucikan) diri kita mulai saat ini juga.

Jika anda seorang Gadis yang baik - dan mahu memakai tudung - ayuh - saat ini juga kita mulakan.

Alangkah ruginya kecantikan diri anda - andai anda setiap hari menjadi 'jamahan' mata liar 'random' di luar sana.

Yang penting,niat mesti betul.Kerana Allah SWT - untuk mencari keredhaan-Nya.

Dan pelbagai lagi kes lain.Ayuh ambil langkah.

*** *** ***

Penutup

Saya kongsikan beberapa potong Terjemahan Al-Quran untuk kita renung bersama.Harap dapat dibaca oleh anda semua.

"Dan (ingatkanlah) hari di tiup sangkakala, lalu terkejutlah - gerun gementar - makhluk-makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang dikekhendaki Allah; dan kesemuanya akan datang kepadaNya dengan keadaan tunduk patuh.

Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, padahal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan; (demikianlah) perbuatan Allah yang telah membuat tiap - tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya; sesungguhnya Ia Amat mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.

Sesiapa yang datang membawa amal kebajikan (yang telah dikerjakannya) maka ia akan beroleh balasan yang lebih baik daripadanya, dan mereka akan beroleh aman sentosa daripada kejadian-kejadian yang mengerikan pada hari kiamat itu.

Dan sesiapa yang datang membawa amal jahat (yang telah dikerjakannya) maka sudah tentu mereka akan ditumuskan mukanya ke dalam api neraka, (sambil dikatakan kepada mereka): "Kamu tidak diberi melainkan balasan apa yang kamu telah lakukan".

(Katakanlah wahai Muhammad):" Aku hanyalah diperintahkan supaya menyembah Allah Tuhan negeri (Makkah) ini yang telah menjadikannya suci lagi dihormati dan yang menguasai segala-galanya; dan aku diperintahkan supaya tetap menjadi dari orang-orang Islam (yang menyerah diri bulat-bulat kepadaNya), -

"Dan supaya aku sentiasa membaca Al-Quran". Oleh itu, sesiapa yang menurut petunjuk (Al-Quran dan beramal dengannya) maka faedah perbuatannya itu akan terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang sesat, maka katakanlah kepadanya: "Sesungguhnya aku hanyalah seorang pemberi amaran".

Dan katakanlah (wahai Muhammad): "Segala puji tertentu bagi Allah (yang melimpahkan nikmat-nikmatNya yang tidak terhitung), Ia akan memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda kekuasaanNya supaya kamu dapat mengetahuinya (dengan jelas nyata)"; dan Tuhanmu tidaklah lalai akan segala yang kamu lakukan." [An-Naml : 87-93]

Sama-sama kita muhasabah diri.

Dan jika hadir lagi waktu ketika di mana anda mahu menangguhkan perubahan diri ke arah kebaikan - ada baiknya anda bisikkan begini pada diri "Mungkin inilah masanya".

Sekian.

Salah silap,terkasar bahasa - minta dimaaf dan dibetulkan.

Assalamualaikum dan Selamat Beramal.

P/S : Mahu sumbang Dana untuk Projek Al-Quran akan datang?E-Mail pospenamaya@gmail.com.


No comments:

Post a Comment