20.9.15

Carilah Impi. Bukan Setia Yang Meruntuh.


Bismillahirrahmanirrahim.

*** *** ***

VICE

Saya sebentar tadi baru membuka Saluran Youtube VICE menonton sekali lalu beberapa dokumentari di sana.

Menarik karya-karya dokumentarinya.

Teringat saya kata-kata seorang Sahabat baik saya, "Kadangkala kita perlukan Audiens yang lebih besar".

Besar yang saya fahami daripada ayatnya itu adalah khalayak yang 'borderless'. Khalayak yang tidak terikat dengan sempadan garis pemetaan penjajah. Tiada sempadan dalam erti kata sebenar.

Saya melihat dokumentari di VICE, dan saya lihat pula Saluran ini, dan saya mendapati, tidak banyak jauh beza mutu penerbitannya. VICE sebuah saluran Indie dengan falsafah guerilla art juga.

Arah Tuju

Sejak balik semula ke Malaysia Mac 2015, saya kerapkali mengalami sindrom kekecewaan 'Sang Perantau'.

Bukan sedikit waktu ketika mana bila saya mengutarakan pendapat saya kepada beberapa pihak/kenalan dan sebagainya - atas niat untuk berkongsi kebaikan berdasarkan pengalaman yang didapati daripada perantauan selama enam tahun di luar negara - suara itu disalah erti lalu ditohmah pula dengan beberapa imej.

Saya berfikir, "Apakah rasional duduk di suatu tempat yang mana kita punya sedikit Ilmu dikurnia Tuhan untuk dikongsi, tapi tidak diterima Ilmu itu akibat egoisme yang menguasa?"

Itulah perasaan yang saya yakin ramai dalam kalangan kita - terutama bagi Anda yang sedang membaca Penulisan ini - sering hadapi.

Seolah terasa bersendirian.


*** *** ***

Soalan

Jadi, satu perkara yang kita perlu tanya dan hadapkan diri untuk mencari jawapannya dalam kehidupan ini adalah : Ke mana kesetiaan kita itu perlu kita letak? Masyarakat yang tidak mahu mendengarnya, atau puak yang akan membantu kita bergerak lebih melaju?

Tulisan saya ini umum.

Mungkin pada saat ini, Anda sedang mengalami masalah di tempat kerja, tapi dalam masa yang sama menghadapi dilema samada ingin bertukar tempat, atau melayan bisikan sentimental value yang menguasai diri.

Yang jelas, pada akhirnya, yang perlu kita fikir adalah diri kita.

Dan apabila saya menyebut 'diri kita' dalam ayat sebelum ini, sebagai Muslim yang mengaku percayakan Akhirat, dalam apa juga dilakukan kita, kita perlulah memilih perkara yang akan membawa manfaat kepada Akhirat kita.

"Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat)" [Quran Al An'aam : 94]

Ya.

Itulah definisi dan hakikat kehidupan yang sebenar.

Saya yakin, manusia ini memang perlu sentiasa memikirkan dirinya sentiasa dalam apa juga keadaan (Akhiratnya).


*** *** ***

Nasionalisme Sempit

Jadi, apabila melihat beberapa manusia semangat berdemo mempertahan satu ideologi rasisme sempit, saya merasakan itulah yang akan terjadi pada manusia seandainya akal dikurnia Tuhan tidak diguna (atau dalam kes ini : berjaya dipasifkan oleh Pihak tidak bertanggungjawab - yang hakikatnya berpunca dari kegagalan kita menggunakan akal juga).

"Telah mengabarkan kepada kami Muhammad bin Al Mutsanna dari Abdurrahman, ia berkata; telah menceritakan kepada kami Imran Al Qaththan dari Qatadah dari Abu Mijlaz dari Jundub bin Abdullah ia berkata; Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: "Barang siapa yang berperang dibawah bendera ketidak jelasan, ia berperang karena kefanatikan dan marah karena kefanatikan maka terbunuhnya adalah terbunuh secara jahiliyah." Abu abdurrahman berkata Imron Al Qaththan bukan orang yang kuat"

Grade : Sahih (Darussalam)
Reference : Sunan an-Nasa'i 4115
In-book reference : Book 37, Hadith 150
English translation : Vol. 5, Book 37, Hadith 4120

Ada satu kartun yang saya terima dari seorang Sahabat. Pada saya ada benar perkara ini.


Sedih sebenarnya dengan masyarakat kita. Beberapa Group WhatsApp (termasuklah Group WhatsApp keluarga) telah saya tinggalkan satu persatu akibat bimbang perkara yang lebih memudaratkan akan berlaku jika saya terus-menerus berada di dalamnya.

Perjalanan mengislah masyarakat kita masih jauh dan berliku.

Jadi, soalan saya : kita mahu setia dengan tidak menasihati atas sentimen 'menjaga hati', atau kita mahu tegar mencari 'impi' (redha Allah ke Syurga-Nya)? Dan banyak lagi situasi terkait yang memungkinkan persoalan saya ini dimanipulasi untuk menyesuaikan keadaan.

Carilah impi. Bukan setia yang meruntuh.

Dan saya, menulis penulisan bercampur-baur dinihari ini kerana yakin dengan perkara di bawah ini,

"Kata syair penyair,

الْعِلْمُ صَيْدٌ وَالْكِتَابَةُ قَيْدُهُ

Ilmu ialah binatang buruan dan tulisan itu diumpamakan seperti tali yang mengikatya" [Diwan Imam al-Syafie]

Semoga ada manfaatnya.

Assalamualaikum dan Selamat Beramal.

1 comment:

  1. I feel you, brother. I believe your concerns are all legitimate. Jadi saya ingin kongsi sedikit pandangan peribadi: Saya rasa tahap intelek manusia memang masing-masing berbeza. So kita tak boleh nak paksa golongan 'pak turut' untuk turut jadi 'golongan berfikir' seperti kita. Dalam sirah pun kita dapat tengok, Rasulullah SAW tak pernah paksa golongan badawi untuk turut berfikiran kritis seperti para sahabat yang faqih. Kapasiti intelek sesetengah manusia memang terbatas untuk jadi sekadar 'follower'. Sebab tu pendekatan dakwah yang Rasululllah SAW gunakan pun berbagai. Setiap yang bermentaliti 'follower' itu berada di bawah pengaruh seorang pemimpin/idol/penguasa yang mereka masing-masing kagumi. Jadi pendekatan dakwah yang bersifat 'intelektual' itu Rasulullah SAW tumpukan kepada golongan 'atasan', yang kemudian mampu mempengaruhi follower yang berada di bawah pengaruhnya. Untuk golongan follower, pendekatan dakwahnya lebih simplistik, tak demand daya keupayaan berfikir yang tinggi.

    Harap perkongsian ni menepati concern sedare. Have a good day :) Assalaamu'alaikum.

    ReplyDelete