15.9.14

Syurga Tidak Boleh Dicapai Dengan Sekadar 'Main Retweet', Tapi Tiada Praktis!

Bismillahirrahmanirrahim.

*** *** ***

Blog?

Saya pernah ingat satu masa dahulu, Pena Maya purata pengunjungnya dalam 24 jam paling kurang 700 orang sehari-hari.

Dan ketika itu, yang mana saya gelarkannya 'Zaman Blog', ramailah yang saya lihat 'berjuang untuk Islam'.

'Salam Ziarah... Salam Blogwalking... Salam bla bla bla' - merupakan sebahagian rutin sesetengah kita dahulu.

Bagus.

Tapi ianya fad.

Dan blog pun semakin mati.

Sebenarnya blog tidak pernah mati. Yang mati hanya semangat 'tahi ayam'.

Kemudian, datang pula Twitter.

Bukan sedikit saya jumpa orang yang sering tweet dan retweet, tapi dalam kehidupan sebenar - masyaAllah.

Ngerilah melihatnya.

Kemudian sekarang ada Instagram.

Ramai yang posting muka sendiri agar nampak lawa/hensem, tapi caption Islamik.

Ini semua namanya fad.

Fad : a thing that becomes very popular in a short amount of time, and then is forgotten at about the same speed [Urban Dictionary]

Percayalah, kesenangan (baca : kebenaran Islam) tidak boleh didapati dengan kesenangan (e.g retweet,tanpa beramal dalam dunia realiti).

Jadi, kembali pada bicara awal, saat ini Pengunjung harian Pena Maya hanya 100+-.

Sedikit bukan?

Ya, memang saya tidak update, tapi bila kemaskini tulisan baru pun, tidak ramai baca.

Akan ada yang berkata, "Gunalah Facebook promosi tulisan".

"Adik, di Facebook berapa banyak tulisan akademik, tapi tidak dibaca? Ianya bukan soal platform. Ianya soal kita mahu atau tidak".

Dan lagi menyedihkan, ramai dalam kalangan Para Pejuang Islam Siber kini mula menulis benda 'tidak bernada Islam'.

Bukan semua, tapi bukan sedikit yang sebegini. Siapa yang mahu faham, dia akan faham.

Jadi, teringat saya kepada Hadis Ghuraba.

Dalam riwayat al-Imam Ahmad RA, Nabi SAW bersabda :

“Beruntunglah golongan ghuraba` (yang asing atau pelik)”. Ditanya baginda: “Siapakah mereka yang ghuraba itu wahai Rasulullah?”. Jawab baginda: “Golongan yang soleh dalam kalangan ramai yang jahat, yang menentang mereka lebih ramai daripada yang mentaati mereka”. [Dinilai sahih oleh Ahmad Shakir]

*** *** ***

Jadi?

Bila kita lihat kembali diri kita, kita tahu diri kita ini kurang sempurna.

Tapi, kita tahu jiwa kita menginginkan kebaikan.

Tapi kadangkala diri yang baru merangkak, kecewa bila melihat Golongan Berjubah sedang asyik 'berselfie' posting gambar sendiri.

Berhati-hati, jika niat tidak betul, kita boleh terjatuh. Sebab kita rasa kita lagi bagus dari mereka. Lalu, kita pun berpatah balik. Sekali lagi diulang, siapa yang mahu faham, Beliau akan faham.

Jangan begitu.

Jangan ikut orang.

Niatkan perubahan kerana mencari kebenaran, mencari redha Tuhan, mengejar syurga-Nya.

Dan dalam perkara-perkara ini, saya mendapati, yang paling penting yang dapat membawa kita konsisten adalah kefahaman.

Kefahaman memerlukan Ilmu.

Kefahaman tidak boleh dikecap dengan membaca beberapa posting tazkirah di Facebook,Instagram semata.

Itu hanya sepak mula.

Lanjutan dari itu, kita kena effort.

'Eh bro, kau nak jadi Engineer pun ko masuk universiti 5-6 tahun, inikan pulak nak syurga. Effort kenalah ada. Syurga itu sifatnya abadi'.

Entahlah.

Pesanan saya, jika tiada orang yang ingin bersama kita, teruslah melangkah.

Kerana Allah SWT tidak akan mensia-siakan amalan kita. Perjalanan kita mencari Tuhan, insya-Allah diberi balasan baik.

"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!" [Az-Zalzalah : 7-8]

Di sinilah pentingnya ilmu.

Jangan ikut khalayak. Ikutlah sunnah Rasulullah SAW seperti difahami Para Salaf.

Teguhlah!

Semoga kalian diredhai dan tidak luntur.

Assalamualaikum dan Selamat Beramal.


No comments:

Post a Comment