15.8.15

Kenapa Saya Pesimis Dengan Bersih 4.0? (Sisi Pandang Lain).

Bismillahirrahmanirrahim.

*** *** ***

Nusantara

"Mar, apa mau jadi dengan Malaysia 1 USD RM 4?", tanya Dr. F kepada saya.

Dr. F adalah seorang rakan di makmal saya. Cuma beza saya dengan Beliau ialah Beliau telah mendapat Ijazah Doktor Falsafahnya. Berasal dari Indonesia, perbualan saya dengan Beliau semalam berkisarkan tentang perbezaan pemikiran dan sifat antara rakyat Malaysia dan Indonesia, walau keduanya mempunyai Geografi dan sama. Topik bagaimana Indonesia dan Malaysia mendapat kemerdekaan dari Belanda dan British juga menjadi perbincangan.

Terbuka kepada kritikan dan perbincangan isu sensitif, itu yang saya lihat merupakan kelebihan warga Indonesia. Berhati-hati dalam memberikan pandangan agar tidak mengguris hati - itu pula kelebihan yang dimiliki warga Malaysia. Ada masa kedua-dua kelebihan ini bagus, tapi ada masa, perlu ianya ditiadakan.

*** *** ***

Pentadbiran

Saya adalah antara berjuta rakyat Malaysia yang sangat tidak berpuas hati dengan mutu pentadbiran Pentadbir Negara hari ini.

Pembaziran, Kualiti Pendidikan, Mutu Pengangkutan Awam, Kos Sara Hidup yang melampau berbanding gaji yang rendah, Rumah Sewa yang mahal dan pelbagai lagi isu - ini semua tidak memerlukan Ahli Politik Pembangkang untuk membencinya.

Malah, Ahli Politik pembangkang mungkin tidak membenci Isu ini seperti rakyat kebanyakan kerana Ahli Politik Pembangkang sekurangnya mempunyai gaji asas yang sama seperti Ahli Politik Pentadbir.

Dan saya, sangat mahukan perubahan berlaku dalam pentadbiran hari ini. Kerana saya memikirkan masa depan Anak saya, selain merupakan tanggungjawab saya sebagai seorang Muslim di hadapan Tuhan kelak, dan sebagainya.

Tetapi, apabila mendengar tentang Bersih 4.0 - sejauh mana saya membenci kebobrokan penguatkuasa - mungkin sejauh itu juga saya pesimis akan keberjayaannya dalam membawa hala tuju Malaysia Baru. Bukanlah saya tidak pernah menyertai demo seperti ini dan hanya mengambil sudut diri seorang keyboard warrior selama ini. Tapi dalam mengkritik, perlu juga kita merenung kelemahan di sisi pihak reformasi.

Kenapa saya bersikap pesimis?

*** *** ***

Pada saya, Bersih 4.0 tidak akan berjaya melahirkan harapan Malaysia Baru selagi...

1) Jalanraya

Semalam, saya memandu pulang ke kampung mertua menggunakan PLUS. Sebenarnya sudah beberapa minggu, saya berulang-alik untuk melawat anak dan isteri yang 'berpantang' di kampung saat ini. Tapi, ada sesuatu yang berbeza dengan hari semalam. Tahap stress memandu saya sangat tinggi. Dan bila memikirkan kembali perbualan saya dengan Dr. F, saya mula menyimpulkan bahawa Harapan Malaysia Baru - ianya adalah perjalanan yang masih jauh.


Sedang saya memandu kereta, dua sinaran cahaya lampu yang sangat tinggi muncul dengan sangat laju dari belakang. Sila ambil perhatian, saya memandu di lorong tengah dari tiga lorong yang wujud. Tidak sampai lima saat, cahaya itu sudah berada di belakang saya. Sebuah Bas. BAS DUA TINGKAT. Bawa Bas macam mahu bunuh orang. Kemudian, apabila mendapati ugutannya memberi lampu tinggi kepada saya gagal, Pemandu Bas Dua Tingkat itu memotong saya dari sebelah kiri. Pertamanya, apakah Pemandu Bas tidak nampak wujud dua tiga buah kenderaan lain di hadapan saya? Saya melihat sahaja Bas itu memotong saya dengan laju di sebelah kiri. Terdapat pelekat yang bermesej "Saya Pemandu Berwibawa. Telefon nombor ini bla bla bla". Jika saya telefon untuk mengadu, apakah yang akan berlaku? Saya amat yakin, tiada apa tindakan akan berlaku. Itulah Malaysia.

Dan Pemandu Bas seperti ini, apakah Anda merasakan mereka ini semuanya menyokong kerajaan? Tidak. Ada yang menyokong Gerakan Bersih 4.0. Dan mungkin juga ada yang akan menyertai Bersih 4.0. Jadi, mereka dengan attitude seperti ini, apakah Anda yakin apabila mereka menyertai Bersih 4.0, niatnya adalah selari dengan Gagasan Malaysia Baru? Apakah mereka yang tidak menghormati undang-undang akan menyokong gerakan yang ingin memperbaiki kebobrokan penguatkuasaan undang-undang apabila kepentingan mereka tercabar?

Di atas ini, adalah justifikasi pertama saya. Dan sila ambil perhatian, tidak semua Pemandu Bas bersikap seperti di atas. Ramai sahaja yang elok.

2) Jalanraya Lagi

Jika Anda memandu di PLUS pada malam hari, terutamanya menghala ke Selatan, ada masanya Anda akan bermonolog sendiri : "Murahnya nyawa rakyat Malaysia".

Selepas kisah Bas di atas berlangsung, saya dalam usaha memotong kereta di lorong paling kanan. Saya fikir saya sudah cukup laju. Tiba-tiba kelihatan dari jauh, sebuah kereta menggila memberi lampu. Saya sebenarnya cukup sakit hati dengan kereta yang suka memberi lampu seperti ini.

Masih jauh, sudah memberi lampu. Kemudian saya ke kiri, yang memotong cuba teka kereta apa? Vellfire. Itu Vellfire. Tapi kebanyakan peristiwa seperti ini biasanya melibatkan MyVi.

Beberapa kata kunci muncul : safety feature, road manners, road bully.

Kadangkala kereta-kereta sebegini, berpendaftaran dari Singapura.

Soalan saya : MANA PENGUATKUASAAN?!

Apakah hanya bila hari raya nyawa rakyat Malaysia 'seolah' mahal untuk dijaga?

Atau ada 'sesuatu yang lain' yang ingin dicari?

Teringat seorang Pensyarah pernah melontarkan soalan retorik, "Kalau betul mahu menjaga nyawa, kenapa tidak set-upkan default top-speed untuk semua kereta di Malaysia tidak kira jenama apa 110 KM/J? Atau langkah ini tidak menguntungkan? Kalau betul sudah tahu rakyat Malaysia ini memang sangat menghormati peraturan, kenapa tidak dikuatkuasakan sahaja cadangan ini?"

Jadi, hujah saya kali ini adalah sikap sesetengah rakyat Malaysia di Jalanraya pada hakikatnya hanya mencerminkan falsafah hidup self-centered yang dipegang kebanyakan kita. Dan percayalah, kelompok seperti ini, akan berpatah arang apabila pengorbanan diperlukan.

Apakah mereka ini tidak menyertai Bersih 4.0?

Apakah mereka ini tidak menyokong pentadbiran hari ini?

Terjustifikasilah sekali lagi pandangan saya.

3) Loyar Buruk dan Pseudo-Anarchist

Beberapa tempoh yang lepas, saya pernah menyertai sebuah demonstrasi di Kuala Lumpur. Bukanlah sebagai pentaksub demonstrasi. Tetapi, kerana saya mahu kaji dan lihat, berapa ramai rakyat Malaysia yang akibat daripada 'kelu tidak tahu mahu buat apa dalam melawan kebobrokan' memilih demonstrasi sebagai satu cara.

Ramai rakyat Malaysia yang menyertainya.

Tetapi dalam ramai yang jujur, terdapat sekelompok manusia yang opportunist membawa chanting-chanting memaki hamun peribadi Pemimpin.

Soalan saya : Kenapa perlu maki hamun peribadi Pemimpin?

Kenapa memaki peribadi? Kenapa memaki fizikal? Tidak ubah seperti pelajar sekolah rendah!

Kita claim kerajaan hari ini membawa Politik gaya lama, tetapi dalam masa sama ketika kita mengkritik, hakikatnya ada dalam kalangan kita juga clueless tentang Idea Politik Baru yang berakarkan Ilmu.

Jadi, mereka yang cenderung berakar anarchist samseng ini hakikatnya pada saya adalah opportunist.

Opportunist yang jika dibiarkan mereka ini mendapat jawatan dalam pentadbiran seandainya reformasi berjaya dilakukan - tidak mustahil opportunist seperti ini akan bertindak lebih teruk dari pentadbiran sebelumnya.

Saya tidak katakan semua yang menyertai demonstrasi sebagai bermasalah. Tetapi, kewujudan golongan ini, menyebabkan orang seperti saya yang tidak berpihak dan hakikatnya kami mewakili majoriti rakyat Malaysia menjadi pesimis dengan gerakan Bersih 4.0.

Di bawah ini merupakan quote dari sebuah suara hati :

sebenarnya sedih membaca berita politik malaysia. pergi demo juga sama. yang ada, kebanyakannya anak-anak muda pseudo-anarchist dan pseudo-rebellion yang pada hakikatnya adalah opportunist yang jika ditanya "apa selepas itu?" - pasti mereka juga kelu. kesimpulannya, berbuat sesuatu itu biarlah dengan niat dan matlamat yang jelas. emosi semata tidak membawa ke mana. reformasi perlu hadir dengan ilmu dan faham, kerana bimbang reformasi tanpa ilmu bakal melahirkan orang yang pantas berpusing. mungkin antara 100 orang rakyat malaysia yang ingin perubahan itu, mungkin hanya 20 sahaja yang benar-benar mahukan perubahan yang membawa kebaikan. perjalanan masih jauh.

*** *** ***

Lain-Lain

Banyak lagi sebab yang menyebabkan saya pesimis dengan Bersih 4.0.

Tetapi, 3 justifikasi ini sudah cukup meyakinkan saya.

Anda setuju atau tidak, itu bukan persoalannya, kerana persoalan yang sebenar adalah menegakkan kebenaran, dan menghapuskan kebatilan.

Seringkali kebenaran yang tidak terancang tumpas dengan kebatilan yang tersusun.

Dan ada juga kejadian di mana kebatilan yang lemah dapat bertahan kerana pejuang kebenaran khayal dengan isu dan keangkuhan.

Pada akhirnya, Isu yang sebenar adalah Susu Anak Kecil yang mahal, Belanja Dapur yang semakin meningkat dan tiada lagi Nasi Lemak RM1 untuk dibeli walaupun gaji yang diberi adalah sama seperti 10 Tahun lepas!

Sebagai seorang Muslim, perlulah kita ingat, dalam membina masyarakat yang adil, perlu bermula dari diri sendiri.

Tidak mungkin bagi seorang yang mengaku Muslim dan mahu berjuang itu untuk melaung 'reformasi islah', tetapi dalam urusan pembayaran hutang kehidupan sehariannya sebagai contoh - masih menangguh-nangguh dengan alasan mahu membuat 'open house' dahulu.

Jika ini adalah attitude kita, kita hakikatnya sama sahaja seperti apa yang kita bencikan.

Dan pada akhirnya, renunglah kalam Tuhan dalam Al-Quran ini,

"Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya sahaja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu Ia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisihan padanya." [Al-An'aam 6:164]

Kita sering lancang mengkritik kesalahan Pentadbiran. Tetapi, kita juga hakikatnya sering melakukan apa yang dikritik kita itu.

Sebagai kesimpulan : Keep reforming, but don't play God.

Saya rakyat biasa, dan saya benci kebobrokan, tapi saya juga benci sikap oportunis yang hipokrit.

Anda tahu siapa mereka. Dan kita tahu siapa kita.

Berdoalah untuk Malaysia Baru yang lebih baik. Kepada Penganjur Bersih 4.0, buktikan telahan saya silap. Selamat Berjaya.

Assalamualaikum dan Selamat Beramal.


No comments:

Post a Comment