29.9.15

Pelaburan Akhirat - Solat Subuh Itu Perlu Didirikan Setiap Hari Sehingga Mati, Tapi Bagaimanakah Caranya Untuk Sentiasa Bangun Dan Bangkit Ketika Fajar? (Tertinggal Subuh Bukan Isu Kecil).

Nota : Sertakan Link baikiminda.blogspot.com bagi yang mahu copy paste.


Bismillahirrahmanirrahim.

*** *** ***

Islam

Walaupun banyak dalam kalangan kita sudah mula berjinak-jinak dengan kebenaran Islam semula, tapi masih kerap kedengaran keluhan kita kepada diri sendiri tentang betapa kecewanya perasaan diri tatkala gagal bangkit subuh pada sekian-sekian hari.

Ditekad dan dibulatkan hati kita untuk bangun Subuh pada esoknya pula, namun kehampaan menemui diri sekali lagi.

Sebelum kita mula berfikir tentang apa-apa yang berkaitan 'putus asa', saya ingin berkongsikan satu Terjemahan Hadis yang bermaksud,

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: HambaKu melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya –dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya-. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya–dalam riwayat yang lain ditambah: aku ampunkan dosanya-. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: HambaKu melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hambaKu ini, buatlah apa yang kau mahu aku ampunkan engkau”. [Riwayat al-Bukhari dan Muslim].

Dan Firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud :

“Katakanlah: “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [Surah Az-Zumar: 53]


Jangan sesekali berputus asa dalam mencari redha-Nya! Teruskan membaca.

*** *** ***

Solat Sebagai Kewajiban

Dalam sebuah Hadis yang panjang, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

"...Islam dibangun atas lima dasar: persaksian bahwa tidak ada tuhan (yang berhak disembah) selain Allah, dan bahwa Muhammad utusan Allah, mendirikan shalat..."

[Grade : Sahih (Darussalam);
Reference : Jami` at-Tirmidhi 2609;
In-book reference : Book 40, Hadith 4;
English translation : Vol. 5, Book 38, Hadith 2609
]

Ini menunjukkan bahawa Solat merupakan satu perkara yang sangat-sangat-sangat penting sebagai seorang Muslim. Tidak solat, tidak lengkap keislaman kita itu!

Cuba ulang baca Terjemahan Hadis di atas semula.

Adalah menyedihkan jika kita tidak memandang isu bangkit Subuh sebagai perkara yang serius.

*** *** ***

Cadangannya

Penulisan ini saya tuliskan khas untuk diri saya sendiri agar sentiasa konsisten walau apa juga yang berlaku di masa hadapan.

Jadi, seperti tajuk yang tertera di atas, terdapat beberapa cara untuk memotivasikan kita bangkit subuh setiap hari.

1) Membaca Hadis-Hadis dan Dalil-Dalil yang menyebut kepentingan Subuh secara Berjemaah.


Saya ingin memetik sebuah Terjemahan Hadis yang saya jumpa dalam Buku Solat Jama'ah : Hukum dan Pandangan Ulama.

Dalam riwayat Muslim, Abdullah bin Abu Amrah berkata : Maksudnya : Uthman bin Affan telah masuk ke masjid selepas solat Maghrib. Kemudian dia duduk sendirian lalu aku duduk di sebelahnya. Seterusnya, Uthman berkata : Wahai anak saudaraku! Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda : Sesiapa yang solat Isyak secara berjemaah, dia seolah-olah telah solat separuh malam. Sesiapa yang solat Subuh secara berjemaah, seolah-olah dia telah mengerjakan solat keseluruhan malam itu" [Hadis Riwayat Muslim, jil. 1, ms. 454, kitab Masajid Wa Mawadhi' al-Solah, bab47, hadis no : 656]

Sebagai seorang Muslim, terutamanya lelaki, kita perlu berusaha untuk ke Masjid secara berjemaah. Ketahuilah, itu semua pelaburan Akhirat kita. Bekalan kita ke Akhirat kelak untuk mencari redha-Nya.

2) Membaca Hadis Munafik dan Membayangkan Diri Kita Sebagai Munafik Andai Meninggalkannya.

Kadangkala kita membaca sesuatu berita, dan kita mengatakan "Ha, ini tentu perangai Si Polan".

Apa kata, kali ini, kita membayangkan diri kitalah yang bersikap demikian seandainya tidak bangun Subuh.

Renungkan Hadis di bawah ini.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud :

“Sesungguhnya shalat yang paling berat dilaksanakan oleh orang-orang munafik adalah shalat isya dan shalat subuh. Sekiranya mereka mengetahui keutamaan keduanya, niscaya mereka akan mendatanginya sekalipun dengan merangkak.” [HR. Bukhari no. 657 dan Muslim no. 651]

Siapakah Munafik ini?

Golongan yang berpura-pura.

Astaghfirullah, semoga Allah lindungi diri kita dari sikap ini.

3) Setiap Langkah Diambil, Besar Ganjarannya.

Seringkali kita hanyut dalam bisikan Syaitan yang menyatakan "Ala, pergi Masjid jauh. Solat di Rumah pun apa salahnya".

Ruginya kita.

Hayati Terjemahan Hadis di bawah ini yang bermaksud :

Menurut Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW telah bersabda : Maksudnya : "Semakin jauh dia berjalan (menuju ke masjid) semakin besar ganjaran yang akan dia perolehi" [Hadis Riwayat Abu Daud, Jil. 1, ms. 377, Kitab Al-Solah, Bab 39, Hadis no : 556]

Malanglah kita andai tidak mengambil peluang ini. Bayangkan setiap kayuhan basikal yang kita ambil, setiap langkah itu - insyaAllah Allah akan memberi balasan yang besar. InsyaAllah. Niatkan kerana-Nya.

4) Akhiri Hari Kita Dengan Keazaman

Bagaimana kita fikir kita mampu bangun Subuh, seandainya sebelum tidur kita melihat perkara maksiat? Bagaimana kita fikir kita mampu bangkit untuk menghadap Maha Pencipta seandainya kita akhiri usia kita pada hari itu dengan 'memaki hamun' selepas bermain DotA.

Itu sebagai contoh.

Tapi, renunglah perkara ini.

Sama-sama akhiri hari dengan Solat Witir, bacaan Quran dan Zikrullah. InsyaAllah dipermudah niat kita untuk bangkit Subuh.

Daripada Abu Hurairah radhiallahu’ anh, dia berkata:

Maksudnya : Kekasihku (Rasulullah) shallallahu ‘alaihi wasallam telah mewasiatkan kepadaku tiga perkara yang tidak akan pernah aku tinggalkan sehingga akhir hayatku; berpuasa tiga hari setiap bulan (hijrah), mengerjakan dua rakaat solat Dhuha dan mengerjakan solat Witir sebelum tidur [Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Shaum, no: 1981]

*** *** ***

Tertinggal Subuh Bukan Isu Kecil

Itu sahaja perkongsian dan ingatan untuk diri saya dan Anda semua.

Semoga kita mengamalkan apa yang ada di sini. Bagi saya, cara paling berkesan dalam meningkatkan kefahaman tentang Islam adalah dengan mengambil Islam dari Sumber yang sebenar. Dengan cara itu, keaslian Islam dan 'roh' kebenaran itu dapat dikekalkan.

Teruslah melangkah dalam mencari redha Tuhan yang Maha Pencipta.

Jangan pernah berputus asa.

Assalamualaikum dan Selamat Beramal.

1 comment:

  1. assalamualaikum.. mohon izin untuk berkongsi. jazakallah

    ReplyDelete